Bagi mereka yang ada idea bernas dan bitara lebih baik menulis. Tetapi inilah yang paling dihindari oleh para pendebat. Mulut yang biasa dibuka, hampir tidak berguna langsung apabila menulis. Inilah sebabnya mereka kurang terdorong untuk menulis. Lagipun menulis tidak akan menjadikan mereka cepat popular, sedangkan populariti adalah sifat yang paling penting yang diperlukan oleh ahli-ahli politik seperti mereka.

Menulis hanya menonjolkan idea, bukan penulis itu sendiri. Sebab itu menulis tidaklah menarik buat mereka berbanding bercakap kerana dengan itulah mereka dapat menonjolkan diri mereka. Dan yang lebih tertonjol ialah lidah mereka. Sebab itu mereka tidak akan menyimpan lidah mereka selagi mereka boleh menggunakannya.

Apabila saudara menulis, saudara memerlukan masa yang berkualiti untuk itu. Saudara terpaksa berfikir sebelum dan semasa menulis, sambil itu saudara perlu membelek-belek dan meneliti beberapa bahan rujukan. Bukankah ini menyakitkan bagi yang tidak biasa melakukannya. Sebab itulah tidak ada sebuah buku pun yang dihasilkan oleh para pendebat. Kalau ada pun buku yang diterbitkan ia adalah hasil susunan daripada aktiviti-aktiviti yang berasaskan lisan seperti himpunan ceramah atau kuliah bukan hasil disiplin penulisan yang sebenar.

Perdebatan adalah tempat yang paling subur untuk menyemai bibit-bibit kesombongan, riya’ dan bangga diri. Daripada tanduk perdebatan akan terkeluar fitnah, dzan, syak dan memandang rendah terhadap orang lain. Jika di medan jihad, para malaikat stand by untuk membantu pasukan yang benar, tetapi di medan debat, syaitan-syaitan besar berada di merata-rata dan menunggu-nunggu masa yang sesuai untuk membantu, bukan sahaja yang benar tetapi juga yang palsu. Atas alasan itulah orang-orang yang warak selalu menghindari perdebatan yang sangat terdedah kepada fitnah lisan ini. Mengapa saudara masih mencarinya jika saudara tiada sifat-sifat yang disebutkan tadi.

Kesombongan orang yang berdebat lebih menonjol apabila ada di kalangan mereka yang memilih-milih lawan mereka. Konon-kononnya lawan-lawan yang dihantar tidak cukup hebat atau setanding untuk berdepan si anu dan si anu. Mengapa tidak hantar orang kuat saudara? Mengapa hantar pengikut sahaja?

Jika orang yang diharapkan gagal hadir, mereka dan penyokong-penyokong mereka akan menuduh bahawa orang tersebut pengecut (atau apa-apa sajalah). Apakah namanya semua ini kalau bukan sombong, riya’ dan bangga diri.

Sebagai pendebat saudara boleh saja menafikan dengan mendakwa bukan saudara yang mengingini semua ini, tetapi saudara tidak boleh berbohong kepada dunia bahawa tindakan-tindakan saudaralah yang menyebabkan lahirnya penyokong yang sebegitu. Dan jiwa saudara pun membesar dengan penyokong-penyokong seperti itu. Tetapi ingat! Jika hari ini saudara bangun bersama mereka, tidak mustahil pada masa akan datang saudara tersungkur kerana mereka. Hakcipta Abd Bashid Harun