1 APABILA seseorang pelawat datang ke sekolah atas apa jua urusan dan sebab, orang pertama yang patut ditemui ialah pengawal keselamatan. Pelawat itu akan diberi Buku Daftar Pelawat dan di situ nama mereka dicatatkan dan ditandatangani.
2 Selepas itu mereka akan menerima PAS PELAWAT yang mesti dilekatkan pada baju bukan dipegang.
3 Jika ada pelawat yang berdegil untuk menyematkan pas pelawat tersebut,adalah wajar bagi pengawal keselamatan itu sendiri menyematkan pas pelawat itu di baju pelawat.
4 Perlu diingat, pas pelawat yang diterima daripada pengawal keselamatan yang bertugas bukanlah lesen untuk para pelawat masuk ke kawasan sekolah sesuka hati mereka.
5 Semua pelawat tanpa mengira kedudukan, pangkat dan tujuan perlu melaporkan diri di pejabat dan memberitahu tujuan kedatangan mereka kepada Pengetua, atau penolong-penolong kanan yang ada atau kepada kerani yang ada di pejabat ketika itu.
6 Pengawal keselamatan hendaklah memberitahu pelawat yang mereka perlu ke pejabat dahulu. Di pejabat itulah nanti keputusan sebenar akan dibuat sama ada mereka akan diberi kebenaran atau dihalang, bukan di pondok pengawal.
7 Ini berbeza dengan pelajar-pelajar pagi yang datang ke sekolah pada waktu petang dan pelajar petang yang datang ke sekolah pada waktu pagi untuk mengikuti kegiatan kokurikulum atau tujuan-tujuan pembelajaran.
8 Mereka bukan bersatus pelawat, tetapi mereka adalah pelajar sekolah yang perlu mematuhi semua peraturan sekolah.
9 Peraturan masuk ke kawasan sekolah seperti peraturan berpakaian, pemakaian dan membawa barang larangan, penggunaan telefon bimbit, penggunaan kenderaan, kekemasan diri, rambut dan sebagainya mesti dipatuhi seperti biasa.
10 Selain memastikan semua item dan prosedur di atas dipatuhi, pengawal keselamatan mesti memastikan pelajar yang datang itu adalah pelajar sekolah itu melalui uniform sekolah yang dipakai, atau kemeja T sekolah atau kemeja T putih kosong berkolar, jika tiada kemeja T rasmi sekolah.
11 Pengawal keselamatan berhak untuk tidak membenarkan pelajar yang tidak mematuhi peraturan berpakaian, peraturan penggunaan kenderaan dan peraturan-peraturan sekolah yang lain daripada memasuki kawasan sekolah.
12 Sejajar dengan pegangan semua guru adalah guru disiplin dan peraturan perlu dipatuhi untuk suatu tempoh seseorang pelajar itu berada di sekolah, adalah perlu dalam jangka sederhana dan panjang pihak kokurikulum mengeluarkan satu bentuk borang atau kad aktiviti atau apa-apa instrumen pengesahan yang mudah dan praktikal sebagai bukti yang kehadiran pelajar pagi di sekolah pada waktu petang, dan kehadiran pelajar petang di sekolah pada waktu pagi adalah berasas, dalam pengetahuan guru dan memang memerlukan penyertaan mereka.
13 Instrumen tersebut yang berfungsi sebagai kad kebenaran memasuki kawasan sekolah mestilah mengandungi tarikh kegiatan, masa kegiatan, jenis kegiatan dan pengesahan guru yang terlibat.
14 Bukti itu hendaklah ditujukkan kepada pengawal keselamatan untuk tujuan pengesahan. Akan tetapi sebelum itu pengawal keselamatan sudah menerima makluman atau jadual kegiatan daripada pihak kokurikulum yang lengkap dengan senarai kegiatan, tarikh dan masa yang ditetapkan serta senarai pelajar terbabit.
15 Semua langkah ini diambil atas alasan keselamatan warga sekolah dan keselamatan semua kemudahan dan peralatan di dalamnya.
16 Jika pelawat ingin bertemu dengan guru-guru pun, pejabatlah tempat pertama yang mereka patut temui. Selepas diizinkan barulah mereka boleh menemui guru, itu pun di dalam bilik guru, atau di bilik-bilik khas atau di kantin.
17 Pelawat dilarang sama sekali menemui guru-guru ketika guru sedang mengajar. Jika mereka ingin juga bertemu guru atas alasan yang mendesak, guru itu akan dipanggil dan mereka akan ditemukan di suatu tempat, bukan di dalam kelas.
18 Begitu juga apabila seseorang pelawat hendak menemui pelajar, mereka juga dilarang sama sekali menemui pelajar langsung di kelas walau apa pun sebabnya.
