TEKS UCAPAN TIMBALAN PENGARAH (SEKOLAH)
BAHAGIAN PENGURUSAN SEKOLAH HARIAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
TUAN HAJI ABDULLAH BIN MAD YUNUS
Semasa:
Perasmian Hari Anugerah Kecemerlangan dan Sambutan Jubli Perak
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN SIMPANG
Pada:
26 JULAI 2008(Sabtu)
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi,
1. SAYA terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah yang sudi mengundang saya bagi merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SMK Simpang pada hari ini. Tahniah kepada semua warga sekolah kerana berjaya meneruskan tradisi kecemerlangan ini dan majlis ini tentunya lebih bermakna kerana diadakan sempena Sambutan 25 tahun sekolah ini.
2. Saya percaya dalam tempoh itu berbagai-bagai pengalaman getir diredah oleh pihak sekolah sehinggalah tuan/puan dapat menyaksikan perkembangan dan kemajuan sekolah seperti yang dikecapi sekarang ini. Kalau dahulu SMK Simpang ditakuti, kini dekaaat di hati; kalau dahulu semua orang mintak Simpang-Na’uzubillah, tetapi sekarang ini saya difahamkan ramai yang berebut-rebut nak masuk ke Simpang -Al-Hamdulillah.
3. Semua pencapaian ini adalah berkat keikhlasan dan komitmen padu yang ditunjukkan oleh setiap warga sekolah ini.Tuan-tuan dan puan-puan telah memberikan sentuhan bermakna kepada sekolah sehingga berupaya mengubah wajah sekolah. Penambahbaikan secara berterusan sungguhpun kecil tetap bermakna dan menyumbang kepada kemajuan sekolah. Ketahuilah tiada bezanya kecemerlangan yang hendak dicapai oleh seorang tukang kebun di sekolah ini dengan pengetuanya.
4. Jika Anugerah Kecemerlangan diwujudkan bagi menghargai pencapaian individu dan pihak tertentu dalam mengharumkan nama sekolah khususnya dalam tiga bidang utama,iaitu kurikulum,kokurikulum dan sahsiah, maka Sambutan Jubli Perak pula diadakan bagi tujuan menyingkap kembali sejarah silam sekolah; sejak sekolah ini ditubuhkan dan siapakah yang berjuang dan berjasa di sebalik kejayaan itu?.
5. Anugerah Kecemerlangan dan Sambutan Jubli Perak bukanlah sekadar hari untuk bergembira dan berbangga dengan kejayaan yang dicapai, tetapi lebih jauh daripada itu ialah hari seluruh warga bersyukur, hari berterima kasih, hari untuk menyumbang, hari untuk saling menghargai dan melihat masa depan sekolah berpandurkan pencapaian terdahulu dan semasa.
6. Kalau beberapa tahun yang lalu, sekolah begitu terikat dengan rutin dengan memberikan hadiah kepada pelajar yang berjaya dalam peperiksaan awam dan dalaman, namun mutakhir ini sudah banyak sekolah yang meluaskan skop pemberian hadiah ini kepada guru, panitia dan bidang-bidang yang terbabit. Adalah wajar guru-guru dengan panitia masing-masing turut sama diraikan kerana di belakang kejayaan seorang pelajar ialah guru dan panitia mata pelajaran yang diurus dengan baik.
7. Syabas kepada SMK Simpang kerana turut melaksanakan perkara ini sejak beberapa tahun yang lalu. Malahan saya berbangga kerana dalam majlis kali ini yang diadakan sempena Sambutan ke-25 tahun sekolah, tuan/puan berjaya mewujudkan satu lagi hadiah yang dinamakan Anugerah Akar yang merupakan anugerah tertinggi di peringkat sekolah yang diberikan kepada mantan guru/pengetua yang telah menunjukkan kecemerlangan kepemimpinan dalam tempoh perkhidmatan mereka di sekolah ini.
8. Saya begitu teruja dengan replika Akar Bakau yang menjadi ikon sekolah ini. Saya percaya ketika ikon ini dicipta, ia tidak dicipta sesuka hati, tanpa sebarang perkaitan rapat kepada dengan hasrat murni sekolah dan faktor persekitaran. Konsep dan Semangat Akar Bakau dan Anugerah Akar memang begitu signifikan dengan persekitaran dan keperluan sekolah. Bunyinya sahaja begitu mantap semantap semangat dan daya usaha yang ditunjukkan oleh setiap ahlinya.
9.Ini membuktikan keprihatinan warga sekolah untuk menghargai sejarah sekolahnya, memperaku akan pengalaman dan kepakaran seseorang dan mengiktiraf semua sumbangan walau siapa pun mereka.
