1 Kemenangan pasukan debat dari UPSI yang bertindak sebagai Pembangkang dalam Pertandingan akhir Debat Kepolisan Antara IPTA pada 3 Disember lalu bukan petunjuk bahawa pasukan UIAM selaku Kerajaan yang menduduki tempat kedua tidak hebat, malahan dalam beberapa perkara juri mendapati seorang daripada pembahas mereka jauh lebih petah berhujah dan fakta yang dibentangkan pula lebih bertepatan dengan kehendak usul.
2 Subjek undang-undang yang dipelajari , begitu juga kecenderungan mempertahankan fakta kes selaku bakal peguam sedikit sebanyak membantu mereka. Tetapi malangnya mereka gagal memanfaatkan istilah dan terma undang-undang dalam membahaskan usul walhal inilah masanya semua istilah dan terma undang-undang digunakan.
3 Malahan semua orang menunggu perbahasan sebegini memandangkan tajuk usul sangat berkaitan dengan undang-undang dan bidang kepolisan yang memang berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang. Lebih-lebih lagi penonton tentu mengharapkan sebuah persembahan luar biasa daripada pebahas UIAM yang mengambil aliran undang-undang.
4 Sungguh pun begitu kedudukan UIAM sebagai sebuah pasukan tidak seimbang. Seorang daripada mereka agak bagus, seorang lagi sederhana dan seorang lagi agak lemah dalam menyokong usul yang dibawa iaitu “Undang-Undang Sebagai Jawapan Kepada Permasalahan Integriti”.
5 Nampaknya dalam sesuatu perbahasan atau perdebatan, keseimbangan kekuatan dalam pasukan itu lebih membantu daripada kekuatan individu. Ini bukan pidato atau syarahan yang banyak bergantung kepada kekuatan peribadi pembahas yang bertanding, tetapi dalam perbahasan atau perdebatan, kekuatan pasukan itulah yang akan membuahkan hasil.
6 Tiada gunanya kita mempunyai seorang dua yang hebat dalam pasukan debat sedangkan seorang lagi pencapaiannya jauh merosot.
7 Kedudukan yang begitu menjadikan pasukan bahas UPSI selaku pembangkang yang membariskan tiga pembahas utama dengan dua daripada mereka mencapai tahap sederhana baik dan seorang lagi pada tahap baik telah menjadikan team utara itu lebih seimbang ketimbang team lawan mereka.
8 Tidak seperti pasukan bahas UIAM, pasukan bahas UPSI tidak bergantung kepada kekuatan seorang dua pembahas. Jika pasukan bahas dari UIAM lebih menumpukan kepada undang-undang, pembahas UPSI pula lebih tertumpu kepada faktor pendidikan sesuai dengan bidang pendidikan yang menjadi pengkhususan mereka dan bakal guru pula.
9 Mujurlah format perbahasan ala parlimen tidak diguna pakai dalam pertandingan tersebut, jika tidak UPSI akan banyak kehilangan markah dan tidak mustahil akan tewas dalam pertandingan tersebut.
10 Sebenarnya cara-cara bahas ala parlimen yang cuba dielakkan oleh sesetengah pembahas, lebih memudahkan penghakiman dan lebih mudah bagi para juri mencari pasukan yang bakal kalah.
11 Sebabnya mudah,bahas ala parlimen banyak bergantung kepada format, formasi dan faktor teknikal. Jika format, formasi dan faktor teknikal itu tidak dipatuhi, markah tidak akan diberikan.
12 Sebaliknya jika setiap segmen itu dipatuhi oleh setiap pembahas peluang untuk pasukan mereka menang amat cerah.
13 Maknanya dalam keadaan perbahasan menjadi lebih tradisional sifatnya atau lebih tepat lagi bersifat konvensional, tugas juri menjadi lebih berat dengan tumpuan lebih terpaksa diberikan kepada aspek isi atau hujah yang menyumbang peratusan markah yang lebih tinggi.
14 Dalam situasi di mana hujah akan diberikan lebih perhatian, minda para juri mesti berputar ligat malah lebih tangkas daripada lidah tidak bertulang para pembahas itu sendiri.
15 Dalam situasi spontan di atas pentas,apatah lagi dalam situasi yang tertekan, perangkap atau pembohongan pembahas selalu berlaku dan ini harus dikesan secepat mungkin oleh para juri tanpa.Jika tidak akan menganiaya pasukan yang satu lagi.
16 Kecenderungan pembahas ialah apabila mereka ghairah untuk berhujah mereka selalu menyingkirkan otak mereka.Mereka lebih mengutamakan lisan daripada minda mereka. Saya ungkapkan keadaan ini sebagai lidah mereka lebih laju daripada minda mereka.
