Saya tujukan ucapan Selamat Hari Guru ini kepada semua guru dan bekas guru yang pernah menididik dan membimbing saya:
1. Cikgu Maarif yang kerap menjemput saya di rumah dengan menunggang vespa untuk membawa saya tidur di rumahnya semasa saya di Darjah 1 SK Sg Leman Sekinchan Selangor maklumlah pada waktu tu beliau masih belum dikurniakan anak. Saya tidak tahu di mana beliau sekarang.
2. Cikgu Khalid, guru PK di SK Sekinchan Selangor yang peka terhadap keselamatan kami semasa peristiwa 13 Mei 1969 (Darjah 1) yang meminta kami pulang awal dengan menggunakan jalan sebelah pantai sedangkan kebiasaan kami menggunakan jalan raya.
3. Cikgu Shaharuddin Husin yang terkenal dengan panggilan Cikgu An (SK Kg Selinsing Spg 4 Semanggol Perak) guru BM saya semasa darjah 3 yang kerap membantu saya membetulkan sebutan perkataan yang berakhir dengan ‘ai’ (contoh pandai, badai, keldai) sebab saya tidak begitu mahir menyebut perkataan-perkataan seperti itu.
4. Cikgu Wan Mohd Dumiri bin Wan Mohd Suhon, guru kelas saya (Darjah 5) merangkap guru BI yang begitu terkesan pengajarannya. Banyak hadiah mata pelajaran yang saya terima daripada beliau.
5. Cikgu Syed Ramadzan bin Syed Hussein (Cikgu Syed), guru darjah 6 saya merangkap guru BI. Suaranya kuat dan satu-satunya guru yang berambut panjang mencecah bahu. Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya, boleh pula seorang guru berambut panjang ketika itu. Sungguh pun begitu beliau sangat dihormati oleh murid dan masyarakat kampung.
6. Ustazah Rodiah guru agama saya yang sentiasa membimbing saya dalam agama khusunya solat sehingga saya berjaya melanjutkan pelajaran ke SMA Izzuddin Syah Ipoh.
7. Ustazah Salbiah guru agama yang sungguh pun tidak pernah mengajar saya namun beliau telah buat pertama kali mendedahkan saya kepada Pertandingan Kuiz Agama antara sekolah kebangsaan daerah Kerian tahun 1975 dan anak bongsu beliau sekarang belajar di sekolah saya.
8. Cikgu Anjang yang kerananya saya buat pertama kali keluar dari Kg terpencil ke Taman Tasik Taiping dan Bukit Maxwell kerana beliau Ketua Rombongan lawatan.
9. Ustazah Arfah yang membimbing saya dalam subjek imla’ dan insya’ di SMA Izzuddin Syah Ipoh yang hasil sentuhannya saya sering mendapat 100% dalam subjek tersebut.
10. Cikgu Nordin, guru matematik saya semasa Ting 3 yang cukup garang tetapi berkesan. Maaf cikgu, saya masih tidak begitu cekap dalam Matematik sehingga sekarang.
11. Ustaz Othman Bajuri, guru Qawaid saya yang boleh menulis nota di papan hitam sambil tertidur. Saya masih ingat kegemarannya melayangkan apa yang ada di tangannya ke arah pelajar yang tidak memberi perhatian terhadap pengajarannya.
12. Cikgu Yahya, guru BM saya semasa Ting 3 yang masuk kelas tidak lebih 7 kali setahun kerana percaya kami murid yang pandai sebab belajar di sekolah berasrama penuh.Namun sesekali beliau masuk kelas beliau dapat menutup semua kelemahan yang ada. Terima kasih.
13. Cikgu Jaafar yang berjanji nak bagi nota sejarah bagi tujuan menghadapi peperiksaan SRP (1977) namun sampai ke sudah kami tak menerimanya sehingga kami memanggilnya cikgu wahyu (seolah-olah menunggu wahyu).Namun kami masih meghormati beliau sebagai guru sejarah kerana dia benar-benar menggunakan masa berkualiti semasa waktu sejarah. Sehingga ke hari ini minat saya terhadap subjek sejarah masih tebal.
14. Ustaz Abdul Rahman al-Mubarak yang tekun mengajar seni khat yang selalu menceritakan nilai kepalanya yang ditawarkan oleh pihak Jepun sebanyak 3,000 ringgit. Maafkan saya ustaz, tulisan jawi saya masih belum cantik-cantik sehingga sekarang kecuali khat nasakh
15. Ustaz Ku Abdul Hamid, guru ilmu Mantiq saya sekaligus guru pembimbing saya dalam bahas Piala Perdana Menteri (PPM). Dek sentuhannya pasukan yang saya sertai dari Kolej Islam Kelang berjaya memasuki pertandingan akhir bahas melwan pasukan SMSAH, Jitra Kedah di Pertandingan Akhir yang disiarkan secara langsung melalui RTM pada tahun 1981.
16. Cikgu Zaharah (cikgu yang berasal dari Singapura) yang mengajar saya subjek sejarah dan BM semasa di Kelas 5 sastera 6 di Kolej Islam Kelang. Pada waktu itu saya selalu mendapat markah karangan yang tinggi bersama pesaing saya Nuridah Salleh atau Nuridah Awang (saya dah terlupa) dari Pahang.
Dan kepada semua guru saya yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu di sini. Tidak dilupakan seramai 41 guru yang membantu saya mengendalikan sesi petang di SMK Simpang.
Terima kasih dan tahniah.
Ikhklas daripada Cikgu Abd Bashid Harun











1 user commented in " Selamat Hari Guru "
Follow-up comment rss or Leave a Trackbackselamat hari guru..
Leave A Reply