1 SEBAGAI guru yang pernah mengajar subjek penddikan islam, saya berani menyatakan di sini bahawa jika anda mempelajari mata pelajaran ini dengan penuh tekun di bawah bimbingan ustaz dan ustazah yang ikhlas, bertanggungjawab dan amanah, dari darjah 1 hingga Ting 5 adalah memadai untuk anda menghindarkan diri daripada perkara maksiat yang jelas seperti zina, riba, murtad dan jinayah.
2 Jika fikiran seseorang murid itu tidak dipesongkan dengan ajaran-ajaran lain selain daripada apa yang mereka tuntut semasa dari darjah 1 hingga Ting 5 itu, murid itu akan terus mematuhi garis panduan yang terdapat dalam mata pelajaran yang mereka pelajari.
3 Dalam hal ini Kementerian Pelajaran telah melakukan usaha yang paling baik sejak dari peringkat penggubalan kurikulum lagi, termasuk dalam hal sukatan dan buku teks yang hendak digunaan. Jika kesannya tidak cukup baik juga, timbul tanda tanya, adakah pengajaran mereka yang terbabit dengan subjek tersebut terhijab daripada menyentuh nurani murid.Adakah cara pengajaran yang membosankan menyebabkan kandungan mata pelajaran sepenting itu pun gagal dikuasai dan seterusnya dihayati oleh pelajar.
4 Ia sama seperti subjek sejarah yang di dalamnya termuat berbagai-bagai aspek tentang elemen asal usul bangsa dan negara, perjuangan menuntut kemerdekaan, kepahlawanan, nilai patriotisme, kesan buruk komunis, darurat, kontrak sosial dan perlembagaan. Semuanya mencukupi untuk menghindar diri seseorang itu daripada menjadi musuh kepada negaranya sendiri, apatah lagi menjadi musuh kepada bangsa dan agama.
5 Tetapi mengapa masih ada perkara buruk yang berlaku yang melibatkan warga negara kita walhal mereka telah mempelajari semua itu selama beberapa tahun di sekolah rendah dan menengah. Adakah itu kesalahan UMNO atau kerajaan per se. Atau yang mengajarkan subjek itu tidak ada roh kecintaan kepada negara, tiada semangat patriotik atau mempunyai hati bebal dengan melawan fakta lalu menyembunyikan sesuatu yang sepatutnya disampaikan.
6 Atau dalam bahasa yang lebih keras lagi, guru-guru itu sendiri menjadi musuh kepada sejarah agama, bangsa dan negaranya sendiri lantaran permusuhannya kepada kerajaan semasa.
7 Jika itu realitinya apa yang terjadi selama ini,tidak seperti diharapkan dan sia-sia. Ternyata sebahagian kita kaum guru seronok sendiri ketika mengajar. Kita mendakwa yang kita penat dan berhempas pulas mengajar, tetapi yang kita ajar tidak lebih daripada apa yang dimunculkan dari mulut kita per se bukan daripada hati nurani kita yang menyentuh aqal budi dengan penuh kemanisan dan penghayatan.
8 Seolah-olah wujud jurang antara pengajaran kita dengan hati nurani murid-murid kita yang antara kedua-duanya tidak wujud hubungan antara satu sama lain.Gelombang getaran pengajaran kita tidak sampai menyentuh dhamir murid-murid dan meresap masuk ke setiap saluran pembuluh darah mereka.
9 Kita mungkin hanya mengajar apa yang dibaca dan tertulis, tetapi tidak memindahkan kefahaman dan penghayatan kita yang jelas lagi mendalam tentang topik-topik yang diajar sehingga bertukar menjadi pemahaman yang mendalam dan penghayatan kepada murid-murid.Akhirnya kita mendapat gaji beribu-ribu ringgit sebulan, murid kita pula mendapat kekosongan jiwa daripada penghayatan.Akhirnya keadaan seperti sekarang inilah yang terjadi.
