Sekolah seperti juga organisasi manusia yang lain kabur, mengelirukan, merisaukan dan tidak menentu. Inilah empat kriteria yang diberikan oleh bekas KPPM, Datuk Seri Abdul Shukur Abdullah tentang sekolah. Oleh itu jika seseorang pengetua atau guru besar menjangkakan ia dengan mudah dapat mengendalikan sekolah ia silap. Ia tidak boleh menyatakan bahawa dengan menyediakan visi, misi dan objektif sekolah ia akan mudah mencapai matlamat sekolah sebagaimana digariskan.
Banyak kemungkinan boleh terjadi. Apa yang ia harapkan berlaku, tidak berlaku. Sebaliknya sesuatu yang tidak pernah disangka-sangka berlaku, berlaku. Inilah pelbagai kemungkinan yang perlu dihadapi oleh sekolah sejak dari dahulu lagi. Pengetua sekarang perlu bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang berlaku daripada ketidaktentuan ini. Pengetua bukan sahaja perlu menggubal perancangan strategik dan taktikal, tetapi yang sama penting dengannya ialah pelan kontingensi.
Sebenarnya tiada hubungan yang signifikan antara apa yang akan dicapai oleh sekolah dengan apa yang sedang dilakukan oleh warga sekolah. Ini adalah kerana yang dididiknya adalah manusia yang sedang membesar, berkembang dan dikurniakan dengan pelbagai bakat. Sekolah bukanlah acuan baulu yang mempunyai hubungan signifikan dengan bentuk baulu yang diingini.
Kita boleh mendakwa telah melakukan yang terbaik untuk sekolah kita, tetapi ini belum tentu menjamin yang pelajar-pelajar kita tidak akan berbuat nakal dan melanggar disiplin. Sebagai contoh, kita telah melakukan langkah-langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sekolah dituduh cuai dalam aspek keselamatan, tetapi ini bukan bererti sekolah tidak akan terdedah kepada bahaya ancaman dan keselamatan. Kita boleh memastikan tukang kebun memebersihkan kawasan sekolah daripada ranting-ranting kayu yang kering sebagai langkah munasabah untuk mengelakkan pelajar daripada terdedah kepada ancaman ditusuk ranting kayu, tetapi di luar jangkaan kita ranting kayu yang hijau yang masih melekat pada sebatang pohon masih boleh mencucuk mata pelajar. Pensel pada asalnya adalah benda biasa yang tidak membahayakan, tetapi ia boleh juga menjadi alat yang digunakan oleh pelajar untuk bergaduh. Inilah cerita tentang sekolah.
Kekaburan dan kekalutan tentang sekolah ini digambarkan oleh Profesor Datin Dr. Rahimah Haji Ahmad, Pengarah Institut Pengetua, UM sebagai sebuah kapal kaca yang sedang belayar di atas samudera luas yang sedang dipukul ribut dan sedang menuju ke sebuah pulau yang masih jauh. Warga di dalam sekolah itu bergelora. Begitu juga masyarakat di luarnya juga bergelora. Sedangkan matlamat yang hendak dicapai masih jauh. Inilah sekolah. Sebab itu tidak ada terjemahan yang paling tepat saya kira tentang sekolah selain terjemahan sekolah yang menyatakan school is a school is a school.
Sebagai sebuah organisasi yang kabur dan tidak menentu ini, sekolah disarankan menonjolkan simbol tertentu, wira, ikon atau lambang. Inilah yang pernah ditonjolkan suatu ketika dahulu. Ia bukan sekadar wujud tetapi dijelmakan melalui semangat dan sikap setiap warga sekolah. Setiap simbol yang dikemukakan harus mudah, tetapi berkesan dan menyentuh. Ia tidak sewajarnya kompleks. Apabila sebut sahaja simbol dan lambang tersebut, orang ramai sudah tahu itu adalah sekolah tersebut. Pelajar-pelajarnya bukan sahaja berbangga memakai atau mengenakan simbol itu ke mana sahaja mereka pergi, tetapi mereka dapat merasakan makna dan perhubungan yang erat antara simbol itu dengan diri mereka.
Pelajar yang dilahirkan daripada sekolah yang sudah mempunyai kejayaan, tentu berbeza dengan pelajar yang datang dari sekolah yang belum pernah mencapai apa-apa kejayaan di peringkat yang lebih tinggi. Sebab itu jangan meremehkan aspek kemenangan dalam apa jua acara sekalipun ia hanya di peringkat daerah. Kita bukan sahaja patut bermimpi tentang kemenangan tetapi kita wajib merealisasikan kemenangan itu sendiri. Kerana motivasi yang paling kukuh ialah kemenangan yang pernah dicapai. Setiap pelajar kita mesti melalui pengalaman memenangi sesuatu acara dan menduduki tiga tempat teratas walaupun hanya sekali dalam kehidupannya sebagai seorang pelajar. Kemenangan ini penting sebagai dorongan kepada pelajar itu bahawa ia sebenarnya berupaya mencapai sesuatu kemenangan dan ini telah pun terbukti. Justeru tidak mustahil kemenangan yang lebih besar akan dicapai. Perasaan inilah yang hendak ditanam dalam diri setiap pelajar. Apakah yang bakal diceritakan kepada kawan-kawannya yang lain kalau bukan kejayaan dirinya. Apakah yang diharapkan orang menyatakan tentang dirinya jika bukan kebaikan dan kejayaan yang dicapainya. Lebih kerap ia mendengar di sekelilingnya orang menyatakan kejayaan sekolahnya dan pelajarnya, berbanding perkara tidak baik, lebih berbanggalah ia dengan sekolahnya dan lebih kuatlah rasa malunya untuk melakukan sesuatu yang akan menjejaskan nama baik diri dan sekolahnya.