17 Maka dalam situasi seperti itu, juri perlu mempunyai kelebihan sebaliknya, iaitu minda mereka perlu lebih laju daripada lidah pembahas.Bukan sahaja ketepatan fakta yang perlu diambil kira, aspek lain seperti huraian yang ada hubungan logika antara satu ayat dengan satu ayat yang lain, kesinambungan idea melalui penggunaan penanda wacana, bukti empirikal atau rasional, pendirian sebagai satu pasukan, penegasan semula hujah, analogi dan contoh semasa adalah antara yang perlu diambil kira.
18 Ada pembahas yang cuba menipu para juri dengan mendakwa pihak yang satu lagi telah menyatakan fakta sekian sekian, namun apabila disemak pada kertas catatan(sbb itu juri kena mencatat), sebenarnya apa yang didakwa itu tidak pernah disebut pun.
19 Biasanya pembahas seperti ini telah melakukan persiapan dari awal lalu menggunakannya semula dengan cuba mengaitkannya dengan pihak lawan. Jika juri terpengaruh dengan kelantangan dan kebersahajaan pembahas, juri mungkin tidak sedar apa yang berlaku.Apatah lagi jika pembahas itu mempunyai kelebihan memasukkan unsur kecindan dan analogi dalam hujah mereka.
20 Ini memang berlaku dalam perbahasan ini apabila seorang pembahas mendakwa pembahas lawan tidak memberikan definisi konseptual dan terperinci bagi frasa tertentu, walhal pembahas pertama dengan jelas telah pun memberikan definisi bagi kata “undang-undang” dan “integriti”.
21 Jika menurut peraturan perbahasan ala parlimen adalah perlu bagi Ketua Pembangkang menerima atau menolak definisi usul yang dikemukakan sama ada menerima sepenuhnya atau menolak sepenuhnya. Tetapi ini tidak berlaku.Malahan pasukan pembangkang atau lebih tepat lagi Ketua Pembangkang tidak menjelaskan peranan setiap pembahas daripada pasukan mereka.
22 Jika Pembangkang menolak sepenuhnya definisi yang dikemukakan oleh Kerajaan, maka definisi baru perlu diberikan. Jika mereka menerima dengan pindaan maka frasa yang hendak dipinda itu yang perlu diberi definisi baru. Yang penting definisi itu harus memberikan kelebihan kepada pembangkang,jika tidak pindaan yang dilakukan sia-sia sahaja.
23 Tetapi ini tidak dilakukan dengan berkesan oleh pembangkang,khususnya oleh Ketua Pembangkang.Sebaliknya pembangkang hanya menyebut beberapa kali yang ada frasa tertentu tidak diberikan definisi oleh kerajaan walhal perbuatan tidak menyebut dan tidak memberi definisi pada frasa tertentu bukanlah menjadi suatu kesalahan.
24 Cuma kelemahan ketara kerajaan atau lebih tepat lagi Perdana Menteri, beliau tidak merumuskan keseluruhan definisi dalam satu rangkuman yang jitu serta tidak juga menyatakan pendirian mereka dalam menyokong usul.
25 Sebenarnya jika perbahasan ala parlimen menjadi ukuran, definisi perbahasan yang diberikan oleh Perdana Menteri sudah dikira memadai. Tidak seperti perbahasan konvensional di mana setiap frasa atau kata dalam usul (yang dahulunya tajuk bahas) perlu diberikan definisi.
26 Dalam peraturan perbahasan ala parlimen pula definisi hanya perlu diberi secara ijmali (menyeluruh), bukannya secara tafsili (mendetail). Maknanya definisi secara konseptual yang diberikan oleh Perdana Menteri sudah mencukupi.
27 Adalah benar dakwaan pembangkang bahawa Perdana Menteri tidak mendefinisikan frasa “penyelesaian masalah” namun sebagai pihak kerajaan atau pembangkang, mereka berhak untuk memilih mana-mana frasa yang perlu didefinisikan terutama kata atau frasa yang menguntungkan atau memberikan kelebihan kepada mereka.
28 Sebenarnya inilah yang cuba dilakukan oleh PM yang mengetuai barisan kerajaan.Beliau cuba mengelak daripada memberikan definisi untuk rangkai kata jawapan kepada penyelesaian masalah, itu menunjukkan bahawa PM khususnya dan pasukan kerajaan amnya mengambil langkah selamat sebab mereka sudah dapat menghidu mana frasa yang akan menyulitkan mereka dan mana pula frasa yang akan memberikan kelebihan kepada mereka.
