Apabila Siam mengancam keselamatan Patani dan seterusnya Kedah, Sultan Kedah meminta bantuan Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI). Tetapi SHTI enggan membantu Kedah kerana tidak mahu mengancam kepentingan hubungan  perdagangannya dengan Siam. Nampaknya SHTI lebih bersedia bermusuhi Kedah daripada berdepan masalah dengan Siam.  Kedah menganggap keengganan SHTI membantunya sebagai mungkir janji kerana sebelum ini menurut Kedah SHTI pernah berjanji akan membantu negeri  itu apabila diancam musuh. Dakwaan Kedah itu berasaskan Perjanjian Inggeris-Kedah 1786. Akan tetapi yang menariknya SHTI mempunyai alasan yang tersendiri dan agak kukuh apabila menolak permintaan Kedah itu. SHTI mendakwa Perjanjian 1786 itu bukan antara Syarikat dengan Kedah tetapi hanyalah antara  Francis Light secara individu dengan sultan Kedah. Maknanya SHTI tidak mempunyai apa-apa hubungan dan kepentingan dengan perjanjian tersebut. Ini tentu menjadi satu pukulan ke atas kepemimpinan Kedah pada waktu. Mereka terasa ditipu. Tetapi sudah terlambat bagi Kedah kerana SHTI sudah mencengkam kuat Pulau Pinang. Adakah sultan Kedah pada waktu itu tidak terfdikir akan hal ini dan implikasi yang bakal diterima daripada perjanjian tersebut. Tidak adakah penasihat Sultan yang bijak pandai pada waktu itu  sehingga Sultan tidak sedar ada muslihat di sebalik perjanjian tersebut. Mengapa tidak diselidiki dahulu sama ada Sir Francis Light mewakili SHTI atau beliau datang atas kepentingan  peribadinya. Atau pada waktu Sultan memang tidak mendapat nasihat apa-apa daripada pembesarnya kerana sebelum itu kepemimpinan Sultan Kedah memang telah pernah dipertikaikan oleh pembesar negeri itu. Sultan Muhammad Jiwa yang pernah memerintah Kedah pada sebelum  itu  ditentang para pembesar  kerana  tindakan baginda  melantik anak baginda yang bukan berketurunan permaisuri yang sah sebagai Raja Muda sehingga Kedah diserang oleh Bugis dari Selangor. Lebih malang lagi apabila kepemimpinan Sultan selepas itu kehilangan Seberang Prai setelah sebelum itu mereka kehilangan PulauPinang yang telah ditukarkan namanya kepada Prince of Wales Island. Nampaknya nasib Kedah diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga. SHTI atau British tidak pernah membantu Kedah sehinggalah kemuncaknya ditandatangani Perjanjin Burney yang mengesahkan terus bahawa negeri utara itu di bawah Siam, bukan lagi di bawah kekuasaan SHTI atau British.