MASALAH kebanyakan sekolah luar bandar ialah ponteng. Pelajar-pelajarnya tidak berminat untuk datang ke sekolah. Tarikan di kampung dan kawasan sekitarnya lebih dominan daripada apa yang boleh ditawarkan oleh sekolah. Belut yang boleh diperoleh di kawasan-kawasan bendang lebih menambat hati mereka  daripada guru-guru sekolah yang bijaksana. Masakan tidak, harga sekilo belut boleh mencecah sehingga RM12.00. Anak bakau yang dapat dijual dengan harga 20 sen sebatang tentu menjanjikan pulangan yang lumayan jika mereka dapat memungut dua hingga lima  guni plastik sepagi/sepetang. Jika satu guni plastik beratnya 5kg, itu bererti mereka akan dapat sekurang-kurangnya RM10.00 sehari. Siapa yang akan beri wang sebanyak itu? Mereka pun tidak pernah mendapat wang sebanyak itu daripada ibu bapa mereka. Bagi mereka, mereka sudah mempunyai pilihan yang lebih baik daripada datang ke sekolah yang tidak akan dapat pulangan apa-apa. Ini realiti pelajar ponteng di kawasan luar bandar. Mereka tidak nampak apa yang mereka boleh dapat di sekolah, berbanding dengan apa yang mereka boleh peroleh daripada aktiviti menangkap belut, memungut anak bakau, menangkul ketam, menaut, mengelau, memancing, merawai, menangkap kura-kura, menjerat burung dan menghimpun pumpun (sejenis) umpan untuk menangkap ikan sungai atau laut. Yang nampak masa depan mereka itu hanyalah kita. Kita pun dengan nada bersungguh-sungguh menerangkan kepada mereka tentang kepentingan belajar, kedudukan dunia akan datang dan perlunya ada wawasan dalam hidup. Tetapi yang kita beritahu itu tidak dapat menembusi hati mereka yang berjuang untuk satu penghidupan. Mereka tidak nampak apa yang kita kata. Mereka tak faham pun. Yang pasti mereka hanya nampak apa yang ada di hadapan mereka pada waktu itu. Dan apa yang mereka nampak itu memang terbukti: jelas lagi nyata. Kita yang inginkan mereka datang ke sekolah, kita yang bimbang tentang masa depan mereka, tetapi mereka sendiri tidak nampak semua itu. Ayah mereka pun tidak pernah ambil kisah tentang ini. Mereka lebih nampak belut,
ikan, pumpun, ketam, anak bakau dan wang yang bakal diraih daripada semua itu. Kita menyuruh mereka dari jenis ini melihat jangka panjang, tetapi mereka tidak nampak untuk jangka pendek pun. Mereka hanya mampu melihat apa yang ada di depan mata mereka. Kita nampak di sebalik itu, mereka nampak yang itu: belut dan semua itu.Mereka tidak nampak sesuatu yang jauh. Jika ini merupakan pandangan mereka tentang kehidupan dan jika inilah yang menjadi pegangan mereka selama ini,  bolehkah kita meletakkan kesalahan itu kepada ibu bapa yang rata-rata mempunyai latar belakang pendidikan yang jauh lebih rendah berbanding guru-guru di sekolah. Ibu bapa berjuang untuk “survival”, mencari  sumber pendapatan untuk keperluan hari itu.Anak-anak yang baik hanya ingin membantu ibu bapa mereka. Ibu bapa pula tidak membantah. Pada tafsiran kita mereka itu ponteng, tetapi bagi mereka tiada salahnya mereka tidak hadir ke sekolah jika dibandingkan dengan niat dan aktiviti mulia mereka untuk mencari wang saku dan mengurangkan beban ibu bapa mereka. Ya mereka tidak pernah menganggap itu satu kesalahan. Apabila mereka datang ke sekolah, salah satu topik perbualan mereka ialah aktiviti-aktiviti yang boleh mendapatkan wang seperti ini. Maka cerita ini tersebar secara lisan dan akhirnya kadar ponteng bertambah. Jika sekolah anda menghadapi masalah seperti ini, apakah yang anda akan lakukan. Adakah anda akan menggulung-gulungkan lidah anda memotivasikan mereka tentang kepentingan masa depan dan kesan buruk jika ponteng sekolah, lalu membiarkan mereka memahami sendiri apa yang anda katakan itu? Adakah anda akan membuka kolam belut yang akan membeli semua belut dengan menawarkan harga yang sama atau lebih tinggi dengan mengenakan syarat tertentu ke atas pelajar yang terlibat seperti hanya membenarkan mereka menangkap belut pada waktu cuti atau waktu malam? Atau pun anda akan menggunakan makanan sebagai daya penarik dengan memastikan kantin sekolah anda menjual makanan yang lebih sedap daripada apa yang mampu disediakan oleh ibu mereka di rumah. Atau anda sendiri sebagai guru boleh membiayai pelajar-pelajar anda dengan memberi makan secara percuma. Atau anda menjadikan mereka ini anak angkat anda. Mungkin juga anda menggunakan strategi menambat hati ibu bapa dan komuniti setempat dengan mengadakan lebih kerap kenduri di sekolah. Di kampung orang suka mengadakan kenduri, dan penduduknya suka pergi makan kenduri. Bagi mereka kenduri itu “meriah” selain dapat makan free. Mengapa tidak banyakkan kenduri di sekolah untuk menambat hati ibu bapa bagi mendekatrkan diri mereka dengan sekolah yang akhirnya memudahkan pihak sekolah mendaapatkan kerjasama mereka termasuk dalam memastikan anak-anak mereka tidak ponteng sekolah. Boleh tak semua ini dilaksanakan?