1 Mengatur pengurusan HEM di sebuah sekolah yang agak besar dan mempunyai pelajar yang ramai menjadi suatu cabaran baru buat saya. Ternyata ia mudah disebut dari segi teorinya, tetapi banyak perkara perlu ditimbang dan diperhalusi semasa proses penggubalannya.

2 Sebelum ini saya pernah membayangkan sebuah sekolah yang besar seperti SMK Kamunting, strategi pengecilan saiz JK yang melalui pendekatan pengguguran dan penggabungan mungkin merupakan sebuah strategi yang berkesan. Namun apabila saya melaluinya sendiri ternyata proses penjanaannya bukannya mudah.Baca artikel saya dengan KLIK DI SINI.

3 Mudah jika kita sekadar “copy and paste” daripada panduan yang sudah ada dari sekolah-sekolah lain atau dengan mengambil jalan mudah dengan mengekalkan sahaja bentuk JK yang sudah sedia ada.

4 Tetapi adakah cara-cara seperti itu menyelesaikan masalah-masalah yang benar-benar kita sedang hadapi dan apa yang kita mahu ianya berlaku.

5 Justeru saya perlukan banyak masa untuk merenungnya sebelum ia dipindahkan dalam bentuk dokumen cetakan kekal untuk menjadi panduan guru.

6 Saya mahu apa yang bakal dilaksanakan oleh guru di bawah HEM itu dapat dilihat dan dirasai sendiri oleh setiap guru yang terlibat.

7 Saya ingin apa yang saya mahukan itu bukan sahaja dikongsi oleh semua guru yang terlibat, tetapi difahami dengan jelas, terutama rasional di sebalik sesuatu JK atau Unit itu dibentuk, diubahsuai, digabung, diserap masuk atau digugurkan.Saya mahu setiap guru merasakan bahawa apa yang dbuat itu ada sebab-sebab yang kuat.

8 Saya harus bijaksana mencanai antara teori yang saya pernah pelajari semasa di IAB dan UM dengan realiti sebenar di SMK Kamunting.

9 Banyak pertimbangan yang wajar dibuat dan banyak faktor wajar diambil kira, bukannya menjana sebuah pelan HEM yang syok sendiri.

10 Antara beberapa perkiraan yang menjadi congakan saya sekarang ialah adakah saya perlu mengekalkan dua JK yang berbeza sedankan dua JK itu mempunyai fungsi yang saling berkaitan.

11 Sebagai contoh, adakah saya perlu mengekalkan Lembaga Disiplin dan Lembaga Pengawas seperti sebelumnya, atau dengan mencantumkan kedua-duanya di bawah JK Disiplin tetapi di dalamnya ada unit pengawas.

12 Saya tidak mahu guru dan murid melihat tugas guru pengawas dan guru disiplin itu terpisah sedangkan fungsi mereka sama iaitu menguatkuasakan peraturan sekolah.

13 Saya tidak mahu tugas mengawas itu diserahkan kepada pengawas dengan bebanan tugas kepada guru pengawas sedangkan pada masa yang sama guru disiplin sendiri turut menggunakan tenaga pengawas dalam menguatkuasakan peraturan sekolah.

14 Saya mesti tahu mana-mana JK yang digugurkan, yang mana pula perlu digabungkan dan yang mana perlu diubah nama. Saya perlu jelas mana satu Jawatankuasa yang besar dan mana pula yang sekadar menjadi unit di bawah JK besar itu.

15 Saya melakukan ini untuk memastikan setiap guru jelas akan fungsi mereka dan tahu mereka berada di bawah bidang apa dan kepada siapa mereka harus bertanggungjawab.

16 Saya tidak mahu guru melihat tugasan mereka sangat luas dan tidak dapat melihat sempadan tugasan yang akhirnya guru itu akan bertindak berlepas tangan dan cuba mengelak daripada melaksanakan tugas yang diberi.

17 Begitu juga saya tidak mahu guru menyempitkan peranan mereka sehingga begitu sulit untuk memainkan peranan dan fungsi mudah lentur mereka sehingga setiap kerja yang diberi akan dipertikaikan dan ditanggap bukan kerja mereka.

Catatan Abd Bashid Harun