BERDASARKAN Teori X dan Y oleh McGregor, manusia mempunyai potensi dan peluang yang sama banyak sama ada untuk melakukan kesalahan atau memilih kebenaran.Jika manusia dibiarkan tanpa perhatian manusia akan memilih apa yang ia rasa seronok untuk melakukannya,termasuk perkara-perkara yang salah. Apatah lagi manusia itu masih bergelar pelajar yang belum cukup matang untuk berfikir bebas dalam membuat pilihan. Sering sahaja pilihan itu tidak tepat dan membahayakan diri sendiri. Sebab itu pelajar memerlukan bantuan dan bimbingan. Di sekolah, bimbingan dan bantuan itu diberi oleh insan yang sangat mulia yang bergelar guru. Guru akan memantau pergerakan pelajar agar niat yang tidak betul jika ada pada diri pelajar itu tidak akan dapat dilepaskan untuk melakukan kesalahan. Maknanya di sini guru mesti pastikan pelajar tidak ada ruang untuk melakukan kesalahan meskipun pelajar itu ada niat untuk melakukannya. Tegasnya niat sahaja tidak akan berupaya direalisasikan jika tidak ada ruang dan peluang untuk berbuat demikian. Maka antara fungsi guru ialah menutup segala ruang dan peluang itu. Kesalahan yang dilakukan oleh pelajar seperti ponteng kelas, berbuat bising, mencuri, merokok dan sebagainya hampir semuanya berpunca daripada ruang yang wujud di sekitar mereka yang tidak disedari oleh para guru. Guru-guru mesti mengenal pasti apakah ruang dan peluang itu. Bagi saya antara yang ketara ialah guru lambat masuk ke kelas, guru tidak masuk ke kelas, guru keluar awal, guru tidak membuat teguran dari awal, guru mengajar sambil duduk, guru malas bergerak, guru tidak cekap mengawal kelas, guru tidak memeriksa buku pelajar, guru tidak menyemak kerja pelajar; semuanya adalah peluang dan ruang bagi pelajar-pelajar, terutama yang nakal untuk mengambil kesempatan. Jadi pesan saya, tutup ruang dan peluang itu. Ruang dan peluang itu selalunya kitalah yang beri. Pelajar ada niat, tetapi ruang dan peluang ada pada kita. Maka kita hendaklah menjaga ruang dan peluang itu agar tidak ada sesiapa pun di kalangan pelajar menyalahgunakannya.












1 user commented in " Niat dan Peluang "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackThank you for sharing!
Leave A Reply