Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Syarahan dan Ujian bertulis (PSUB) SJK(C) dan SJK(T) 2008 Peringkat Negeri Perak yang sudi menjemput saya sekali lagi untuk menjadi juri dalam pertandingan yang telah berusia 20 tahun itu.

Pada kali ini saya bertindak sebagai Ketua Juri dengan dibantu oleh empat juri yang lain.

Seramai 30 peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan berprestij itu yang diadakan di Grand Kampar Hotel pada 28 Jun 2008. Hakim, urusetia, peserta dan guru pengiring ditempatkan di hotel yang yang sama.

Pertandingan tersebut diadakan dengan tujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia di kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu. Lebih tepat lagi pertandingan itu diharapkan dapat melatih pelajar-pelajar tersebut untuk bercakap secara spontan dengan menggunakan medium bahasa Melayu baku.

Selain itu pertandingan tersebut juga bertujuan meningkatkan semangat perpaduan dan mencintai negara Malaysia melalui penggunaan satu bahasa utama, iaitu Bahasa Malaysia yang digunakan meluas di kalangan rakyatnya.

Dalam ulasan saya sebagai ketua hakim, saya terlebih dahulu memuji semua peserta yang saya kira berani tampil di atas pentas dan bercakap di khalayak ramai mengenai pelbagai tajuk yang saya kira tidak mampu dilakukan oleh semua orang. Sekurang-kurangnya ini merupakan penampilan awal mereka sebelum muncul di pentas pertandingan yang lebih besar.

Walau bagaimana pun jika peserta tidak terikat dengan teks saya kira itu lebih baik. Rata-rata peserta terlalu terikat dengan teks yang disediakan dan mereka menghafal bulat-bulat apa yang tertulis itu.

Mereka melontarkan semua yang ada dalam teks itu tanpa ada inisiatif untuk mengubahnya walaupun sedikit.

Ini memberi implikasi kepada tahap penghayatan dan kreativiti peserta. Malahan ia memberi gambaran peserta tidak boleh berinteraksi secara spontan dan semasa. Jarang-jarang benar peserta yang dapat membuat perubahan pada kandungan teks dan mengemukakan contoh–contoh semasa yang lebih relevan.

Mereka menghafal kata demi kata; ayat demi ayat. Malahan ada peserta yang gagal memandang tepat ke arah penonton di hadapan kerana terlalu takut terlupa teks. Lirikan mata peserta dapat menggambarkan bahawa mereka sedang cuba mengingati teks.

Saya kira jika perkara ini dapat diubah pencapaian peserta dalam pertandingan ini akan jauh lebih baik.

Abd Bashid Harun