19 Pelajar-pelajar itu patut dipanggil sendiri oleh pihak sekolah dan ditemukan dengan pelawat berkenaan. Jika langkah berjaga-jaga ini sudah diambil, ini sudah dikira memadai dan munasabah bagi memastikan pelajar di sekolah sentiasa selamat.
20 Persoalannya sekarang bagaimana dengan pegawai-pegawai dari kementerian pelajaran, jabatan dan pejabat pelajaran daerah yang datang ke sekolah. Adakah mereka juga perlu mematuhi peraturan ini.
21 Ya, jawapannya memang perlu. Sebab peraturan keselamatan di sekolah tidak mengecualikan mana-mana individu.Malahan diingatkan peluang pelajar untuk diancam keselamatannya boleh datang daripada sesiapa sahaja dan pada bila-bila sahaja.
22 Saya percaya jika pengawal keselamatan mengambil tindakan yang saya sebutkan tadi, pengetua sekolah dan pengawal keselamatan yang berkenaan patut diberi surat penghargaan kerana telah mematuhi arahan kementerian agar menguatkuasakan peraturan keselamatan di sekolah bermula dari pintu masuk lagi.
23 Para pegawai pelajaran yang memahami peraturan ini akan bersedia dengan rela hati dan berlapang dada memberikan kerjasama sejajar kepemimpinan melalui teladan yang patut mereka tunjukkan.
24 Mungkin ada sekolah yang “ignore” perkara yang satu ini atas alasan mereka adalah stakeholder sekolah dan sudah dikenali. Itu betul bagi pengetua dan beberapa orang guru yang selalu berurusan dengan pegawai-pegawai tersebut, tetapi majoriti warga sekolah, termasuk pengawal keselamatan itu sendiri tidak mengenali pegawai-pegawai tu.
25 Maka adalah lebih baik dalam keadaan tidak pasti itu atau pengawal keselamatan keliru tentang identiti seseorang pelawat atau tidak diberitahu sebelum ini bahawa ada pegawai pelajaran yang akan datang ke sekolah, maka pengawal keselamatan wajar kekal dengan tindakan seperti sebelumnya dengan menguatkuasakan peraturan kebenaran masuk ke kawasan sekolah.
26 Jika situasi ini yang berlaku, pegawai-pegawai berkenaan hendaklah menerimanya dengan hati yang terbuka. Pengawal keselamatan hanyalah menjalankan tugasnya dan sekolah pula hanya ingin semua warganya selamat.
27 Andai kata anda seorang pegawai pelajaran yang datang menjalankan tugas di sebuah sekolah, apakah reaksi spontan anda sebaik-baik sahaja anda memasuki pagar sekolah, anda dengan begitu mudah boleh terus sahaja masuk ke kawasan sekolah tanpa ada sedikit pun kawalan keselamatan,?
28 Adakah akan gembira dengan keadaan itu? Adakah anda akan katakan biarlah, sekolah telah melakukan tindakan yang betul kerana saya adalah pegawai mereka.
29 Atau anda patut memanggil pihak sekolah dan pengawal keselamatannya dan bertanya kepada mereka, mengapa sekolah tidak mengambil langkah-langkah keselamatan yang munasabah bermula dari pintu masuk lagi.
Hakcipta Abd Bashid Harun
PK HEM











3 users commented in " Langkah Keselamatan dari Pondok Pengawal Lagi "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackAlhamdulillah, dapat saya satu ilmu yang berguna hari ni dan saya jadikan panduan dalam menggerakkan kempen keselamatan di sekolah saya.
terima kasih.
Saya amat bersetuju dengan rencana ini.
assalamualaikum…..
cadangan ini memang baik dan kebanyakkan sekolah nak buat macam itu…tapi masalahnya banyak sekolah yang penyedia pengawal keselamatan tak membekalkan pengawal yang boleh ikut peraturan seperti itu….memburukkan lagi keadaan sekolah tiada kuasa atas pengawal keselamatan sebab mereka dilantik terus oleh kementerian….sekolah hanya boleh beri nashihat sahaja atau buat aduan pada ppd atau kementerian…macam sekolah saya di petaling pengawal yang dihantar mempunyai masalah ….bila guru besar selidiki dia ada masalah keluarga diburukkan lagi gaji dah berbulan tak dapat…nak tukar pengawal tak ada kuasa…dia hanya duduk tegak dipondok pengawal dan kadang kadang barcakap sendiri dan boleh bila-bila masa marah tapi tak tahu marah siapa…murid dan guru pula jadi takut….tapi terpaksalah terima pengawal yang tak mengawal…masuk tahun baru 2010 barulah dapat pengawal baru….
Leave A Reply