1 Esok saya diminta membuat pembentangan untuk LADAP. Bagi yang masih belum tahu LADAP bermaksud Latihan Dalam Perkhidmatan.
2 Dalam saya berkira-kira tentang tajuk yang akan dibentangkan, saya menerima sms daripada kaunselor sekolah, Cik Masitah. Dalam sms itu tercatat tajuk yang perlu saya bentangkan iaitu Guru Efektif Menjana Kecemerlangan Murid
3 Bunyinya macam tajuk syarahan atau pidato pelajar sekolah menengah. Barangkali mereka mahu menyesuaikannya dengan bakat pidato yang ada pada saya.
4 Namun saya sudah mengambil keputusan untuk tidak menggunakan kedua-dua gaya tersebut. Gaya yang sentiasa bersemangat dan kebanyakannya dalam nada tinggi tentunya tidak sesuai dalam wacana begitu.
5 Saya akan memilih cara yang bersahaja seperti gaya percakapan biasa, dengan mengawal pergerakan tangan dan tekanan suara sambil disulam dengan pesanan dan ingatan.
6 Saya tidak mahu menjadikan perbincangan esok terlalu serius atau terlalu ilmiah sebab saya bukan pensyarah yang akan memberikan kuliah di universiti. Jadi saya tidak mahu terlalu dikongkong dengan tajuk.
7 Saya cuba memahami yang pendengar saya esok terdiri daripada rakan sekerja saya iaitu guru-guru satu sekolah yang kebanyakannya buat pertama kali mendengar saya melontarkan buah fikiran.
8 Walaupun mereka merupakan orang yang pertama kali akan mendengar cetusan idea saya, namun mereka adalah golongan yang terpelajar.
9 Saya tidak akan membuang masa dengan membentang teori Guru Efektif tetapi mahu terus kepada permasalahan di sekolah atau lebih tepat terus fokus ke Bilik Darjah.
10 Yang saya maksudkan ialah semasa berlakunya proses Pengajaran dan Pembelajaran (P & P). Niat saya hanya satu agar berlakunya pengajaran berkesan oleh guru dan pembelajaran berkesan oleh murid.
11 Ini berkaitan dengan kepercayaan saya bahawa semuanya bermula di bilik darjah di mana seseorang guru itu memimpin sebuah pasukan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan berbeza dari segi penerimaan serta kefahaman.
12 Jika tingkah laku yang ditunjukkan oleh guru di dalam bilik darjah itu berkesan dan bermakna maka natijah yang diharapkan ialah pembelajaran pelajar juga akan menjadi berkesan dan bermakna.
13 Pengajaran yang berkesan dan bermakna dapat dilihat kesannya dalam serta merta iaitu apabila wujudnya suasana pembelajaran yang menyeronokkan.
14 Untuk mengetahui suatu pembelajaran itu menyeronokkan ialah apabila murid-murid tertunggu-tunggu akan kehadiran guru mereka dan jika guru itu tidak hadir adalah suatu kesedihan buat mereka. Adakah anda jenis guru yang dinanti oleh murid di dalam kelas?
15 Kesronokan yang dimasudkan di sini bukanlah pelajar ketawa sepanjang masa dan anda terpaksa menjadi pelawak. Bukan itu. Tetapi menyeronokkan di sini bermaksud pelajar memahami apa yang kita ajar dan pemahaman itu terpahat kukuh di minda mereka.
16 Mereka seolah-olah tidak memaksa diri mereka untuk menyukai anda, tetapi keseronokan untuk mengikuti pengajaran anda datang daripada hati mereka dan mereka mahu menunggunya hingga selesai.
17 Ya tegasnya saya ingin fokus kepada masalah kemahiran asas guru di dalam bilik darjah termasuk aspek kawalan kelas dan gaya komunikasi serta teknik-teknik yang patut digunakan.
18 Tetapi sebelum semua itu saya sampaikan tentunya saya akan lebih senang hati jika beberapa kepercayaan saya tentang dunia pendidikan dan persekolahan dapat dikongsi bersama dengan semua peserta.
19 Yang sudah tentu akan saya sentuh ialah sikap seseorang guru dalam menerima sesuatu tugasan, keperluan menjaga bidang tugas sendiri, konsep ikhlas, sinergi dan lain-lain.
20 Saya akan turut melontarkan pertanyaan kepada mereka. Pertama: Apakah yang kita hendak capai? Kedua: Apakah sebenarnya yang sedang berlaku? dan Ketiga: Apakah usaha-usaha yang sedang kita lakukan?
21 Adakah usaha-usaha yang kita sedang lakukan itu menjurus mempertahankan apa yang sedia ada atau ke arah mencapai target kita?
Hakcipta Abd Bashid Harun











1 user commented in " Menentukan Pendekatan Yang Sesuai Untuk LADAP "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLDP itu satu program yang amat baik sebenarnya. Tetapi amat sukar untuk dilaksanakan kerana kekangan masa. Cikgu sudah mempunyai terlalu banyak komitmen. Di manakah masa untuk bersama keluarga dan melapangkan fikiran selain daripada sekolah sekolah dan sekolah sahaja. Patutlah semakin banyak guru yang bermasalah………..kasihan menjadi cikgu ni…
GuruBashid:
Terima kasih kepada cikgu Liong atas kesudian cikgu menitipkan sesuatu di laman ini. Saya memahami keadaan guru sekarang dan kekangan yang mereka hadapi. Kalau bukan kita yang bersimpati kepada kaum guru, siapa lagi yang akan diharapkan untuk berbuat begitu. Laksanakanlah sekadar yang termampu dan bijak-bijaklah dalam pengagihan waktu. Beri keutamaan kepada aktiviti yang penting tetapi tidak segera iaitu aktiviti yang melibatkan perancangan dan penjadualan. Jika ini diselesaikan dahulu, kita tidak akan terperangkap dengan aktiviti tahap kedua, penting dan segera. Aktiviti penting dan perlu diselesaikan segera selalunya berlaku kerana pengabaian pada aktiviti pertama: perancangan dan penjadualan. Contohnya terperangkap dalam kesesakan jalan raya, kereta mati di perjalanan kerana kehabisan minyak, dokumen yang perlu dikirim segera dan lain-lain. Dan apabila selesai aktiviti jenis pertama dan kedua itu, lakukan aktiviti yang tidak segera tetapi penting. Dan elakkan sama sekali aktiviti jenis keempat tidak penting dan tidak segera, iaitu aktiviti yang membuang masa. Selamat mencuba
Leave A Reply