1. Ada suatu nilai dalam pendidikan yang patut disuburkan dalam UMNO atau BN. Mungkin sudah ada tetapi saya nampak yang satu ini masih belum ketara. Jika ia dapat dijadikan nilai yang dikongsi bersama, UMNO (BN) akan lebih dihormati.
2. Dalam pendidikan, jika sesebuah sekolah berjaya melaksanakan sesuatu program, kejayaan itu akan dikongsi bersama. Seluruh warga sekolah bermula dari Pengetuanya hinggalah kepada pekerjanya akan dikaitkan dengan kejayaan itu.
3. Pengetua sekolah dengan bangga akan berkata bahawa kejayaan ini adalah kejayaan bersama, kejayaan semua warga sekolah. Perkataan Pengetua itu memang ditunggu-tunggu dan diterima penting dalam organisasi sekolah. Kata-kata seperti itu umpama kapsul placebos yang mujarab yang merangsang ghairah untuk terus bersetia dengan sekolah.
4. Tetapi dalam bidang politik termasuk yang terbaru, iaitu kejayaan BN menumbangkan kerajaan PR di Perak, saya melihat ini jarang-jarang berlaku.
5. Yang jelas ada kecenderungan mengaitkan orang tertentu dengan sesuatu kejayaan, seolah-olah orang itu per se yang menyebabkan kejayaan itu berlaku. Malahan penghormatan kepada seseorang itu kadang-kadang agak keterlaluan sehingga menjadi semacam pendewaan. Seolah-olah tanpa orang itu kejayaan tidak akan berlaku.
6. Dalam kes di Perak, ada orang berkata begitu hebat strategik DS Najib, belum pun menjadi PM dia sudah ada menunjukkan kekuatannya. Ada juga yang mendakwa ini kejayaan Ezam. Ada juga yang mengatakan ini taktik halus Khairy, Dr Zambery dan si polan si polan.
7. Itu hanyalah tafsiran atau ulasan seseorang terhadap sesuatu yang berlaku. Kita tentu tak boleh menghalang seseorang daripada membuat tafsiran seperti itu.
8. Tetapi adalah menjadi tanggungjawab pemimpin tertinggi UMNO dan BN untuk mengharmonikannya. Mereka tak perlu mengambil masa yang lama untuk menyatakan ucapan terima kasih dan puji-pujian itu.
9. Begitu juga jangan sampai ada orang datang kepada pemimpin dan menagih pujian itu. Itu sudah dikira terlambat dan semacam tidak asli lagi.
10. Mereka patut menjelaskan kepada rakyat umumnya dan ahli-ahli parti khususnya bahawa sesuatu kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak. Tanpa kerjasama itu kejayaan hampir mustahil dapat dicapai.
11. Malahan mereka patut berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong mereka. Dengan cara itu seseorang pemimpin itu tidak akan dianggap terpisah daripada rakyat. Begitu juga parti tidak akan dianggap hanya milik kumpulan tertentu sahaja.
12. Mungkin ini salah satu kekurangan kita sejak sekian lama, tetapi ia boleh diperbaiki mulai hari ini dan disuburkan untuk sepanjang masa.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Penerapan Nilai Murni Dalam Parti "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply