PADA  hari ini, 27.8.2007, Pengarah Buku Teks dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia akan turun ke SMK Simpang, Taiping untuk membuat penilaian terakhir Pertandingan Boss (SPBT) pkt kebangsaan 2007. SMK Simpang telah terpilih bersama 6  lagi sekolah di seluruh Malaysia dalam pertandingan berprestij itu. Pertandingan BOSS merupakan satu langkah drastik kementerian pelajaran untuk mengangkat kedudukan bilik SPBT yang selama ini selalu disalah mengertikan sebagai setor buku teks. Sebagai setor buku yang selalu dibayangkan ialah tempat longgokan buku-buku teks (sama ada lama dan baru), yang berkeadaan daif, tidak terurus, berhabuk dan terpencil. Bilik SPBT dikatakan berfungsi  dua kali setahun, iaitu pada awal tahun, iaitu ketika pengagihan buku teks dibuat dan pada akhir tahun apabila pelajar-pelajar menyerahkan semula buku teks yang dipinjam. Gambaran seperti itu sering sahaja menjadikan bilik SPBT sebagai destinasi lawatan bahkan premis penginapan yang terbaik bagi lipas, tikus dan anai-anai. Tetapi dengan adanya BOSS, bilik SPBT bukan sahaja berjaya dihidupkan sepanjang masa melalui pelbagai kegiatan seperti pameran, penjlilidan, rawatan buku, pemasukan data dsbnya, malahan bilik tersebut dihias dengan ceria, dan menjadi pusat operasi yang boleh didiami dengan perasaan seronok oleh guru SPBT dan pasukan pengawas Buku Teks. Operasinya bukan sahaja terbatas kepada peminjaman dan pemulangan buku, malahan seluruh aspek penggunaan buku teks itu diambil kira. Ini termasuklah bagaimana buku teks dimanfaatkan secara optimum di bilik darjah. Memandangkan semua pelajar mempunyai buku teks, dengan hampir kesemuanya mendapatkannya secara percuma melalui SPBT, maka wajarlah buku teks diangkat sebagai buku rujukan utama bagi pelajar dan guru. Segala bentuk pengajaran dan pembelajaran mesti menjadikan buku teks sebagai asas dalam mendapatkan bahan, membuat soalan dan rujukan. Memandangkan semua pelajar memiliki buku teks maka adalah wajar pemantauan berkesan dan berterusan dibuat, agar setiap pelajar membawa buku teks ke sekolah berdasarkan jadual waktu. Buku-buku rujukan dan tambahan lain tidak berupaya menggantikan kemampuan buku teks. Salah satu sebabnya ialah kerana tidak semua pelajar mampu membeli buku-buku tersebut, sedangkan setiap pelajar sudah dipastikan memiliki buku teks masing-masing. Justeru, kementerian pelajaran tidak pernah menggalakkan sekolah membeli buku kerja dan bahan tambahan yang lain. Kementerian hanya ingin memastikan buku teks dimiliki oleh setiap pelajar yang berkelayakan, dijadikan sumber rujukan utama dan digunakan secara otpimum.  Ini termasuklah “open book test”.