Saya meletakkan sebatang pen di atas bingkai papan putih lalu bertanya kepada pelajar saya bagaimana menjatuhkan pen itu. Berbagai-bagai jawapan diberikan, namun sehingga 20 minit pen itu ternyata kekal di situ dan tidak jatuh-jatuh.

Mujurlah ada seorang pelajar yang memahami apa yang saya maksudkan. Pelajar perempuan itu bangun lalu menjangkau pen itu dengan tangannya dan menjatuhkannya di atas lantai. Saya bertepuk tangan kemudian diikuti oleh pelajar-pelajar lain. Mereka memamahi sekarang tentang cara sebenar pen itu boleh dijatuhkan.

Pen itu jatuh bukan dengan alasan, cadangan, kata-kata yang banyak dan tulisan yang berjela. Tetapi pen itu hanya boleh dijatuhkan dengan adanya perbuatan atau aksi sebenar untuk menjatuhkannya. Tentunya dengan niat (matlamat) untuk menjatuhkannya juga.

Permainan yang saya tunjukkan ini cukup biasa dan kerap digunakan oleh ahli motivasi sewaktu menyampaikan ajakan mereka. Disebabkan ia terlalu biasa ramai orang melupakannya. Kita selalu terlupa pada perkara-perkara kecil yang kita anggap mudah, sedangkan yang kecil itulah kerap membantu kita.

Kebanyakan kita terlupa bahawa sekarang ini orang ramai terlalu banyak bercakap tentang perubahan sikap sambil berbangga dengan cadangan-cadangan yang konon-kononnya ampuh dan konkrit.

Begitu banyak forum, halakah, usrah, ceramah dan berbagai-bagai lagi aktiviti yang berasaskan lisan yang berlaku di negara kita, namun sikap masyarakat tidak banyak berubah.Malahan kegiatan berwacana itu sama banyak dengan gejala negatif yang berlaku di luar sana.

Golongan yang menggelarkan diri mereka intelektual pula begitu ghairah dengan pelbagai gagasan dan teori yang diungkapkan melalui kertas kerja mereka. Pelbagai pembentangan dibuat dalam seminar, semposium dan sebagainya lalu berharap orang ramai akan membaca teori dan gagasan mereka itu.

Sedang diri mereka sendiri dilihat jauh daripada massa dan terpisah, nun di menara gading, dikelilingi timbunan buku dan tesis.Massa begitu asing dengan mereka kecuali yang gemar membaca tulisan-tulisan ilmiah.

Dan tentunya yang kita harapkan bukan sekadar membaca semua cadangan baik itu tetapi lebih jauh melakukan tindakan serta merta ke arah melakukan perubahan itu.

Maka sudah sampai saatnya mana-mana program yang dibuat baik oleh swasta mahupun kerajaan, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan lebih menjurus kepada program atau aktiviti yang berorientasikan tindakan (action) dan hasil.

Marilah kita sebagai guru memulakannya di dalam kelas kita sendiri.

GuruBashid