29 Namun kecekapan pembangkang ialah mereka dapat menghidu taktik kerajaan itu lalu pembangkang menyebutkan tingkah laku tidak berdosa PM ini beberapa kali.Pembangkang mungkin sudah tahu bahawa bukan salah satu kesalahan tidak mendefinisikannya, tetapi sengajamenyebutnya sebagai taktik menimbulkan kegugupan di pihak kerajaan.
30 Ternyata taktikal ini berkesan apabila saya(tak tahulah juri yang lain) dapat melihat berlaku sedikit kegoyahan dan ketidakyakinan di pihak kerajaan selepas itu walaupun ada usaha untuk bangkit semula semasa YB Menteri Keselamatan (pembahas ketiga) berhujah walaupun agak terlambat.
31 Kelemahan paling ketara pihak kerajaan dan pembangkang ialah kedua-duanya tidak menjelaskan pendirian masing-masing. Walaupun dalam kedua-dua jenis perbahasan baik parlimen mahupun konvensional memerlukan kedua-dua pihak menyatakan pendirian masing-masing, namun ia menjadi lebih wajib lagi bagi pihak kerajaan untukmenyatakan pendirian dalam perbahasan ala parlimen.Jika tidak semacam suatu kekurangan dapat dirasakantanpanya.
32 Saya tidak pasti sama ada kedua-dua pasukan tahu atau sudah diberitahu dengan jelas bagaimana bentuk ayat penegasan pendirian yang sebenarnya.
33 Bagi pihak kerajaan, sebaik-baik sahaja rumusan definisi diberikan selepas definisi konseptual,maka selepas itulah yang paling sesuai bagi pihak kerajaan menegaskan pendirian mereka.Tetapi ini tidak berlaku dalamperbahasan ini.
34 Antara bentuk ayat pendirian yang boleh digunakan adalah seperti berikut. “Dengan ini pihak kerajaan menegaskan bahawa undang-undang merupakan jawapan kepada permasalahan integriti kerana undang-undang itu mempunyai kekuatannya yang tersendiri kerana sifatnya yang mengikat, mendidik,menghalang dan menghukum.
35 Sebenarnya Perdana Menteri sudah pun menyebut keempat-empat jenis kekuatan undang-undang tersebut, tetapi hanya sebagai ayat pendahuluan yang dibuat secara terpisah bukan dalam ayat yang mempunyai maksud penegasan pendirian kerajaan.Ayat pendahuluan tidakdiperlukan sebenarnya jika ayat itu semata-mata ayat kosong yang tiada kaitan dengan hujah atau pendirian.
36 Di sinilah ruginya pihak kerajaan, yang gagal dikesan dan tidak dimanipulasi oleh pihak pembangkang. Inilah bahananya apabila pembahas tidak jelas aspek-aspek tertentu dalam perbahasan ala parlimen dan bagaimana ianya harus diungkapkan.
37 Bukan kesalahan pembahas per se apabila hal ini berlaku,sebaliknya pembahas tidak ada ilmu yang khusus mengenai perbahasan ala parlimen.
38 Alangkah sedihnya bakat-bakat pembahas muda yang bakal menjadi pemimpin suatu hari nanti dikecewakan begitu sahaja hanya kerana mereka tidak didedahkan dengan pengetahuan dan kemahiran perbahasan ala parlimen yang sebenar walaupun mereka mempunyai cukup isi dan fakta.
39 Sepatutnya keempat-empat kekuatan yang boleh dirangkum kepada tiga atau memilih tiga daripadanya itulah yang diangkat sebagai hujah oleh setiap pembahas daripada pasukan kerajaan di mana setiap kekuatan itu diagihkan kepada setiap pembahas untuk dihuraikan dan dibuktikan sebagai fakta kes.
40 Namun kerana tiada ilmu yang mencukupi, mereka mengemukakan 3 perkara lain sebagai hujah yang kesannya menjadikan hujah mereka begitu longgar dan tidak begitu “touching” dan “relate” dengan usul yang berkaitan dengan undang-undang.
41 Tiga hujah yang mereka kemukakan dan disebut oleh Perdana Menteri sewaktu membentangkan peranan kerajaan ialah Undang-Undang akan reaktif dan proaktif kepada sesuatu kejadian dan mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam perlembagaan sejajar dengan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sebagaimana digariskan dalam Prinsip Rukun Negara sebagai hujah pertama.
42 Hujah kedua mereka pula ialah Undang-Undang adalah untuk semua anggota masyarakat. Dan hujah ketiga mereka pula ialah faktor teknikal dan prosedur dalam pelaksanaan undang-undang itu sendiri.
43 Sebaliknya jika mereka menggunakan 4 kekuatan yang mereka sebutkan dalam ayat pendahuluan tadi sebagai hujah dan tiga perkara yang mereka angkat sebagai hujah tadi dijadikan huraian, hujah mereka tentu menjadi lebih mantap lagi.