10.Ini turut menggambarkan semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua warga sekolah di segenap peringkat di sekolah ini daripada pengetua sehinggalah kepada tukang kebunnnya; daripada guru kepada pelajarnya,ibu bapa dan seluruh komuniti setempat bagi menjayakan sambutan ini. Tanpa kerjasama sebegini saya kira sekolah tidak akan berjaya dibangunkan pada tahap yang tinggi.
11.SMK Simpang adalah analogi Malaysia kecil. Ini dibuktikan melalui jumlah komposisi pelajarnya sekitar 53.98% Melayu, 35.43% Cina dan 11% India dan lain-lain. Inilah tempat yang paling sesuai perpaduan dan toleransi kaum dipraktikkan. Di sinilah tempatnya setiap pelajar yang berbeza bangsa, agama dan budaya saling mempelajari dan memahami akan perbezaan ini. Perbezaan dalam apa jua perkara tidak patut menjadi penghalang kepada kerjasama dan perpaduan. Perbezaan patut direbut sebagai peluang ke arah penyatuan dan persefahaman.
12.Jika semua sekolah dapat melaksanakan agenda perpaduan ini dengan baik melalui pelbagai program yang terancang seperti RIMUP maka prejudis kaum akan terhapus sebaliknya darjah toleransi dan keterbukaan yang tinggi antara kaum akan terbentuk. Ini sekaligus akan membantu mencapai matlamat keempat dalam PIPP iaitu Membina Negara Bangsa.
13.Pembinaan Negara Bangsa adalah amat penting bagi sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia.Keupayaan membina negara bangsa ini bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme yang dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
Hadirin sekalian,
14.Saya ingin mengambil kesempatan dalam majlis ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang.Ucapan tahniah turut ditujukan kepada mereka yang mendorong kejayaan ini,iaitu para guru dan ibu bapa. Semoga kejayaan ini akan mendorong dan melorong kita secara berterusan ke arah kejayaan yang lebih besar dan lebih bermakna pada masa akan datang. Kejayaan ini juga diharapkan akan menjelmakan perasaan ghibtah atau iri yang positif kepada mereka yang kurang berjaya.
15.Terima kasih kepada pengetua, guru-guru, ibu bapa dan semua pihak yang mendorong kejayaan ini. Kejayaan walaupun kecil harus direbut kerana ini menjadi sumber motivasi untuk kejayaan yang lebih besar. Sebab itu saya mencadangkan di sini agar setiap pelajar di sekolah ini pernah sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dia bersekolah di sini meraih kejayaan, tak kiralah sama ada kejayaan itu besar atau kecil. Sebab bagi saya kejayaan atau kemenangan menjadi sumber motivasi utama ke arah kejayaan atau kemenangan yang lebih besar.
16.Saya percaya dalam usia 25 tahun bak seorang pemuda perkasa, SMK Simpang mempunyai tenaga berlebihan dan semangat yang membara untuk melangkah lebih jauh dan seterusnya meraih lebih banyak kejayaan selepas ini. Serentak dengan itu juga saudara/saudari juga mesti lebih siap siaga kerana lebih banyak cabaran akan ditempuh. Selain agama yang menjadi pegangan, semangat Akar Bakau yang menjadi ikon sekolah ini wajar difahami dengan jelas dan direalisikan dalam setiap segmen/unit di sekolah ini.
17.Tuan/Puan saya kira lebih maklum bahawa bakau tidak mempunyai akar tunjang, namun akar jangkang yang berada di sekeliling pangkal pohon sama-sama menunjang dan menjulang batang. Batang yang diumpamakan organisasi sekolah hanya mampu ditegakkan dengan sokongan yang kuat dan padu daripada semua elemen yang ada di dalam dan di sekelingnya sama ada pelajar, guru, ibu bapa, staf, komuniti, pelanggan dan stake holder.
18.Pemimpin dan barisan guru di sekolah ini boleh bertukar ganti; boleh datang dan pergi, namun organisasi sekolah mesti dipertahankan walau siapa pun yang menerajui dan memacunya. Ingatlah, kecemerlangan yang ingin kita capai tidak boleh ditolak-asurkan. Semua pihak termasuk para guru, ibu bapa dan pelajar patut memberi sokongan padu kepada pengetua dan pentadbir sekolah jika semua mimpi indah tentang kecemerlangan ingin direalisasikan.
19.Digerak oleh harapan itu, saya dengan lafaz Bismillahirrah manirrahim (dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Penyayang) mendoakan kesejahteraan seluruh warga sekolah ini dan seterusnya dengan kalimah yang sama merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan dan Sambutan Jubli Perak Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang .
Tahniah dan terima kasih.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.












No user commented in " Sambutan Jubli Perak SMK Simpang "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply