1 Dalam dunia perbahasan ala Parlimen, khususnya dalam bentuk yang dipertandingkan ada beberapa aspek penting yang wajar diambil kira.Aspek ini saya rumuskan sebagai 8’i. 8 aspek itu ialah isi,definisi, analogi, manipulasi, diksi, integriti, aksi dan formasi,

2 Selain analogi, manipulasi merupakan kemahiran tahap tinggi yang digunakan oleh pembahas untuk mengelirukan lawan. Malahan manipulasi lebih mencabar berbanding analogi sebabnya manipulasi menggunakan kepintaran akal seratus peratus, sementara analogi menggunakan gambaran.

3 Bukan semua pembahas yang mampu menggunakan jenis kemahiran putar belit ini, kecuali mereka yang bijak menelah, memutar-mutar hujah, mempunyai kosa kata yang luas, dan skill menipu tanpa jangkaan lawan.

4 Pembahas yang sudah cukup bagus akan menjadi lebih bagus lagi jika memiliki kemahiran yang satu ini. Pembahas yang mahir menggunakan kaedah ini biasanya akan digeruni oleh lawan.Biarlah bertemu dengan pembahas lain, tetapi bukan yang ini, kata mereka.

5 Kita tidak memanipulasi hujah kita sendiri.Tetapi yang kita manipulasi adalah hujah lawan. Dalam sisi yang berbeza manipulasi bolehlah difahami sebagai kaedah menggunakan hujah lawan untuk menghentam lawan kembali.

6 Kita tidak menggunakan hujah kita sendiri, tetapi kita menggunakan hujah lawan itu sendiri. Istilah yang lain ialah senjata makan tuan.

7 Pembahas yang menggunakan kemahiran ini sebenarnya berdepan dengan risiko, dan tidak semestinya bernasib baik. Kadang-kadang mereka terperangkap apabila pihak lawan dapat memberi hujah balas dengan lebih baik lagi.

8 Sama ada senjata yang mereka gunakan itu benar-benar berbaloi atau kembali memakan diri adalah ditunjukkan melalui kesan hujah mereka kepada pihak lawan.

9 Jika lawan sudah gugup, berasa tertekan dan tidak mampu bangun kembali di situlah kejayaan sebenar pembahas yang menggunakan teknik putaran dan belitan ini.

10 Justeru pembahas berkenaan akan berusaha sedaya upaya meyakinkan para juri apa yang dihujahkan oleh pihak lawan sebenarnya menyokong mereka. Pembahas itu akan membuktikan betapa hujah yang disampaikan oleh lawan itu akhirnya akan memakan diri mereka sendiri. Bukti yang mahu ditunjukkan di sini ialah hujah pihak lawan itu sepatutnya berada di pihak mereka bukan di pihak lawan.

11 Ada orang yang keliru untuk membezakan antara Manipuasi dengan Membidas. Membidas bermaksud mematahkan hujah lawan. Kaedahnya, petik dahulu hujah lawan, buktikan yang hujah itu salah, dan sediakan jawapan yang tepat.

12 Membidas biasanya telah pun ditetapkan masanya dan individu yang akan menjalankan tugas tersebut.Tetapi manipulasi boleh digunakan oleh semua pembahas semasa seseorang pembahas membahaskan hujahnya sendiri atau semasa melakukan penggulungan.

Hakcipta GuruBashid

Protected by Copyscape Plagiarism Tool