Beberapa hari ini saya dan isteri asyik mencari sebab mengapa golongan muda khususnya yang buat pertama kali keluar mengundi dalam PRU-12 yang lalu tidak menyokong kerajaan.

Pencarian ini kami lakukan kerana keyakinan kami bahawa blog bukanlah penyebab utama kekalahan Barisan Nasional di lima buah negeri dan di Wilayah Persekutuan KL seperti dakwaan beberapa pihak. Itulah mendorong saya sebelum ini menulis artikel bertajuk Blog Bukanlah Segala-Galanya.. Baca juga artikel saya berjudul Apa Yang Anda Ingin Sembunyikan?

Blog bagi kami hanyalah saluran untuk menyatakan rasa tidak puas hati golongan tersebut kepada kerajaan yang bermula daripada suatu sebab atau punca. Sebab dan punca itu bertambah dari sehari ke sehari sehingga akhirnya menjadi bom jangka yang meledak pada masa yang tepat.

Blog yang menjadi pilihan golongan muda dan bukannya media utama menjelaskan lagi gambaran bahawa golongan muda memang semakin jauh daripada kerajaan. Dengan memilih blog, mereka berasa benar-benar bebas. Merekalah pemilik blog, merekalah penulisnya, merekalah editornya dan merekalah yang memperaku sendiri bahawa pandangan mereka itu tepat.

Kami berbincang serius tentang hal ini sebab kami pun ada anak-anak yang semakin membesar dan bakal menjadi remaja dan seterusnya apabila sampai masanya akan membuang undi. Kami mahukan anak-anak kami tidak salah membuat perhitungan sehingga merugikan agama, bangsa dan negara.

Pandangan isteri saya membuatkan saya berfikir panjang dan mencari kebenarannya. Isteri saya menyatakan antara sebabnya ialah anak-anak muda sudah tidak punya ikatan yang kukuh lagi dengan ibu bapa mereka sebagai penanggung beban utama perbelanjaan persekolahan dan pengajian mereka.

Begitu juga pihak kerajaan tidak lagi dianggap penanggung utama kos pengajian mereka kerana mereka sudah tidak lagi menerima biasiswa atau sekurang-kurangnya dermasiswa daripada kerajaan seperti yang pernah diterima oleh generasi ibu bapa, pak cik dan makcik mereka yang sekarang rata-rata berumur dalam lingkungan 40-49 tahun.

Oleh kerana ketiadaan penyebab utama yang mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan dan ibu bapa, serta tiada rasa terhutang budi lagi dengan ibu bapa dan kerajaan, maka mereka agak bebas untuk memilih jalan sendiri termasuk mengundi calon yang mereka suka.

Kadang-kadang remaja yang dalam lingkungan umur ini berasa merekalah yang menanggung kehidupan mereka sendiri. Zaman sudah berubah, tetapi kepayahan dan kesusahan tetap berterusan cuma dalam bentuk yang berbeza.

Apabila mereka melihat ibu bapa mereka terpaksa menanggung pelbagai beban daripada wang pendapatan yang tidak seberapa berbanding beban kos yang terpaksa ditanggung pada masa kini, mereka mengambil keputusan untuk bekerja sementara apabila ada sahaja cuti pendek seperti cuti semester atau ketika menunggu keputusan peperiksaan. Wang pendapatan sebagai pekerja kilang, jurujual, atau promoter itulah yang digunakan untuk membiayai perbelanjaan persekolahan, kolej dan universiti mereka.

Maksudnya ibu bapa tidak lagi dibeban dengan masalah mereka, malahan kadang-kadang ibu bapa pula termakan belanja anak-anak mereka ini.

Apabila mereka berjaya memasuki universiti, mereka terpaksa berhutang pula dengan kerajaan melalui wang PTPN. Sekali lagi mereka melihat kerajaan tidak memberi apa-apa kepada mereka. Sebaliknya mereka pula terpaksa memikirkan untuk membayar kembali hutang itu apabila sudah menamatkan pengajian di universiti atau mendapat pekerjaan.

Situasi ini menyebabkan mereka sudah tidak lagi menganggap kerajaan sebagai penanggung utama mereka. Malahan mereka melihat ini sebagai tekanan kerajaan ke atas mereka. Malahan kesulitan untuk mendapat pekerjaan dengan kerajaan setelah menamatkan pengajian di universiti dan kolej menambahkan tekanan ke atas mereka.

Dan sebagai jawapannya mereka mencari pekerjaan di sektor swasta. Apabila mereka mendapat pekerjaan di sektor swasta dengan gaji yang agak selesa mereka semakin merasakan kerajaan sudah tiada punya apa-apa kaitan lagi dengan mereka. Hubungan mereka dengan kerajaan semakin menjarak sehingga sampai satu peringkat kerajaan sudah tidak ada lagi di hati mereka.

Dalam kedudukan yang begitu mereka beranggapan kesetiaan kepada kerajaan hanyalah sebagai satu pilihan kerana kesetiaan sekarang perlu diberikan kepada syarikat swasta yang berjasa kepada mereka. Wujud atau tidak wujudnya kerajaan itu sama sahaja bagi mereka.

Ini berbeza dengan zaman pengajian saya dahulu, sekitar tahun 70-an dan 80-an yang semua kos persekolahan ditanggung oleh ibu bapa atau kerajaan atau kedua-duanya sekali.

Anak-anak ketika itu melihat sendiri bagaimana susahnya ibu bapa mereka bertungkus lumus membanting tulang empat kerat bagi membiayai persekolahan mereka. Pada zaman itu tiada skim pinjaman buku teks. Yuran dibayar sendiri dan buku terpaksa dibeli. Dan anehnya sesusah mana pun mereka pada waktu itu, mereka tetap akan menyediakan semua bayaran itu. Tidak pernah dibangkitkan rasa tidak puas hati apatah lagi serangan ke atas pihak sekolah.

Dan apabila anak-anak itu membesar dan mempunyai kelebihan dalam pelajaran, mereka tidak perlu berebut-rebut untuk mendapat tempat di universiti. Universiti seolah-olah mengalu-alukan dan memberi tempat kepada mereka. Mereka tidak perlu dirisaukan dengan penempatan yang tidak mencukupi dan seterusnya tentang masa depan mereka dalam alam pekerjaan sebab semuanya tersedia buat mereka.

Kerajaan pula pada waktu itu menyediakan biasiswa yang saya kira nilainya antara RM3,000 hingga RM5,000 setahun. Setidak-tidaknya mereka akan menerima dermasiswa yang jumlahnya dalam lingkungan RM3,000 setahun.Malahan pelajar yang menerima biasiswa ini sebelum itu telah mendapat Biasiswa Kecil Persekutuan semasa di sekolah menengah lagi.

Pelajar-pelajar era saya dahulu kini sudah berusia dalam lingkungan 40 hingga 49 tahun. Mereka itulah generasi YB Dato’ Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said, Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah,dan ramai lagi.

Hakcipta Abd Bashid Harun