Saya pernah tinggal di negeri Sabah selama hampir lapan tahun. Tempoh itu tidak lama tetapi agak mengerti tentang keadaan di negeri yang mendapat jolokan Negeri Di Bawah Bayu dan kebudayaan rakyatnya yang unik dan berbilang etnik.
Saya agak bertuah kerana mempunyai ramai kenalan di Sabah sebelum saya mencecahkan kaki di buminya buat pertama kali pada Disember 1989.
Kawan-kawan yang sama-sama belajar di KIK dan di UM memang mengalu-alukan kehadiran saya dan merekalah antara yang menceriakan saya dan keluarga sepanjang bertugas di Sabah.Tentulah tidak dilupakan teman-teman setugas dan bekas-bekas pelajar saya di SBP Sabah (sekarang SMS Sabah)
Anda kena lebih berhati-hati apabila bercakap tentang agama dan bangsa yang ada di Sabah. Walaupun secara umumnya satu bangsa ada kaitan dengan agama tertentu, namun secara individu anda tidak boleh terus mengaitkan agama dengan bangsa dan nama mereka, apatah lagi mensenda-sendakan perkara ini kerana dalam satu rumah atau lebih tepat lagi dalam satu keluarga mungkin ada yang Islam, Kristian dan pagan. Di sinilah lebih terbukanya minda dan sikap masyarakat Sabah yang saya kira bukan satu masalah tetapi ruang untuk menjalin hubungan yang lebih akrab dan mesra.
Apabila menjelang Hari Raya ada keluarga yang menyambutnya bersama-sama sekalipun di rumah itu mungkin ada yang berlainan agama. Begitu juga anak-anak yang sudah memeluk agama Islam akan kembali ke rumah ibu bapanya untuk sama-sama menyambut Tahun Baru Cina. Keadaan ini hampir serupa berlaku di negeri jirannya, Sarawak.Ini menunjukkan betapa hubungan kekeluargaan dan darah itu sangat diberi keutamaan, dan sukar untuk dipisahkan.
Saya tidak menganggap ini sesuatu yang pelik, tetapi ini sudah cukup menjelaskan kepada kita betapa terbukanya pemikiran dan sikap rakyat Sabah kepada apa jua agama dan bangsa sehingga agama dan ras bukan lagi penghalang kepada perhubungan antara pelbagai etnik dan ras.
Pada pengamatan saya Sabah merupakan sebuah negeri yang paling cantik, kaya dengan keindahan alam semulajadi dengan pulau-pulaunya yang unik dan pemandangan kaki gunung di Kundasang yang cukup menarik.
Low’s Peak, yang merupakan puncak tertinggi Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara memang menjadi idaman pendaki untuk sampai ke sana sebelum membuat pendakian ke puncak gunung yang lebih tinggi di dunia.
Namun masih banyak yang perlu dibuat oleh pemimpin Sabah, dan penduduknya sama ada secara mandiri atau dengan bantuan kerajaan pusat demi memajukan negeri ini. Negeri yang pernah ditadbir oleh Syarikat Borneo Utara British (SBUB) ini tidak akan muncul sebagai sebuah negeri maju jika usaha-usaha yang dilakukan hanya sekadar untuk mengambil hati dan memenangi undi.Rakyat Sabah memerlukan lebih daripada sekadar ini.
Rakyat Sabah memerlukan modal, prasarana,R & D berterusan dalam bidang strategik dan berdaya maju serta pembangunan menyeluruh dan berskala besar, bukan sekadar janji dan agenda ambil hati.
Sabah kaya dengan khazanah alam semulajadi dan kekayaan budaya etniknya, tetapi itu masih belum mencukupi jika belum terbina “titian kasih” yang menyeberang ke hati seluruh warganya serta diberi publisiti dan promosi tanpa henti.
Sabah kaya dengan hasil tanaman estotika seperti avocado, markisa, tarap dan bambangan yang memerlukan ladang yang luas dan teknologi yang tinggi.
Sabah kaya dengan makanan tradisional seperti kuih cincin yang lazat, tahan lama dan berpotensi untuk pasaran seluruh Malaysia dan ke seluruh Asia dengan syarat aspek pembuatan, pembungkusan dan pemasarannya diambil berat.
Begitulah Sabah yang kaya dengan pelbagai khazanah tetapi masih tenggelam di dalam “tanah”nya yang indah di mana bayu bertiup di atasnya.
Jika sokongan Sabah diharapkan berterusan dan berkekalan, seiring dengannya adalah pembangunan dan kemajuan yang mapan.
Hakcipta Abd Bashid Harun

















1 user commented in " Sabah Dengan Pelbagai Khazanah "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackJadi pingin ke Sabah euy …
Leave A Reply