1 Minggu ini dan minggu-minggu seterusnya adalah minggu yang cukup sibuk buat saya. Saya sudah memaklumkannya kepada isteri dan anak-anak saya tentang apa yang sedang berlaku dan akan berlaku.

2 Pagi tadi saya menyambung ceramah saya dalam bengkel penulisan. Pada hari Selasa yang lalu saya telah memberitahu pelajar-pelajar lepasan UPSR tentang 8 perkara paling asas tentang penulisan.

3 Saya beritahu mereka bahawa seseorang itu tidak mungkin dapat menulis jika perkara paling asas yang berikut tidak diketahui dengan jelas. Perkara yang saya maksudkan ialah huruf, suku kata, kata, frasa, klausa, ayat, perenggan dan karangan.

4 Saya sepatutnya memahirkan pelajar menulis huruf terlebih dahulu sebab masih ada antara mereka yang belum mahir menulis huruf dengan betul.

5 Malahan sebahagiannya tidak dapat menulis angka dengan betul. Mereka hanya kenal huruf dan angka serta tahu menyebutnya, tetapi sebahagian mereka tidak mahir menulisnya.

6 Pernahkah kita sebagai guru memerhatikan pelajar kita sewaktu mereka menulis huruf a, b, c hingga z.Ada pelajar yang memulakan tulisan dari bawah. Ada pelajar yang menulis angka 8 dengan menulis angka 0 terlebih dahulu.

7 Apa yang saya beritahu ini hanyalah sebahagian daripada kesilapan yang dilakukan dalam penulisan huruf dan angka.Mereka tidak menulis dengan cara yang betul, tetapi menulis menurut cara yang sudah biasa mereka lakukan.

8 Disebabkan hal ini tidak pernah diberi perhatian dan ditegur, maka kesilapan ini tidak pernah dianggap serius.Malahan sebahagian besar pelajar menerimanya sebagai betul.

9 Hari ini saya memberitahu mereka tentang keperluan menguasai sebanyak mungkin kosa kata, melakukan diksi (pemilihan kata),logika dalam penulisan, gaya bahasa dan penutup karangan.

10 Untuk menguji penguasaan kosa kata mereka dan kecekapan mereka dalam membuat pemilihan kata atau diksi saya banyak bertanya mereka tentang ikan air tawar. Saya minta mereka menyenaraikan nama ikan air tawar di Malaysia.

11 Ada pelajar yang menyenaraikan ikan kayu dan ikan pari sebagai ikan air tawar. Malahan ada yang menyenaraikan ikan pirana sebagai ikan tawar yang hidup di Malaysia.

12 Malahan ada pelajar yang menjawab ikan masin dan ikan pekasam sebagai ikan air tawar.

13 Nampaknya pelajar kita kenal ikan tetapi belum tentu mereka dapat membezakan yang mana ikan air tawar dan yang mana pula ikan air masin.

14 Kalau mereka dapat menyenaraikannya pun belum tentu ikan yang disenaraikan itu ada di Malaysia.

15 Ternyata sekali pelajar kita masih kekurangan kosa kata dan tidak dapat memilih kata yang paling tepat untuk disesuaikan dengan tajuk atau tema karangan mereka.

16 Lebih tepat lagi jika dikatakan yang kosa kata mereka cukup terhad. Bagaimanakah mereka dapat menghasilkan sebuah karangan yang baik jika kosa kata tidak mencukupi.

17 Untuk menguji pengetahuan mereka tentang ikan air tawar, saya turut meminta mereka menyenaraikan nama peralatan yang digunakan untuk menangkap ikan air tawar.

18 Ternyata mereka masih belum dapat membezakan antara rod dan joran, mata kail dan pancing. Saya beritahu mereka jika kita hanya ada rod sahaja; atau mata kail sahaja atau tangsi sahaja kita tidak akan berjaya menangkap ikan air tawar.

19 Ternyata sekali masih banyak yang perlu dilakukan oleh pelajar, termasuk guru Bahasa Melayu bagi memahirkan pelajar dalam aspek penulisan karangan.

20 Jika hendak menulis karangan pun mereka masih terkial-kial mencari kata dan istilah yang sesuai, bagaimana halnya dalam penulisan rencana atau artikel.

21 Bagi saya tiada cara lain untuk menangani masalah ini selain banyak membaca, melayari internet dan menghafal maksud beberapa patah perkataan sehari.

22 Jika pelajar dapat menghafal 20 patah perkataan sehari bersama maksudnya, bererti dalam masa lima hari pelajar sudah dapat menguasai 200 patah perkataan.

Hakcipta GuruBashid