10 Jika kita sendiri memaki hamun kerajaan,bersekongkol dengan musuh-musuh negara dan perosak perpaduan bangsa dan kesatuan umat, bagaimana kita hendak menjadi pengajar sejarah negara yang baik. Anda telah menjadi musuh kepada sejarah negara bangsa anda sendiri, tiba-tiba anda mahu menyampaikannya kepada murid-murid anda. Apa ke jadahnya ini?( saya marah)
11 Begitu juga jika anda mengajar mata pelajaran pendidikan islam, anda sebenarnya mengajar perkara-perkara baik yang semuanya datang dari sumber yang Maha Baik iaitu Allah s.w.t.Sebagai pengajar kepada benda-benda baik, wadah dan platform iaitu diri anda sendiri mesti baik juga.
12 Tetapi bolehkah pengajaran anda bertukar menjadi sentuhan yang menimbulkan penghayatan dan kesedaran mendalam di dalam hati budi murid-murid anda jika anda sendiri turut mengumpat, mencaci, memaki, memfitnah,bercakap kasar dan mengesyaki yang bukan-bukan kepada majikan anda, iaitu kerajaan Malaysia.
13 Dari mulut anda keluar ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Nabi tetapi dari mulut itu jugalah anda keluarkan perkataan yang sama sekali berbeza.Apa ke jadahnya ni.Inilah yang berlaku dan kesannya kita dapat saksikan sekarang ini.
14 Saya cuba melihat dari perspektif keberkesanan pengajaran guru sama ada pengajaran guru berupaya menjadi penghayatan yang menyentuh hati nurani dan akal budi manusia atau pengajaran kosong yang tidak melewati kerongkong mereka.
15 Saya berharap guru yang mengajar kena ada rasa cinta dan kemanisan dengan subjek yang diajar bukan secara terpaksa apatah lagi menjadi musuh kepada subjek yang diajarnya. Sebagai guru saya melihat aspek yang satu ini sangat penting.
16 Apabila saya di sekolah dan menjalankan tugas-tugas rasmi yang berkaitan core business saya. saya adalah penjawat awam yang berkhidmat di bawah majikan semasa saya iaitu Kerajaan Malaysia daripada parti BN. Kerajaan semasa ini membayar semua gaji dan emolumen dan apa-apa jua faedah sebagai kakitangan awam kepada saya.
17 Orang sudah jelas bahawa parti saya ialah UMNO. Saya tidak boleh menipu dalam hal yang satu ini. Kebetulan UMNO dan BN yang menjadi kerajaan pusat sekarang dan sementalahan Kementerian Pelajaran pula di bawah kerajaan pusat itu, maka tidak ada apa-apa yang perlu saya sembunyikan tentang pendirian saya terhadap kerajaan dan parti yang memerintah di mana saya sekarang bertanggungjawab untuk menjalankan sistem dan misi kerajaan yang saya dokong itu.
18 Anda boleh sahaja menyokong mana-mana parti yang anda suka, tetapi jika anda tidak mengajar dengan sebaik-baiknya dan pengajaran anda tidak dapat difahami oleh murid-murid anda, andalah yang bersalah bukan kerajaan.
19 Anda boleh sahaja mendakwa bahawa anda ahli parti PAS atau PKR, tetapi jika anda mengajar agama secara yang salah, secara semberono,tidak menepati waktu, culas dan tidak ikhlas anda berdosa.
20 Anda bukan sahaja bertanggungjawab kepada majikan anda tetapi di tangan anda mencorakkan masa depan generasi akan datang. Adalah suatu kesilapan besar jika anda membawa murid anda ke jalan yang salah sampai murid itu tidak tahu yang mana satu baik dan yang mana satu jahat.
21 Inilah pendirian saya sebagai guru yang sekaligus sebagai kakitangan awam yang sekarang ini sedang mendokong dan menyokong kerajaan semasa dan parti yang didokong oleh kerajaan itu. Salah satu cara yang boleh saya lakukan ialah mengajar mata pelajaran saya, Sejarah dengan sebaik-baiknya sambil menerapkan aspek nilai di dalamnya.
22 Saya tidak keliru langsung tentang tanggungjawab yang saya wajib pikul sebagai warganegara Malaysia yang bertanggungjawab, termasuk untuk membezakan bila saya harus berparti dan bila pula saya harus mendokong usaha-usaha kerajaan semasa.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Sebagai Guru, Adakah Anda Merasakan Yang Anda Tidak Terlibat Langsung? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply