Perdebatan hanyalah cara yang dituntut oleh orang yang ada kelebihan bercakap, tetapi tidak ada kelebihan-kelebihan lain. Hakikatnya, perdebatan tidak akan mengubah apa-apa.
Perdebatan tidak akan menyebabkan tanah yang tergadai terbang menemui tuannya semula. Perdebatan tidak akan menyebabkan tanah yang ditumbuhi lalang tiba-tiba tertanam dengan sendirinya.
Perdebatan tidak akan menjadikan orang yang malas bekerja rajin. Tidak. Perdebatan hanya sesuai untuk orang yang lebih mendominasi mulutnya daripada kedua-dua telinganya.
Di luar, saudara memusuhi lawan saudara, tetapi tidak ada alasan wajar untuk saudara membalas dendam terhadapnya. Tetapi melalui perdebatan saudara boleh melepaskan seluruh dendam saudara itu dan yang pasti tidak akan ada sesiapa yang membantah tindakan saudara itu.
Alasannya mudah, perdebatan adalah bentuk peperangan yang dibenarkan. Di medan debat tidak ada sesiapa yang tercedera, apatah lagi terkorban. Orang yang kalah dalam perdebatan masih boleh bangkit semula. Dengan sepatah kata yang jitu dan beremosi ia masih boleh memalukan lawannya. Ini semua dapat dilakukan dengan cara-cara yang tidak begitu ketara, tetapi cukup untuk mengajar lawan. Bunyinya seperti kurang senonoh, tetapi hal semacam ini boleh sahaja dimaafkan dalam sesuatu perdebatan.
Terdapat dua golongan yang tidak layak berdebat, bukan kerana mereka lemah, tetapi debat adalah saluran yang tidak sesuai langsung untuk mereka. Pertama, mereka yang banyak idea bernas untuk diketengahkan dan kedua, mereka yang mempunyai budaya action (tindakan) dan berorientasikan hasil.
Bayangkanlah, saudara telah menyusun beberapa idea yang bernas dan alasan-alasan yang jitu, tiba-tiba dengan satu hujah yang beremosi, hujah-hujah saudara tenggelam begitu sahaja.
Bayangkanlah, saudara dan kumpulan saudara telah membangunkan negara ini berpuluh-puluh tahun lamanya, tiba-tiba sahaja saudara “dikalahkan” dengan satu perdebatan bodoh yang memakan masa beberapa jam sahaja.
Hakcipta Abd Bashid Harun

















No user commented in " Hentikan Perdebatan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply