Semalam ucapan yang disampaikan dalam perhimpunan rasmi yang diadakan pada setiap hari Isnin, saya banyak memberi tumpuan kepada peristiwa ‘asyura. ‘Asyura berasal daripada kata dasar ‘ashara yang bermaksud sepuluh. ‘Asyura bermaksud hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram atau the tenth dalam Bahasa Inggeris. Banyak peristiwa besar yang berlaku pada hari kesepuluh dalam bulan pertama Islam itu. Antaranya ialah peristiwa pembunuhan saidina Hussain bin Ali bin Abi Talib, cucu rasulullah s.a.w. di Karbala, Iraq dan peristiwa terdamparnya bahtera nabi Noh a.s. di atas Bukit Judi setelah beberapa lama dilanda banjir besar. Berbagai-bagai cara dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk memperingati hari besar itu. Di kalangan pengikut Syiah di Iran mereka berkumpul beramai-ramai sambil menumbuk-numbuk dada sendiri sebagai tanda kesal atas kealfaan mereka untuk membantu Saidina Hussain sehingga cucunda rasulullah s.a.w. itu terbunuh di Karbala di tangan pasukan pimpinan Yazid bin Muawiyah. Tetapi bagi kita yang menjadi pengikut ahlussunnah wal-Jamaah sambutan ‘asyura itu lebih banyak dikaitkan dengan peristiwa terdamparnya Bahtera Nabi Nuh a.s itu. Setelah dipastikan banjir surut dan keadaan selamat Nabi Nuh a.s. mengarahkan semua baki bijirin dan bahan mentah yang masih ada dikumpulkan lalu dicampur sekali dan dimasak dengan menggunakan air yang banyak. Maksudnya makanan yang paling sesuai dihasilkan daripada bahan yang sedikit tetapi boleh menampung keperluan ramai ialah bubur. Ini untuk memastikan makanan itu kembang, dan meningkat berkali-kali ganda. Sebab itu disunatkan makan makanan yang berkuah. Orang tua kita dahulu menyatakan makanan berkuah akan meringankan otak dan mencerdaskan minda. Sebab itu dalam hidangan harian kita, pastikan ada makanan atau lauk pauk yang berkuah. Tubuh memerlukan banyak air dan makanan yang mudah dihadamkan seperti bubur. Atas alasan itu, maka kita di negara ini, terutama kaum wanitanya akan memasak bubur asyura atau kuih asyura yang mempunyai pelbagai cita rasa. Ada kuih yang manis, ada yang berperisa rempah, ada yang keras seperti bingka dan ada yang lembut. Walau apapun, kita menyambutnya dalam keadaan kita mewah dengan makanan dan bergembira, namun peristiwa yang dialami oleh Nabi Nuh dan umatnya serta peritiwa yang menimpa cucunda rasulullah s.a.w. itu lebih menggambarkan keadaan bersedih, serba kekurangan dan berdukacita.

















No user commented in " Asyura/Hari Kesepuluh/The Tenth "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply