Ujian Sejarah dalam UPSR 2013
Subjek diajar secara khusus kepada murid Tahun 3 bermula 2010
KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Sejarah akan dimasukkan dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013 apabila subjek itu diajar secara khusus kepada murid Tahun 3 pada 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, berkata perkara itu sedang dikaji dalam Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah, yang dijangka beroperasi dua tahun lagi.
1.Itulah tajuk dan intro yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia berkaitan dengan mata pelajaran sejarah yang akan diajar di sekolah rendah mulai tahun 2010.
2. Begitulah peka dan cepatnya Kementerian Pelajaran bereaksi ke atas isu-isu sensitif terutama isu perkauman yang sering dibangkitkan oleh pemimpin politik dan bloggers sejak akhir-akhir ini.
3. Lalu mereka merumuskan bahawa sebab semua ini berlaku kerana kurang kefahaman terhadap sejarah Malaysia. Maka sebagai jawapan, mata pelajaran sejarah akan diajar lebih awal lagi iaitu semasa di sekolah rendah lagi.
4. Dan sekali lagi guru-guru akan diberi amanah untuk memikul tanggungjawab yang tidak ringan ini ke arah melahirkan masyarakat yang menghayati sejarah serta bertindak berpandukan perlembagaan dan undang-undang.
5. Masyarakat yang menghayati sejarah dan bertindak berpaksikan perlembagaan dan undang-undang tidak akan mempertikaikan, jauh sekali memecahkan kontrak sosial atau pakatan murni yang telah dipersetujui selama ini oleh tiga kaum terbesar yang menjadi penduduk negara ini.
6. Pada saya sejarah yang diajar nanti bukan sekadar untuk tujuan peperiksaan, tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk menanam rasa hormat dan persefahaman rakyat berbilang kaum di negara ini di samping menyedarkan mereka betapa sejarah dan asal-usul sesuatu bangsa tidak wajar diperlekehkan demi keharmonian kaum.
7. Sejarah yang diajar nanti biarlah sejarah yang mampu menimbulkan kebencian kepada musuh dan sebarang elemen yang boleh merosakkan keamanan dan kemakmuran negara yang telah dikecapi selama ini.
8. Subjek sejarah yang diajar nanti juga mampu membangkitkan semangat keberanian luar biasa dalam mempertahankan maruah dan keselamatan negara, serta keamanan rakyat di dalamnya daripada sebarang ancaman musuh.
9. Subjek sejarah itu juga mampu menggerak bangsa Malaysia bagi melakukan segala persiapan ke arah berhadapan dengan sebarang cabaran pada masa depan berdasarkan petunjuk-petunjuk masa kini dan masa lalu.
10. Subjek yang kejayaannya banyak bergantung kepada kreativiti guru (Klik di sini ) ini juga mesti berupaya menimbulkan kesedaran tentang jati diri dan tanggugjawab bangsa Malaysia kepada negaranya yang merdeka dan berdaulat.
11. Akhirnya sejarah yang begitu berupaya menyubur dan mencambah rasa bangga dan hormat yang tinggi kepada para pemimpin negara dan mereka yang berjasa serta membentuk rasa pengorbanan yang tinggi dan tidak berbelah bahagi kepada tanah air tercinta ini memang wajar diajar sejak kanak-kanak lagi.
12. Bagi mencapai semua tujuan di atas guru sejarah mesti berupaya mengetengahkan banyak contoh sebagai perbandingan. Maknanya guru sejarah mesti banyak membaca bukan sahaja bahan yang berkaitan sejarah negara tetapi juga sejarah dunia, sejarah sebelum merdeka dan sejarah selepas merdeka, sejarah Islam dengan Sejarah Malaysia dan pelbagai perbandingan lagi.
13. Sebagai contoh perbandingan antara apa yang berlaku kepada negara yang tidak stabil eknominya dengan negara yang mempunyai kekuatan dan kestabilan ekonomi.
