KEJAYAAN yang kita kecapi hari ini bukan sahaja kejayaan yang kita impikan tetapi kejayaan yang kita usahakan. Mula-mula dalam minda, selepas itu dipindahkan di atas kertas dan kemudian disusuli dengan tindakan, dan akhirnya kenyataan. Tidak ada kejayaan yang diperolehi hanya dengan menunggu dan melihat. Ketika kita  menunggu, orang lain telah lama meninggalkan kita  di hadapan. Ketika orang lain sibuk ke bulan, kita tetap seperti pungguk merindukan bulan jika kita terus menunggu. Kesabaran menunggu seperti yang menjadi pegangan sebahagian besar orang, tidak akan membuahkan sebarang hasil sebab yang bulat tidak akan datang bergolek, dan yang pipih tidak akan datang melayang. Kesabaran menunggu harus ditukar kepada kesabaran berusaha. Kesabaran menunggu tanpa berusaha memungkinkan kesudahan yang tidak baik. Sebagai contoh, seseorang  yang berlindung di bawah sebatang pokok besar ketika ribut tetap bersabar berada di bawah pokok itu sambil berdoa semoga pokok itu tidak menimpanya. Begitulah seterusnya yang ia lakukan tanpa menghiraukan  angin yang semakin kencang dan pohon yang semakin bergoyang. Orang itu tetap bersabar menunggu di bawah pohon itu, sambil berdoa minta dijauhkan sebarang petaka, tetapi pada masa yang sama ia tidak berusaha untuk beralih dari tempat itu. Akhirnya orang itu dihempap pokok besar itu yang sebelum ini menjadi pelindung dirinya. Inilah akibatnya jika kita sabar menunggu tetapi tidak sabar berusaha untuk lari daripada keadaan yang tidak selamat kepada keadaan yang lebih selamat.Kesabaran juga dapat menyelamatkan sebuah negara daripada dijajah oleh orang asing. Kesabaran kita berusaha untuk memulihkan ekonomi negara menurut cara kita sendiri menyebabkan kita terselamat daripada belenggu asing. Jika pemimpin negara tidak sabar, sudah tentu mereka akan mengambil jalan mudah seperti yang diambil oleh negara lain, iaitu menerima sahaja bantuan  IMF. Mujurlah itu tidak terjadi, jika tidak Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara maju menurut acuannya sendiri. Syabas pemimpin Malaysia. Syabas rakyat Malaysia. Kita Yakin Boleh!