Bukti-bukti kemenangan seperti piala, trofi, sijil dan sebagainya wajar ditonjolkan dan ditatap pada setiap hari oleh warga sekolah terutama pelajar-pelajarnya. Sebuah bilik atau pondok yang menempatkan semua piala itu wajar diwujudkan dan di situlah diletakkan semua piala yang pernah dimenangi. Namakan apa sahaja, bilik gemilang, arkib, bilik cemerlang dan sebagainya. Bilik ini mengandungi Ia patut diletakkan di tempat yang strategi dan di laluan utama di mana pelajar selalu berkumpul. Gambar-gambar pelajar yang berjaya wajar dibesarkan dan diframkan dan ditempatkan di bilik ini.
Selain tumpuan yang diberikan kepada core business, iaitu pendidikan sekolah boleh memfokuskan kepada satu bentuk simbol, wira dan lambang yang boleh dibanggakan oleh sekolahnya. Sekolah tidak perlulah berebut-rebut hendakkan semuanya, tetapi hasilnya ia tidak dapat apa-apa. Memadai jika ia dapat memberi tumpuan kepada satu atau dua bidang yang ia rasakan mampu menonjolkan sekolahnya. Tentulah usaha ini memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi ia harus dimulakan. Siapa yang harus memulakannya di sekolah. Tentulah pengetuanya. Inilah suatu ketika dahulu yang cuba diusahakan oleh bekas KPPM, Dato? Abdul Shukur apabila ia membangkitkan sekolah berwatak. Apa watak sekolah yang diingini. Adakah berwatak sukan, akademik, persatuan dan sebagainya. Jika sukan apakah satu watak yang paling menonjol yang ingin dilahirkan. Adakah bola jaring? Bola keranjang? Hoki dan sebagainya.
Pelajar-pelajar yang berjaya wajar diberi makan di high table bersama dengan Pengetua dan guru-guru kanan. Ia perlu dilaksanakan segera sebelum cerita kemenangan mereka sudah basi. Dengan menu yang lebih menarik dan lebih mahal daripada biasa, pelajar pada hari yang istimewa ini dilayan sebagai seorang wira. Jamuan itu adalah untuk mereka kerana kejayaan mereka mengharumkan nama sekolah. Setiap kantin sekolah wajar mewujudkan high table. Tidak perlu kita membawa mereka ke KFC atau Pizza. Tradisi seperti dahulu perlu dihidupkan semula.
Pengetua mesti bersedia untuk tidak menjadi popular atas usahanya ini. Kadang-kadang ia kelihatan bersendirian dalam menggagaskan usahanya ini sehinggalah gagasannya itu benar-benar difahami oleh warga sekolah.
Simbol boleh sahaja berupa ikon, slogan dan nyanyian bersemangat, gaya tepukan, upacara simbolik, dan lain-lain. Umpamanya apabila disebut harimau orang mengaitkannya dengan SMK KE VII Taiping. Maktab Melayu Kuala Kangsar dengan the big tree. Bekas-bekas pelajar SMKE VII Taiping sangat berbangga dengan sekolah mereka yang terkenal dengan ragbinya suatu ketika dahulu. Begitu juga dengan bekas pelajar MCKK yang setiap hari Rabu akan mengenakan tali leher sekolah.
Ketika sekolah dihantui dengan pelbagai masalah disiplin, pencapaian SMK Perempuan Sultanah Asma Alor Setar yang menjuarai pertandingan pancaragam di peringkat antarabangsa bolehlah dibanggakan. Ini satu lagi bentuk simbol dan wira yang dilahirkan. Selepas ini saya percaya orang akan mengaitkan sekolah ini dengan pencapaian cemerlang dalam bidang ini. Ia akan menjadi kebanggaan seluruh warganya. Ia menjadi kebanggaan ibu bapa pelajar yang anak-anaknya belajar di sekolah ini. Cuma berita seperti ini tidaklah diletakkan di muka hadapan akhbar dan menjadi berita utama media. Apakah sebenarnya yang kita harapkan sekolah buat dan sekolah lahirkan. Yang itu atau yang ini? Samseng atau wira sejati?
Mengapa ikon perlu bagi sesebuah sekolah. Ikon harus dibezakan daripada simbol, lencana, slogan dan moto sekolah. Ikon adalah sesuatu yang diletakkan di muka hadapan sekolah dan menjadi lambang unggul sekolah yang seolah-olah mengucapkan selamat datang kepada para pelawat. Apabila seseorang klien atau stakeholder memasuki perkarangan sekolah ia disambut dengan ikon yang berupa suatu replica yang ditanam untuk ditatap. Ikon itu menjadi lebih baik jika ia dapat menerapkan elemen tempatan.
Hakcipta Abd Bashid Harun, Presiden TieWrist.Port.

















No user commented in " Sekolah: Institusi Manusiawi Yang Tidak Menentu "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply