1 Bulan Jun sudah hampir tamat. Beberapa hari lagi akan tiba bulan Julai. Bulan Julai dan bulan-bulan berikutnya adalah jangka masa yang begitu penting kepada calon-calon peperiksaan baik PMR, SPM mahupun STPM.Tumpuan sudah patut diberikan sepenuhnya kepada bidang akademik atau lebih tepat lagi kepada peperiksaan.

2 Kegiatan kokurikulum sudah sepatutnya diperlahankan secara beransur kemudian ditamatkan dengan memberi fokus kepada kegiatan akademik. Jika kokurikulum mahu diteruskan juga kegiatan tersebut harus tertumpu kepada koakademik atau kegiatan yang menyokong akademik.

3 Dalam tempoh tersebut strategi tidak lagi sepenting taktikal. Segala-galanya baik kerja buat guru, mahupun kerja buat pelajar (calon), semuanya terarah dan berfokus. Perkara-perkara teknikal dan taktikal adalah jauh lebih berguna sekarang ini daripada pengajaran dan pembelajaran secara umum.

4 Peranan guru subjek jauh lebih mencabar sekarang ini berbanding guru kelas. Siapakah calon yang lemah, berapa jumlahnya dan jenis kelemahan calon dalam subjek tertentu sudah sepatutnya diketahui dengan jelas. Pendekatan pengajaran guru dan pembelaran murid sudah beralih kepada klinikal, zooming dan melihat ke akar umbi masalah atau punca sebenar penyakit.

5 Setiap guru subjek harus membuka klinik mereka sekarang. Tentukan jenis rawatan atau ubat terbaik untuk calon-calon yang tertentu. Jika perlu diberikan suntikan suntik sahaja. tetapi jangan sampai tersilap rawat, ubat dan suntik, nuruk padahnya.

6 Berikan rawatan khusus untuk calon-calon mereka, bukan nasihat tetapi bagaimana menunjukkan jawapan yang betul dengan menggunakan cara yang betul. Semuanya menjurus kepada yang lebih mikro sekarang ini dan meninggalkan sedikit demi sedikit yang yang bersifat makro dan mega.

7 Perbengkelan atau workshop subjek lebih penting daripada motivasi dan ceramah. Latihan drillling lebih penting daripada nasihat yang berjela-jela. Lebih sedikit calon yang anda hadapi dalam sesuatu masa adalah lebih baik.

8 Jika anda guru Bahasa Melayu sebagai contoh, anda sudah jelaskah sekarang ini siapakah calon yang ada pada tahap halus (harapan lulus) yang dahulunya dikenali sebagai galus (kadang-kadang gagal dan kadang-kadang lulus), berapa jumlah mereka dan dalam aspek apa yang mereka lemah.

9 Adakah ada di antara calon Bahasa Melayu SPM di kelas anda yang masih membina ayat seperti ini- kuih itu dimakan oleh saya atau rumah itu dikosongkan oleh mereka.

10 Adakah calon BM anda masih menggunakan kata kerja membuat untuk semua perkara seolah-olah kata kerja yang ada di muka bumi hanyalah “membuat”. Contohnya membuat pameran, membuat bangunan, membuat kerjasama, membuat hari jadi dan sebagainya.

11 Adakah mereka jelas bila masanya kita boleh menggunakan kata memperjtahankan dan memperjudikan dan bila masa pula boleh menggunakan memperteguh dan mempercepat.

12 Siapakah calon SPM di sekolah anda yang tulisannya sukar dibaca sehingga sulit untuk membezakan antara huruf e dan l, a dan u, p dan b dan sebagainya.

13 Jika anda sudah tahu dan sudah dapat mengenal pasti mereka dengan kesalahan-kesalahan seperti (sekadar memberi beberapa contoh) itu menunjukkan yang anda sudah bersedia sekarang untuk membantu dan menyokong calon-calon anda itu.

14 Sekonyong-konyongnya anda bukan sekadar menjadi Cikgu X lagi sekarang ini tetapi anda juga adalah Dr X, tentunya untuk subjek anda.

Hakcipta Abd Bashid Harun