14. Di peringkat sekolah rendah sejarah tidak perlu disibukkan dengan tujuan peperiksaan di mana murid-murid menghafal fakta untuk mendapat markah yang tinggi.
15. Oleh kerana sekolah rendah masih di peringkat awal, sejarah harus diajar dengan cara yang paling menyeronokkan, menghiburkan dan selesa.
16. Jangan sampai sejarah akan menjadi bebanan sehingga menyebabkan mereka hilang minat untuk mempelajari sejarah semasa di Tingkatan seterusnya.
17. Matlamat asal kita memperkenalkan mata pelajaran sejarah di sekolah rendah adalah untuk memberi pemahaman dan penghayatan yang mendalam kepada murid-murid agar menghayati sejarah sejak awal lagi.
18. Tetapi jika kita terlalu menekankan subjek sejarah untuk tujuan peperiksaan dan hafalan, subjek sejarah akhirnya akan ditolak lebih awal lagi.
19. Akhirnya apabila mereka masuk ke Tingkatan 1, mereka sudah tidak berminat lagi untuk mempelajari sejarah.Sejarah di peringkat rendah patut menjurus kepada penghayatan dan amalan, bukannya peperiksaan.
20. Sekali lagi saya ulang sejarah banyak bergantung kepada pendekatan dan cara guru yang mengajar. Jika guru itu sudah awal-awal lagi tidak meminati sejarah atau tidak mempunyai semangat kebangsaan dan patriotisme, agak sulit matlamat asal mengapa mata pelajaran sejarah ini diperkenalkan di sekolah rendah akan dicapai.
21. Sebab itu guru itu harus diberi kefahaman yang mendalam terlebih dahulu dengan subjek ini dan mendedahkan mereka dengan kaedah berkesan dalamP & P..
22. Bagaimana sejarah mempunyai kaitan yang signifikan dengan nasib dan masa depan politik dan ekonomi negara harus mampu ditunjukkan kepada murid-murid. Apabila peristiwa masa lalu dapat dibawa hampir kepada mereka itulah lebih baik.
23. Mata pelajaran sejarah sungguh pun tidak mempunyai nilai ringgit seperti matematik dan sains namun mata pelajaran ini mempunyai nilai yang tidak terhingga banyaknya bukan dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk ketinggian semangat berkorban dalam mempertahankan negara daripada ancaman musuh dan mengekalkan kestabilan negara dan ketenteraman awam.
Hakcipta Abd Bashid Harun












3 users commented in " Sejarah: Bukan Sekadar Peperiksaan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackMenjadi mentaliti ibu bapa dan juga pegawai-pegawai kementerian pelajaran menganggap kalau subjek tiada peperiksaan, ia tak akan diambil berat. Kalau ada peperiksaan, pengajaran tertumpu kepada bagaimana cemerlang dalam peperiksaan. Akibatnya sejarah menjadi subjek yang membosankan dan membosankan kerana perlu menghafal terlalu banyak fakta. Guru-guru perlu kreatif supaya subjek ini menyeronokkan dan dihayati oleh pelajar.
Apa sahaja yang baik memang saya sokong. Dalam hal matapelajaran sejarah ini, ada persoalannya.
Idea yang timbul daripada isu politik itu, wajarkah diserah kepada pihak pendidikan di sekolah sahaja? Jika berjaya, berapa lama baru dapat dituai hasilnya? Lima belas tahun? Dalam tempoh itu, soal politik negara bagaimana jadinya? Sudah tentu jauh berubah. Pada ketika itu apakah subjek sejarah itu releven?(kerana tidak dirancang dengan teliti). Atau subjek sejarah di sekolah akan hanya menjadi sejarah dan kenang-kenangan sahaja.
Perancangan memantapkan matapelajaran sejarah ini perlu melibatkan guru-guru yang mengajar di sekolah. Jangan yang “buta sejarah” dan “buta mengajar” juga nak dilibatkan dalam perancangn.
salam perkenalan daripada BakalGuru.com
Leave A Reply