KLIK DI SINI untuk membaca artikel saya sebelum ini

BANDUNG: Kerajaan akan mengkaji kaedah pembelajaran Matematik dan Sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berikutan prestasi lebih baik yang dicatatkan murid dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata, kaedah itu akan diterapkan di Sekolah Kebangsaan (SK) selepas wujud jurang pencapaian antara kedua-dua jenis sekolah ini.

Katanya, secara keseluruhan keputusan UPSR tahun ini lebih baik tetapi kerajaan melihat ada perbezaan membabitkan pencapaian kedua-dua mata pelajaran itu antara SK dan SJKC.

“Kita mahu melihat model pembelajaran yang mereka gunakan dan saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) bersama Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) untuk melakukan kajian mengenainya,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Republik Indonesia, Fadel Muhammad, di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, selain perbezaan pencapaian mata pelajaran, analisis pencapaian dalam beberapa perkara juga akan dikaji.

Berita Harian, Mutakhir, 22 Disember 2009