1 Semasa Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan tahun lalu (2010) yang disambut di Kuantan Pahang, pihak akhbar memuatkan berita bahawa Penolong Kanan HEM akan diselaraskan gred mereka ke gred yang lebih tinggi.

2 Tulisan itu sangat menggembirakan semua Penolong Kanan HEM yang kebanyakan mereka masih bergred DG44 walhal Penolong Kanan Pentadbiran kebanyakannya sudah mencapai gred DG48. Dengan penyelarasan itu semua PK HEM amat gembira kerana mereka akan mencapai gred DG48.

3 Berita yang menggembiran semua PK HEM yang masih bergred DG44 ketika itu telah dimuatkan di dalam semua akhbar tempatan. BERITA HARIAN, bertarikh 16/05/2010 turut memuatkan berita tersebut. KLIK DI SINI.

4 Namun selepas setahun berita itu disiarkan di dalam akhbar tempatan, berita yang menggembiran itu tidak jua menjadi kenyataan. PK HEM yang terlibat turut menunggu dengan penuh sabar, kalau-kalau ada pekeliling yang berkaitan sampai ke sekolah mereka.

5 Setelah menunggu lebih setahun, perasaan mereka sudah hampir tawar dengan berita tersebut sehinggalah berita itu diumumkan sendiri oleh YAB Perdana Menteri pada Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan 2011 yang diadakan di Sarawak pada 16 Mei yang lalu.

6 Berita kali ini lebih menggembirakan ramai Penolong Kanan sebab ia turut melibatkan Guru Penolong Kanan Pentadbiran dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum yang bergred DG44.Menurut kenyataan YAB Perdana Menteri kenaikan ke gred DG48 itu akan berkuat kuasa mulai Januari tahun hadapan (2012).

7 Penantian selama setahun itu nampaknya berbaloi sebab kenaikan itu melibatkan lebih ramai Guru Penolong Kanan.

8 Meskipun janji awalnya melibatkan Guru Penolong Kanan HEM, namun sebagai Penolong Kanan HEM saya percaya ramai PK HEM yang masih belum jelas dengan pengumuman itu malahan ada yang melahirkan rasa kecewa sebab nama PK Hal Ehwal Murid (HEM) tidak disebut langsung dalam kenaikan gred itu.

9 Nama Penolong Kanan yang disebutkan ialah PK Pentadbiran, Hal-Ehwal Akademik dan PK Kokurikulum. Jelas sekali nama PK HEM tidak disebut langsung baik di dalam ucapan YAB Perdana Menteri, ucapan YAB Menteri Pelajaran mahupun tulisan dalam akhbar.

10 Ramai yang bertanya termasuk saya sendiri, bilakah jawatan PK Hal Ehwal Akademik itu wujud. Jika sudah wujud tentu dalam pengetahuan saya juga dan tentu ada pekeliling yang berkaitan dengannya. “Adakah itu jawatan baru?”, tanya anak saya, Nurul Atiqah yang berada di Tingkatan Dua. “Harap-harap mereka tersilap,’ kata anak saya yang seorang lagi.

11 Jawatan yang sedia ada ialah PK Hal Ehwal Murid atau ringkasnya PK HEM. Jika yang dimaksudkan dengan Hal Ehwal Akademik itu PK HEM, bilakah berkuat kuasanya pertukaran gelaran jawatan itu. Jika PK HEM 2012 akan dikenali sebagai PK Hal Ehwal Akademik, apa pula tugas PK pentadbiran yang selama ini memang signifikan dengan bidang akademik atau kurikulum.

12 Walau bagaimana pun saya selaku PK HEM atas nama diri saya sendiri dan mewakili rakan-rakan saya masih mengharapkan bahawa yang dimaksudkan dengan PK Hal Ehwal Akademik itu ialah PK HEM yang ada sekarang yang masih dalam kategori DG44.

13 Jika bukan, bagaimana dengan kedudukan kami, PK HEM yang merupakan antara PK yang begitu banyak tanggungjawab yang perlu diselesaikan yang berkaitan dengan murid dan sekarang berada di susunan no 2 selepas PK Pentadbiran.

14 Jika ini suatu kesilapan, kesilapan seperti ini tidak wajar berlaku sebab ia menjadi suatu pengumuman penting yang diumumkan pada hari yang penting dan bersejarah yang menyentuh seluruh emosi dan harapan seseorang setelah menunggu sekian lama.

15 Saya sendiri pernah menyebutnya dalam artikel saya di blog ini, bertarikh 25 September 2010 dengan tajuk ” Ada Perkara Yang Belum Selesai Yang Mungkin Perlu Disebut Dalam Bajet “. KLIK DI SINI.

Catatan Abd Bashid Harun
PK HEM SMK Kamunting