Sebagai guru adalah tidak wajar kita mengehadkan skop pembacaan kita. Kita tidak boleh berkata bahan ini sesuai untuk kita dan yang ini pula tidak sesuai. Kita harus berusaha untuk mengetahui banyak perkara walaupun kita akhirnya akan mendapat hanya sebahagian daripadanya. Kita boleh berkata kepada anak murid kita bahawa bahan bacaan ini sesuai atau tidak sesuai untuk mereka, tetapi untuk kita sendiri sama ada sesuai atau tidak kita harus membacanya terlebih dahulu sebelum kita menolaknya. Membatasi diri kita dalam pembacaan akan mengecilkan saiz maklumat yang kita patut miliki sedangkan maklumat yang meluas itu amat diperlukan jika kita ingin menjadikan murid kita berupaya melakukan lompatan lebih jauh ke hadapan. Begitu juga dalam aspek pergaulan.Guru harus mempunyai pergaulan yang agak luas dan dalam masa yang sama harus membuka diri dan mindanya kepada semua jenis manusia. Maksudnya minda mereka harus lebih terbuka kepada orang lain daripada orang lain. Tidak ada bezanya manusia yang ditemui oleh seorang guru dari sudut pengalaman yang bakal diperolehi. Daripada manusia yang ditemui dalam acara rasmi kepada pelanggan di kedai-kedai kopi; dari seorang menteri kepada seorang tukang cuci. Semua itu berguna buat guru kerana perbezaan pengalaman, cara berfikir dan maklumat yang dimiliki akan memperkayakan khazanah pengetahuan, maklumat dan pengalaman kita-kaum guru.Jangan ada di kalangan kaum guru yang berkata bahawa pendapat orang itu tidak betul hanya kerana pendapat orang itu tidak sama dengan pendapat mereka. Hak untuk mendengar pendapat seseorang (termasuk pelajar dan ibu bapa) wajar dihormati.Dengan mendengar semua pendapat dan membuka minda kita untuk semua itu akan menyebabkan kita lebih dihormati dan akhirnya percakapan kita akan lebih sudi didengar. Ini tentunya memerlukan masa sehingga kepercayaan masyarakat ke atas kita semakin tertanam kukuh.Maknanya guru perlu mengambil ruang, peluang dan dan masa untuk membina keyakinan itu.Ketahuilah wahai kaum guru, selagi namanya pendapat, tiada sesiapa yang salah. Bukankah manusia dihukum kerana amalnya bukan kerana idea yang dilontarkan dan ilmu yang dipelajari? Hakcipta Abd Bashid Harun
















No user commented in " Sumber Maklumat Guru Tidak Terhad "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply