Sebenarnya sejarah lebih daripada mengingati tentang tarikh, nama dan peristiwa. Sejarah lebih menekankan aspek pengajaran (teladan dan sempadan) daripada sesuatu peristiwa yang berlaku itu dan sejauhmanakah ia diambil sebagai iktibar dalam setiap tindakan kita. Sesuatu yang berlaku biasanya didahului dengan sebab. Sebab-sebab itulah yang hendak kita kaji. Begitu juga dengan kesan-kesan daripada sesuatu peristiwa yang berlaku. Ada dua cara untuk seseorang itu mengambil iktibar daripada sejarahnya. Pertama melalui penglihatannya kepada benda-benda bersejarah seperti bangunan lama, mercu tanda dan tempat bersejarah, dan manuskrip Tetapi apa yang ditinggalkan dalam bentuk binaan seperti itu amat terhad. Selain itu, kita perlulah membaca bahan-bahan sejarah. Sebabnya tidak semua peristiwa yang berlaku dapat dikesan melalui benda-benda yang ditinggalkan. Maka kita harus membacanya. Tetapi masalahnya masyarakat kita kurang membaca. Apatah lagi bahan sejarah - tentang cerita lama-lama yang tidak ada nilai hiburan dan komersil itu. Oleh sebab mereka tidak membaca bahan-bahan sejarah, bagaimana mereka ingin mengambil pengajaran daripada sesuatu peristiwa sejarah.Disebabkan sejarah adalah peristiwa yang berkaitan dunia masa lalu, orang selalu sahaja melupakannya. Sudah menjadi kebiasaan bagi orang-orang kita akan melupakan sesuatu yang berlaku dua minggu yang lalu, inikan pula kejadian yang berlaku puluhan atau ribuan tahun yang lalu. Sebab itu apabila Tun Dr. Mahathir menyatakan Melayu mudah lupa, memang Dr. Mahathir ada buktinya.Oleh sebab sejarah bukanlah peraturan atau undang-undang, maka orang tidak merasakan perlu belajar sejarah. Sejarah walaupun bukan undang-undang atau perlembagaan, namun sejarah adalah sumber rujukan utama yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja untuk sepanjang hidup kita.Semalas-malas kita mengingat sejarah, apalah salahnya jika sekiranya kita mengingat sejarah untuk 2 atau 3 kali dalam setahun. Pertama, sewaktu kita menyambut Tahun baru adalah wajar kita merenung kembali apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya. Apakah kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh diri sendiri dan negara. Begitu juga yang gagal dilaksanakan. Kedua, sewaktu menyambut Hari Kemerdekaan. Pada waktu ini wajarlah kita menyingkap balik peristiwa yang berlaku sebelum kemerdekaan tanah air. Betapa sukarnya para pejuang dahulu membebaskan negara ini daripada belenggu penjajahan. Peruntukkanlah lebih kurang 15 minit untuk kita membezakan antara zaman sebelum merdeka dan zaman selepas merdeka dan keadaan kita hari ini. Bagi orang Islam kita boleh mengenang kembali sejarah Rasulullah s.a.w.












No user commented in " Mempelajari Sejarah Bukan Pilihan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply