Sebenarnya bukan mudah untuk mengendalikan pelajar-pelajar di kelas Peralihan dan Tingkatan 1. Sebab itu saya cukup menghormati guru-guru yang pernah dan sedang mengajar pelajar-pelajar dalam period transisi ini. Selain sangat bertenaga, mereka cukup agresif, aktif dan sentiasa menguji kesabaran para guru. Hubungan mereka dengan ibu bapa mereka cukup rapat. Jadi mereka inginkan hubungan yang sama berlaku dengan guru-guru mereka. Tegasnya seperti kanak-kanak normal yang lain mereka inginkan lebih perhatian. Tetapi bukan itu yang saya nak tegaskan di sini. Perkara yang saya ingin kongsikan dengan anda semua ialah tentang bagaimana pelajar-pelajar ini buat kali pertama bertemu kawan-kaan mereka dalam kelompok yang lebih besar. Kalau dahulu mereka hanya mengenali kawan mereka dari satu sekolah, kini mereka mengenali kawan-kawan mereka daripada beberapa buah sekolah. Kalau dahulu mereka mungkin bersekolah di sekolah yang mempunyai satu kaum sahaja, seperti dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau dari sekolah kebangsaan. Tetapi kini mereka berhadapan dengan pelajar daripada berbagai-bagai bangsa yang datang daripada berbagai jenis aliran sekolah. Di sinilah tugas guru menjadi semakin mencabar. Mereka bukan sekadar mengajar tetapi menanamkan nilai-nilai perpaduan, toleransi dan berkerjasama antara pelajar daripada pelbagai kaum. Tugas ini bukan ringan. Jika mereka gagal menyemai bibit-bibit perpaduan di peringkat awal ini agak sulit semangat perpaduan itu menyerap dalam dada pelajar. Guru-guru harus tegas mengendalikan aspek perpaduan kaum ini sambil membuktikan sekolah yang terdiri daripada beberapa kaum sebenarnya adalah peluang untuk mengenali perbezaan budaya, agama dan latar belakang setiap kaum. Inilah masanya mereka mempelajari kelainan itu jika mereka ingin berdepan dengan suasana sebenar dalam masyarakat Malaysia. Jika ada kes-kes pergaduhan yang melibatkan kaum, hukuman yang sewajarnya patut dikenakan kepada pelajar yang bersalah kerana kita tidak mahu pergaduhan ini menjadi gejala yang tidak terbendung di sekolah. Menghukum pelajar yang bergaduh atas sebab apa pun harus ditangani sebaik-baiknya, apatah lagi jika sampai melibatkan pergaduhan antara kaum. Program-program integrasi dan orientasi pelbagai kaum wajar menjadi agenda sekolah di peringkat awal ini. Tidak cukup dilakukan untuk beberapa hari semasa minggu orientasi, tetapi wajar dilakukan untuk sepanjang tahun. Rasa hormat menghormati, berfikiran terbuka terhadap perbezaan, dan tidak terlalu sensitif sehingga sukar untuk menerima kesilapan kecil yang melibatkan kaum yang berbeza wajar disemai di peringkat ini. Tentunya guru mesti menjadi contoh dalam hal ini.

















1 user commented in " Pelajar Peralihan dan Tingkatan 1: Kali Pertama Bercampur Dengan Kaum Lain "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackYap, postingan menarik untuk perbandingan menuju kreasi yang halal
Leave A Reply