Kertas Konsep Ini Cuba Membedah Apa, Mengapa dan Makna Program Aku Serah Yang Menjadi Sasaran Kerja Penulis Selaku PK HEM Pada Tahun 2012

1 Penyerahan merupakan satu bentuk kepercayaan yang paling tinggi yang berlaku dalam kehidupan seseorang insan. Kita selalu mendengar ungkapan yang berbunyi kita hendaklah menyerahkan sesuatu urusan itu kepada Allah, biarlah Allah yang menjaganya.

2 Beberapa dalil naqli membuktikan penyerahan itu patut berlaku dan mempunyai kedudukannya yang khusus dalam agama Islam. Allah berfirman,” fatawakkal ‘alallah wa kafa billahi wakila ” yang bermaksud “dan bertawakkallah (berserahlah) kamu kepada Allah, dan cukuplah Allah sebagai tempat berserah ”.

3 Allah berfirman“ fa iza ‘azamta fatawakkal ‘alallah ‘ yang bermaksud “ maka apabila kamu berazam, hendaklah kamu bertawakkal (berserah) kepada Allah “.

4 Begitulah juga halnya dengan kita sebagai manusia. Disebabkan kita percaya kepada seseorang, kita bersedia menitipkan barangan dan kadang-kadang seseorang yang kita percaya seperti anak kita sendiri atau binatag peliharaan kita kepadanya untuk djaga atau disimpan untuk suatu tempoh tertentu.

5 Orang yang menerima barang, orang atau binatang daripada kita itu pula akan menjaganya sebagai barang “amanah” yang perlu dipelihara sebaik-baiknya agar tidak berlaku sedikit pun kecacatan, kecederaan atau kehilangan pada barang, orang atau binatang yang diserahkan itu.

6 Sedaya upaya barang, orang atau binatang itu akan dikembalikan kepada tuannya semula dalam keadaan baik seperti keadaan asal sewaktu ia diterima. Jika kita menerima sesuatu itu dalam keadaan sempurna, maka kita perlu mengembalikannya dalam keadaan sempurna juga, iaitu tidak berlaku kecacatan mahupun kecederaan.

7 Antara individu yang memberi kepercayaan dan individu yang menerima kepercayaan itu mesti saling mempunyai darjah kepercayaan yang begitu tinggi. Dalam bahasa mudahnya, Aku yakin dengan kamu dan Kamu juga yakin dengan aku. Maka (berhusnudz dzan ) atau bersangka baik oleh semua yang terlibat dalam proses penyerahan itu mesti wujud tanpa gagal.

8 Sesungguhnya keyakinan sehingga menimbulkan rasa percaya itu bukan diperolehi dalam masa yang singkat.Bukan juga boleh berlaku secara accident mahupun insiden, tetapi berdasakan pengamatan dan pengalaman yang agak lama sehingga keyakinan itu bertukar kepada kepercayaan yang mulanya tumbuh dan kemudian subur mekar mengharum wangi tanpa paksaan.

9 Maka konsep kepercayaan sedemikianlah yang hendak diterjemah melalui Program Aku Serah dan Aku Terima yang berlaku pada hari pertama persekolahan.

10 Ibu bapa atau penjaga murid mungkin ada banyak sebab mengapa mereka menghantar anak mereka ke sesebuah sekolah. Ada yang memberikan sebab yang mudah seperti sudah ada anak yang belajar di sekolah yang sama.

11 Ada juga yang mempertimbangkan faktor jarak sekolah yang dekat dengan rumah dan memudahkan anak dihantar ke sekolah. Ada yang telah mendapat maklumat bahawa sekolah itu mempunyai pasukan bola sepak yang berjaya dan menang di peringkat daerah atau negeri dengan menaruh harapan besar agar anaknya akan turut dipilih sebagai pemain sekolah.

12 Ada juga ibu bapa yang berpuas hati terhadap pencapaian sekolah dalam bidang kurikulum, khususnya ibu bapa yang memberi keutamaan kepada pencapaian akademik anak-anak. Begitulah juga halnya dengan ibu bapa yang berasa yakin dengan keselamatan anak-anak mereka natijah daripada mutu disiplin murid yang semakin meningkat.

13 Ada pula ibu bapa yang berpuas hati dengan tahap kawalan keselamatan sekolah.Ada yang mungkin melihat faktor kantin sekolah yang menyediakan pelbagai menu harian yang banyak dan mencukupi, khususnya bagi mereka yang mempunyai anak yang mempunyai selera makan yang besar.

14 Tidak juga dinafikan ada ibu bapa yang menggunakan alasan yang mereka mengenali guru-guru di sekolah yang dipilih, seperti guru Matematiknya yang mahir dan GBKnya yang sentiasa ingin membantu atau kerana guru itu jiran mereka, atau sahabat mereka.

15 Pendek kata ibu bapa mempunyai alasan yang tersendiri mengapa mereka memilih sesebuah sekolah bagi tujuan penempatan anak mereka.Banyak sebab yang diberikan, bukan terhad kepada satu atau dua sebab sahaja.

16 Namun sebab yang paling tinggi yang tentulah melibatkan kepercayaan ibu bapa bahawa pihak sekolah dapat memenuhi impian mereka dan anak mereka, sekaligus mengharapkan anak-anak tidak dipersia-siakan dan dijaga dengan baik akan kebajikan dan keselamatan mereka.

17 Rekod-rekod sekolah berupa pencapaian terbaiknya dalam pelbagai bidang seperti kurikulum, kokurikulum dan lain-lain cukup membantu dan menjadi indikator yang paling jelas dalam menarik minat seseorang ibu bapa atau penjaga menghantar anak mereka ke sesebuah sekolah.

18 Sebab itu mengusahakan kemenangan dan kejayaan dalam pelbagai bidang bukan menjadi angan-angan lagi tetapi adalah suatu tuntutan yang perlu direalisasikan oleh setiap individu di sekolah yang diketuai oleh Pengetuanya.

19 Malahan kemenangan dan kejayaan yang diperolehi oleh sekolah merupakan alat pemasaran sekolah yang paling ampuh bagi menarik minat ibu bapa dan penjaga murid untuk menghantar anak mereka ke sekolah kita.

20 Cerita-cerita baik yang cepat membiak dari mulut ke mulut akan menjadi bentuk pemasaan pelbagai tingkat yang paling ampuh yang akan menjenamakan nama sekolah ke suatu tahap tertentu di mana apabila disebut sahaja nama sekolah A orang ramai sudah mengetahui bahawa sekolah itu terkenal dengan ragbinya, sekolah B pula terkenal dengan pidatonya dan banyak lagi.

21 Jelas sekali kejayaan dan kemenangan yang kita harapkan bukan lagi setakat terkekang dalam kepompong angan-angan, sebaliknya benar-benar terjelma lalu menyemarak dan menyubur dalam kalangan warga sekolah atau lebih tepat lagi menjadi budaya sekolah. Apabila hal ini menjadi kenyataan apa pun yang kita lakukan selepas ini akan menjadi lebih mudah daripada sebelumnya.

22 Natijahnya keyakinan masyakarat terhadap sekolah semakin meningkat seiring dengan meningkatnya pencapaian sekolah. Itulah yang sepatutnya berlaku kepada sesebuah sekolah.

23 Apa yang sepatutnya berlaku ialah semakin lama sekolah itu wujud, semakin menokoklah kejayaan yang diperolehinya dan rentetan dari itu semakin baiklah disiplin murid-muridnya yang diakhiri dengan semakin baiklah imej sekolah itu.

24 Sekolah seperti SMK A umpamanya yang sudah berusia lebih daripada 30 tahun tidak patut mengulangi hanya 3 atau 4 pengalaman kejayaannya untuk tempoh 30 tahun itu, tetapi yang sepatutnya berlaku sekolah telah mengalami sekurang-kurangnya 30 kejayaan, atau lebih baik lagi, dua atau tiga kali ganda daripada jumlah itu.

25 Kita dapat melihat sedikit demi sedikit kejayaan yang kita harapkan dapat diraih dengan adanya kesungguhan semua pihak, iaitu guru, ibu bapa, murid, pekerja, dan anggota masyarakat di samping adanya program berkesan hasill cetusan pemimin sekolah iaitu pengetua atau guru besarnya.

26 Sebagai contoh program pembudayaan nilai positif di sekolah.yang dicetuskan oleh Pengetua SMK Kamunting, Tuan Haji Mohd Harithuddin Satari, telah berjaya membangkitkan kesedaran bagi memenangi banyak acara semakin meningkat. Begitu juga dalam memburu banyak A dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM.

27 Dengan semua orang berfikir, bercakap dan bertindak secara positif, kita yakin kejayaan itu akan bertambah.

28 Semua orang akan gembira kalau sekolah memenangi sesuatu acara, Begitu juga kalau ramai yang mendapat A dalam peperiksaan awam. Lebih suka kalau yang meraih kemenangan itu ialah anak mereka, adik mereka, abang atau kakak mereka, atau orang kampung mereka dan anak kepada jiran mereka.

29 Kegembiraan itu dikongsikan dalam bentuk yang positif seperti lahirnya rasa ceria, tersenyum, bangga, menceritakan kejayaan, pujian, ganjaran, hadiah, acara makan-makan, dan sebagainya.

30 Di sekolah pula kegembiraan itu turut berlaku. Apatah lagi kalau yang berjaya itu murid mereka, dari kelas mereka, dari organisasi mereka, murid kesayangan mereka, murid kelab mereka dan sebagainya. Semua orang nampaknya berhak untuk bergembira dengan kejayaan dan kemenangan yang dicapai itu.

31 Kemenangan dan kejayaan ini seperti saya katakan di awal tadi bukannya berlaku secara accident atau pun insiden.Ia juga bukan satu perjudian di mana anda mempertaruhkan beberapa ringgit dengan mengharapkan pulangan beribu-ribu ringgi.

32 Tetapi semuanya diusahakan. Bukan sekali, tetapi acap kali, bukan untuk satu perkara tetapi untuk semua perkara, bukan hanya melibatkan seorang guru, tetapi semua guru, bukan hanya pelajar tertentu, tetapi kepada majoriti pelajar, bukan sekali tetapi beberapa kali, bukan sehari tetapi berterusan.

33 Bukan hanya warga sekolah, tetapi ibu bapa, masyarakat, agensi setempat turut membantu sekolah bagi mencapai hasratnya untuk berjaya dan menang. Maka jka ini yang sebenarnya berlaku lebih baiklah keadaannya.

34 Program Aku Serah, yang kemudiannya disambut dengan Aku Terima oleh guru ini antara lain dilaksanakan dengan tujuan menarik sokongan ibu bapa secara bersepadu dan sederap bagi menyokong hasrat sekolah. Ia diterjemah melalui sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada sekolah dan bersama sekolah memburu kejayaan dan kemenangan.

35 Kejayaan sekolah adalah kejayaan bersama, jadi usaha untuk mencapainya juga adalah usaha yang perlu dilakukan bersama. Begitu juga apabila sekolah dirundung malang dengan kekalahan, maka rasa sedih itu turut dirasai bersama oleh ibu bapa bukan guru-guru sahaja yang menanggungnya.Inilah sebenarnya yang dimaksudkan ibu bapa dan anggota masyarakat setempat sebagai rakan sekolah.

36 Aku Serah menjadi lambang kesepakatan dan kolaborasi tahap tinggi antara pihak sekolah dan ibu bapa. Ibu bapa atas kepercayaan yang diberikan kepada sekolah akan menyerahkan anak mereka secara sukarela untuk dididik, dibimbing dan diasuh menjadi orang yang berjaya dengan bantuan dan restu mereka, bukan serah dan kemudian pergi.

37 Guru-guru pula melalui Ikarar Aku Terima menyambut titipan itu sebagai barang amanah dengan penuh rasa tanggungjawab dan sedar akan fungsi serta peranan yang patut mereka mainkan sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa/penjaga.

38 Maknanya masing-masing, ibu bapa di suatu pihak dan guru-guru di suatu pihak yang lain sentiasa mengharapkan situasi Menang-Menang dalam proses Aku Serah dan Aku Terima tadi.

39 Situasi Menang-Menang ini bukan sahaja berlaku dalam keadaan anak-anak mereka berjaya, tetapi situasi Menang-Menang ini juga berlaku dalam keadaan anak mereka kurang berjaya.

40 Sesuatu yang bakal berlaku dan dilakukan ke atas anak mereka bukan menjadi tanggungjawab satu pihak sahaja. Begitu juga natijah atau akibah yang bakal berlaku kepada murid-murid itu bukan menjadi kesalahan mana-mana pihak sehingga berlaku tuduh menuduh oleh pihak ibu bapa kepada pihak sekolah atau pihak sekolah kepada ibu bapa, sebaliknya kedua-dua pihak menerima hal ini dengan hati yang rela dan dada terbuka sambil cuba mengatasi atau mencari jalan terbaik untuk mengatasinya.

Hakcipta Abd Bashid Harun .