Di mulut seorang pendebat cerita seinci akan menjadi sekaki seperti peribahasa air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan. Di mulut seorang pendebat cerita yang sepatutnya dikatup akan dibuka semula. Begitulah sebaliknya. Keadaan yang sudah betul akan menjadi kelam-kabut hanya kerana bicara seorang pendebat.

Kerajaan Malaysia dari dahulu lagi tidak pernah memilih perdebatan jauh sekali kekerasan atau paksaan dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau membuat sesuatu keputusan.

Semua ini hanya mampu dilakukan oleh pendebat, bukan orang lain. Tetapi yang nyata dunia tidak berubah di mulut para pendebat. Sebab itu dunia hampir-hampir tidak memerlukan seorang pendebat pun. Jika pendebat itu penting, sudah lama jawatan itu diwujudkan, tetapi ternyata tidak.

Dalam al-Quran debat disebut sebagai mujadalah. Ini terkandung dalam satu ayat yang bermaksud, ” dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang bijaksana.” Berdebat sudah menjadi fiil amar atau disuruh oleh Tuhan. Tetapi hanya menjadi pilihan terakhir setelah kedua-dua cara sebelum ini tidak begitu berkesan, iaitu menyeru dengan cara yang penuh kebijaksanaan (bil-hikmah) dan menunjukkan contoh yang terbaik (mau ‘izatil hasanah).

Perdebatan adalah tempat berhimpunnya penyokong yang fanatik yang melihat bahawa masalah dunia ini boleh diselesaikan melalui lidah yang tidak bertulang. Sedangkan yang lebih menonjol daripada sesuatu perdebatan hanyalah kebolehan bercakap dan mematahkan hujah lawan, bukan sangat hendak mencari jalan penyelesaian.

Pendebat yang berjaya menarik perhatian pendengar atau penonton bukanlah pendebat yang mempunyai isi pun. Tetapi pendebat yang berjaya ialah pendebat yang bijak bermain dengan emosi dan kata. Itu pun setakat waktu itu atau beberapa hari selepas itu. Masuk minggu kedua atau selewat-lewathya bulan kedua orang sudah melupainya.

Sebab itu orang yang biasa berdebat, akan terus mengajak sesiapa sahaja berdebat lagi, dan lagi, dan lagi kerana dengan cara itu sahajalah ia memperbaharui (refresher) keyakinan penyokong-penyokong terhadap dirinya. Atau lebih luas terhadap organisasi yang diwakilinya.

Hakcipta Abd Bashid Harun