APA yang saya cuba ketengahkan di sini hanyalah merupakan pandangan peribadi saya terhadap tugas polis dan fungsi kepolisan di negara ini yang tak dapat tidak sedikit sebanyak terdedah kepada pertikaian awam.
Kandungan tulisan ini janganlah disensasikan sehingga disalah tanggap menghina pihak polis atau mempertikaikan jasa dan peranan yang telah mereka mainkan untuk menjaga ketenteraman awam.
Ada dua perkara yang selalu disebut oleh pihak polis mutakhir ini ketika peranan mereka mula diperkatakan (mungkin juga dipertikaikan) kurang berkesan dalam mengesan dan mengenal pasti pesalah jenayah untuk dihadap ke muka pengadilan.
Alasan itu jika sekali dua disebut mungkin dapat diterima oleh orang awam, tetapi apabila kerap digunakan ia dikhuatiri akan menimbulkan kecurigaan di kalangan orang ramai lalu boleh sahaja dilencong tafsir sebagai cara polis untuk membela diri atau mugkin juga melarikan diri.
Pertama kecenderungan pihak polis mengembalikan semula setiap kesalahan jenayah yang berlaku kepada masyarakat seolah-olah masyarakat yang bersalah dengan menyatakan rakyat tidak mahu memberi kerjasama atau tampil menjadi saksi.
Kedua, CCTV yang dikatakan masih banyak yang tidak dipasang dan kalau dipasang pun gagal berfungsi sepenuhnya yang seolah-olah menggambarkan ada orang lain atau elemen lain yang bersalah bukan penjenayah itu sendiri.
Sebagai individu yang selalu mahu berfikir saya tidak menganggap dua perkara yang selalu diketengahkan oleh polis ini sebagai perkara main-main. Jika perkara itu dikemukakan oleh orang ramai bagi saya itu membawa implikasi yang berbeza. Tetapi jika pihak polis sendiri menggunakan dua alasan itu ia boleh sahaja dianggap sebagai cara untuk melepaskan diri jika penjenayah gagal ditangkap.
Kenyataan itu boleh juga dimengertikan sebagai cara polis memohon simpati rakyat supaya tidak terus menyalahkan mereka jika mereka gagal menjalankan fungsi mereka. Ini seolah-olah menyuruh rakyat berkata salahkanlah individu/pertubuhan/syarikat yang tidak menggunakan CCTV atau menggunakan CCTV yang gagal berfungsi. Atau salahkanlah orang ramai yang tidak mahu memberikan kerjasama kepada pihak polis.
Tetapi ada satu pertanyaan yang selalu bermain-main di fikiran ramai orang iaitu pertama, adakah tanpa bantuan CCTV polis langsung tak boleh berbuat apa-apa? dan kedua, adakah tanpa bantuan orang ramai polis tak boleh mengesan penjenayah sama sekali.
Saya khuatir jika CCTV dan kerjasama orang ramai menjadi alasan yang berterusan lambat laun akan menghakis kepercayaan orang ramai terhadap keberkesanan pihak polis dalam menjalankan tanggungjawabnya menjaga keselamatan orang awam. Sepatutnya polis mempunyai skill kepolisan yang tinggi dan tersendiri serta kecekapan yang ditambah dari semasa ke semasa dalam mengesan penjenayah sampai mereka tertangkap.
Pihak polis mesti menggunakan cara-cara lain dan bukannya terlalu bergantung kepada dua aspek yang disebutkan tadi. Saya tidak mahu mengajar pihak polis dalam hal yang mereka lebih arif tentangnya, tetapi saya suka menyarankan kepada mereka agar kembali kepada profesionalisme kepolisan sebenar mereka yang tentunya tidak semata-mata bergantung kepada alat tetapi ilmu, kemahiran dan kecekapan mereka sebagai anggota polis.
Saya yakin polis akan mampu melakukannya kerana semua pengetahuan, skill dan kecekapan itu hanya ada pihak polis bukannya pada orang lain. Maka bagi saya, saya hanya percaya kepada pihak polis dan dengan segala kecekapan yang ada padanya untuk menangkap penjenayah-penjenayah tersebut bukannya kepada benda-benda dan instrumen sekunder itu.












No user commented in " Ke Arah Meningkatkan Keyakinan Kepada Polis "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply