Al-Hamdulillah, seperti juga di sekolah lama saya, kali ini saya turut mendapat kerjasama memberangsangkan daripada guru-guru di sini. Mereka mahu memberikan kerjasama setelah saya mengalu-alukannya.

Ini berkaitan dengan ucapan saya kali pertama semasa Contact Time guru pada hari Khamis minggu lepas.Saya beritahu mereka seramai 143 guru dan 1769 pelajar di sini adalah mereka yang berpotensi untuk membantu saya. Mereka adalah ruang dan peluang saya. Marilah kita bersama-sama melakukannya.

Saya mahu mereka jelas dengan pendirian saya tentang urusan hal-ehwal murid dan disiplin serta bagaimana pendekatan yang bakal saya ambil. Saya tidak mahu mereka berteka-teki tentang saya mengenai perkara penting yang menjadi core business saya ini.

Lebih cepat saya menjelaskan pendirian saya mengenainya dan pendekatan yang bakal saya gunakan adalah lebih baik. Saya tidak perlu menunggu masa yang sesuai. Sekaranglah masa yang sesuai itu.

Saya masuk hampir ke semua bilik guru dan bersalaman dengan guru-guru sambil menyatakan harapan saya agar mereka membantu saya untuk menangani hal-ehwal pelajar di sekolah ini.

Tidak cukup setakat itu, setiap guru dan kakitangan yang saya temui saya mengambilnya sebagai peluang keemasan untuk menyatakan hasrat saya itu. Tentunya ini dilakukan dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan meyakinkan.

Tidak hairan jika ada guru-guru yang datang berjumpa dengan saya bercakap panjang lebar dengan saya. Saya biarkan mereka bercakap tentang apa jua yang mereka ingin luahkan.

Saya cuba menjadi pendengar yang baik dan tukang mengiyakan cerita mereka. Menjadi pendengar yang baik tidak rugi. Banyak rahsia dibongkar secara tidak sengaja. Malahan saya lebih banyak belajar melalui cara ini. Saya belajar tentang guru-guru di sini, tentang sikap dan pendirian mereka.

Apakah pentingnya saya mendekati guru-guru sedangkan jawatan saya ini lebih kepada pelajar. Mungkin ada yang berfikir begitu.

Jika anda berfikir bahawa saya patut fokus kepada pelajar sahaja saudara silap. Semua guru adalah guru disiplin. Saya hanyalah seorang daripadanya. Iklim sekolah ditentukan oleh kedudukan disiplin yang baik. Semua orang akan menjadi ceria dan dapat bekerja dengan seronok jika mereka berpuas hati dengan mutu disiplin di sekolah.

Jadi guru-guru dan kakitangan di sini akan membantu saya bagi mencapai hasrat itu. Saya meyakini semangat yang begitu. Saya tidak boleh bekerja seorang diri ketimbang bilangan pelajar yang begitu ramai dan jumlah blok bangunan yang begitu banyak, apatah lagi kedudukannya yang begitu kompleks.

Apabila saya berdiri di suatu sudut saya tidak boleh nampak sudut-sudut yang lain. Sampai saat ini saya masih belum dapat mengenal pasti “point” kedudukan yang paling tepat di mana apabila saya berdiri di situ saya dapat menjangkau pergerakan pelajar secara menyeluruh dan lebih mudah.

Nampaknya bukan mudah saya melakukannya di sini berbanding di sekolah lama saya. Sekolah ini agak luas kawasannya. Banyak sudut yang boleh dijadikan port lepak.

Saya kira pelajar yang nakal lebih kreatif dan lebih mendahului saya dalam hal-hal begini. Mereka lebih arif di mana port yang lebih selamat daripada gangguan dan masa bila pula yang paling sesuai untuk “santai”.

Ketika inilah saya harus jadi budak nakal sambil mencari jalan sesat bagaimana mahu menipu guru. Dengan berada pada pemikiran pelajar sebegini saya yakin akan diberi ilham tentang port-port selamat bagi mereka.

Apabila semua ini sudah berlaku dan maklumat dalam tangan sudah tentu akan memudah kerja-kerja saya. Tetapi kerja mengurus pelajar yang sedang berkembang dan bakal menguji kesabaran guru hampir pada setiap masa tetap tidak mudah. Banyak yang harus saya pelajari.

Tetapi saya yakin pengetua, penolong-penolong kanan, guru-guru, staff, pengawas, ketua-ketua kelas, pelajar Tingkatan Enam, pelajar-pelajar dan ibu bapa akan “membimbing” saya. Jika tidak pun mereka akan sentiasa memberi ilham kepada kerja buat saya.

Hakcipta Abd Bashid Harun