44 Cuba anda bandingkan 3 hujah kerajaan tadi dengan 3 hujah berikut yang menggunakan 3 kekuatan yangdisebutkan tadi. Nilaikan hujah mana yang lebih mantap dan lebih “berkuasa” untuk didengar serta serasi pula dengan tema undang-undang yang dijadikan usul.
45 Hujah kami yang pertama, undang-undang MENGIKAT semua orang kerana tidak ada sesiapa pun yang bebas sebebasnya dalam melakukan sesuatu. Semua ada had dan peraturannya.
46 Hujah kedua kami yang akan dikemukakan oleh YB Timbalan Perdana Menteri, undang-undang berupaya mendidik seseorang untuk melakukan sesuatu yang bersesuaian dengan fitrah manusia dan menghindar daripada melakukan sesuatu yang terlarang. Pendidikan dalam undang-undang menimbulkan kesedaran yang mendalam.
47 Hujah kedua Timbalan Perdana Menteri yang menjadi hujah ketiga Kerajaan ialah Undang-undang sebagai mekanisme kawalan yang berupaya menghalang kejadian buruk ke atas diri sendiri, orang lain dan negara. Ini bermaksud undang-undang merupakan langkah pencegahan yang berkesan .
48 Ketiga-tiga hujah dalam bentuk ayat kunci (key word) itu perlu dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa menjelaskan peranan setiap pembahas. Dan selepas itu adalah menjadi tanggungjawab setiap pembahas termasuk Perdana Menteri untuk mengulangi kata kunci hujah itu semula dan kemudian menghuraikannya dengan lebih jelas lengkap dengan fakta, bukti, data, contoh dan analogi.
49 Tegasnya penjelasan setiap kekuatan yang diangkat sebagai hujah itu memerlukan pembuktian dalam pelbagai bentuk sebagai menjelaskan bagaimana setiap kekuatan itu dapat dilaksanakan dan sekaligus membuktikan bahawa undang-undang menjadi jawapan yang signifikan kepada permasalahan integriti.
50 Maka huraian hujah yang mengandungi perkembangan, data, bukti, contoh dan analogi perlu dikemukakan sebelum diakhiri dengan penegasan semula pendirian dan kemudian ditutup dengan ungkapan mohon mencadang di pihak kerajaan atau mohon usul ditolak oleh pihak pembangkang.
51 Kedua-dua pihak tidak mengemukakan analogi. Mungkin mereka tidak tahu tentang kekuatan analogi sebagai unsur pencerahan suatu hujah. Hujah yang subjektif atau masih kabur berupaya dicerahkan oleh analogi atau perbandingan.
52 Ada percubaan di iihak kerajaan atau lebih tepat lagi PMnya untuk mengemukakan analogi. Malangnya yang dikemukakan itu bukan analogi tetapi mekanisma kawalan yang menggunakan instrumen atau alat kawalan ke atas penjawat awam yang bermasalah dari segi kehadiran.
53 PM mengemukakan contoh seorang penjawat awam yang selalu lewat sampai ke pejabat yang diambil tindakan berperingkat ke atasnya oleh majikannya. PM menyebut contoh yang diangkatnya itu sebagai analogi.Nampaknya dia tahu kepentingan analogi bagi tujuan menjelaskansesuatu tetapi gagal membezakan antara contoh, bukti, mekanisme dan analogi.
54 Analogi sebenarnya perbandingan antara manusia dengan benda atau sesuatu yang bukan manusiawi. Manusia adalah subjek yang dijadikan bahan untuk dibandingkan dengan sesuatu. Maka sesuatu yang cuba dibandingkan dengan manusia itulah analogi, bukan manusia itu sendiri.
55 Contohnya membandingkan seorang manusia yang memberi manfaat kepada orang lain seperti sebatang pohon yang teguh,berakar tunjang,berdaun lebat, rendang dan berbuah lebat.
56 Atau membandingkan sebuah organisasi yang lemah dengan sebuah rumah yang sudah tiada dinding, bocor bumbuingnya dan patah tiangnya. Sebatang pohon yang rendang dan sebuah rumah yang yang rosak itulah sebenarnya analogi kepada subjek manusia dan organisasi tadi.
57 Bukan rumah dan pokok sahaja yang boleh dijadikan analogi, malahan begitu banyak benda atau bahan bukan manusia yang wujud di sekeliling kita yang boleh diangkat sebagai analogi. Ini termasuklah kenderaan, binatang, peralatan, perkakasan, cakrawala dan lain-lain.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " KUPASAN TERPERINCI DEBAT AKHIR KEPOLISAN ANTARA IPTA PIALA KOMANDAN KOR SUKSIS UNIVERSITI MALAYA "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply