1 SEMALAM telah berangsung sesi perbincangan pihak pengurusan kali pertama untuk merancang persiapan menjelang sesi persekolahan 2011.Takwim dan pembentukan Jawatankuasa di bawah EMPAT bidang kemenjadian utama sekolah, iaitu Pengurusan, Kurikulum, Hal Ehwal Murid (HEM) dan Kokurikulum telah mengambil tempat sebagai agenda utama.

2 Saya dimaklumkan bahawa Tuan Pengetua tidak akan hadir dalam mesyuarat ini bagi memberi laluan selesa kepada setiap Penolong Kanan dan Guru Kanannya berbincang dan berbahas sesama sendiri dengan melakukan sesi brainstorming secara bebas untuk melihat senario keseluruhan pencapaian tahun 2010.

3 Apa yang telah berlaku, apa yang diharap akan berlaku dan apa yang sebenarnya akan dilakukan pada sesi 2011 nanti patut difikirkan oleh setiap daripada mereka.Masing-masing diharap dapat memberikan pandangan proaktif lagi positif bagi menambah baik apa yang sudah sedia ada.

4 Saya sendiri sudah membayangkan akan melakukan rombakan besar-besaran untuk unit-unit di bawah HEM tertentu setelah memberanikan diri melakukan percubaan selama setahun sebagai tahun pertama saya sebagai PK HEM.Memang banyak aspek dan unit yang harus dilakukan transformasi.

5 Strategi pengecilan saiz bagi JK tertentu adalah dikira lebih baik agar mengelakkan politiking yang berterusan dan penyakit tolak menolak dalam melaksanakan sesuatu tugasan. Sebahagian JK akan dibubarkan dengan seorang dua guru sahaja yang mengendalikan unit tersebut.

6 Jika unit tersebut hanya memerlukan seorang dua guru, JK tidak sesuai dan melambatkan. Apatah lagi jika unit itu memerlukan tindakan segera maka memadai diharapkan kepada seorang atau dua guru untuk mengendalikannya. Apabila sudah dibentuk jawatan kuasa, mengadakan mesyuarat adalah satu keperluan. Walhal kadang-kadang mesyuarat menjadi suatu faktor kekangan ketika keputusan harus diambil segera dan tindakan mesti dilakukan dengan cepat.

7 Pertemuan demi pertemuan telah mula dibuat dengan guru-guru bagi mendapat maklum balas tentang HEM. Ada yang mengatakan ianya terlalu awal, dan mendedahkan HEM kepada spekulasi dan mungkin juga fitnah.

8 Jika itu yang akan berlaku saya harus mendengar sendiri spekulasi dan fitnah itu. Saya patut tahu tentang apa dan siapa yang memulakannya. Saya tidak akan menghentikan perbincangan secara bersemuka dan mendapat pandangan langsung daripada guru-guru hanya kerana spekulasi yang akan berlaku.

9 Saya harus mendapat gambaran sebenar daripada mereka yang bakal dilibatkan secara total untuk tahun 2011. Kepada diri saya sendiri tindakan seperti ini menjadikan saya langsung tidak popular tetapi percayalah kesannya lebih baik untuk iklim sekolah dalam jangka panjang.

10 Yang diramal sesuai untuk menjadi ketua dalam unit atau memimpin unit kecil di bawah HEM telah pun ditemui dan pandangan mereka telah pun diambil.Siapa yang akan menerajui sesuatu unit dan siapa yang akan berpindah potfolio telah pun dibayangkan kepada mereka yang ditemui.

11 Tentunya ini memerlukan keterbukaan semua pihak yang terlibat, terutama guru. Kita tidak boleh menyimpan sama sekali apa yang kita hasratkan hanya semata-mata mahu menjaga hati para guru. SMK Kamunting memerlukan transform. Salah satu yang perlu dibuat ialah meletakkan seseorang di tempatnya yang betul agar impaknya kepada iklim sekolah menjadi lebih besar.

12 Pada hemat saya sepanjang tahun 2010 semua orang telah bekerja menurut tahap kemampuan yang sedia ada pada mereka. Cuma pada tahun 2011 kita mahukan sumbangan mereka yang lebih besar, lebih efektif dan lebih produktif. Guru-guru harus dibenarkan menerajui bidang yang sesuai dengan kebolehan dan pengalaman mereka.

13 Tidak semua orang yang mengetahui bakat dan kebolehan mereka sekalipun mereka berkelulusan tinggi. Guru pun begitu. Mereka mungkin tidak mengenali dalam bidang mana yang mereka lebih sesuai berada, maka tugas pentadbir termasuk semua PK membantu menjelaskan mengapa mereka patut berada dan tidak patut berada di situ.

14 Tetapi yang sudah menampakkan kejayaan, tidak salah jika kita menukarkannya untuk memberi peluang orang di bawahnya naik setakah lagi dan berperanan lebih besar dalam bidang yang mereka sudah ada pengalaman selama setahun itu.Sedangkan dia sendiri harus ditempatkan di segmen yang lebih kritikal yang memerlukan revolusi dan anjakan lebih besar.

15 Jika ada individu yang selama ini dikatakan hebat atau memperaku sendiri bahawa dia berkemampuan dalam melaksanakan tugas yang diberi, tentu tidak salah jika dia diberi peranan yang lebih besar tetapi dalam skop yang lebih khusus agar dia dapat membuktikan bahawa dia memang manusia berkebolehan walau di mana pun posisi dan unit ia ditempatkan.

16 Politiking dan keriuhan harus dikurangkan dan jika dapat ditamatkan menjelang 2011 lalu digantikan dengan kerja kuat dan smart. Budaya bersembang, mengumpat dan mencari salah atasan dan kerajaan harus dihentikan serta merta melalui strategi memberi bebanan optimum kepada mereka yang berkecenderungan seperti itu agar tiada atau kurang masa untuk yang lain.

17 Sekarang ini mereka dilihat mempunyai banyak masa untuk yang lain sedangkan untuk tugasan rasmi sekolah masih banyak lompang di sana sini. Setiap individu yang diamanahkan berada dalam unit masing-masing harus menunjukkan kemampuan sebenar bukan dakwa dakwi dan kebisingan.

Hakcipta Abd Bashid Harun