Ketua Kelas Adalah Orang Yang paling Tahu Tentang Kelas Mereka
1 Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas yang bertanggungjawab serta peka terhadap persekitaran kelas adalah mereka yang berusaha mengenali setiap guru kelas dan guru subjek yang mengajar di kelas mereka, mengetahui nama penuh mereka dan dapat pula menyebut dan menulisnya dengan betul.
2 Mereka juga mengenali setiap rakan di dalam kelas mereka dan berupaya mengingat, menyebut dan menulis nama rakan-rakan mereka itu dengan tepat serta dapat memberitahu jumlah murid apabila diminta dan kedudukan murid-murid di dalam kelasnya serta tarikh lahir mereka.
3 Pengecaman ini memudahkan Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas mengenal pasti siapa kawannya yang tidak hadir ke sekolah, ponteng sekolah atau yang menghadapi masalah tertentu.
4 Dia tidak sewajarnya bergantung selama-lamanya kepada bantuan rakan-rakan sekelasnya untuk mengenal pasti rakan-rakannya yang tidak hadir atau ponteng kelas.
5 Selain itu Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas juga seorang yang mengetahui dan mengenal pasti di mana kedudukan semua peralatan yang ada di dalam kelas seperti jumlah daun tingkap di dalam kelas, jumlah papan kenyataan, jumlah kerusi dan meja serta warna dan jenisnya dan murid mana yang memilikinya. Pendek kata semua butiran yang berkaitan sentiasa di hujung jari mereka dan boleh diperolehi dalam kadar segera apabila diperlukan.
6 Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas juga berupaya menimbulkan suasana ceria dalam kelas serta melakukan kejutan demi kejutan agar kelas sentiasa merasai sendiri getaran pembaharuan daripada kejutan itu, sentiasa segar serta tidak menjemukan.
Ucapan dan Sambutan Hari Lahir
7 Antara yang boleh dilakukan ialah melafazkan ucapan Selamat Hari Lahir kepada cikgu, dan rakan-rakan mereka. Sambutan hari lahir akan menjadi lebih bermakna dan bersejarah jika dilakukan secara mengejut dan spontan tanpa dirancang lebih awal.
8 Ada kelas yang mengambil inisiatif untuk menulis pada pinggan kertas atau kad manila akan nama penuh murid di dalam kelas mereka yang lengkap dengan tarikh lahir dan digantung di bahagian atas dinding dengan tujuan agar murid-murid di dalam kelas itu mengetahui hari lahir kawannya.
9 Namun berapa ramai yang benar-benar menyedari hari lahir kawan mereka dan mengucapkannya dan meraikannya pada hari lahir kawan mereka itu. Sekadar menampalkannya dan memberitahu dan mempamerkannya tidak memadai, tetapi kita harus meraikannya agar murid itu benar-benar rasa diraikan.
10 Cuba bayangkan apa perasaan guru subjek yang masuk ke kelas apabila anda bangun mengucapkan salam kepadanya dan selepas itu semua ahli kelas menyanyikan lagu Selamat Hari Lahir untuknya dan kemudian ketua kelas memberikan sekuntum bunga kepada guru kelas itu. Tentunya guru kelas itu akan merasai suatu kejutan yang membangkitkan kesan mendalam kepada dirinya.
Jangan Meremehkan Soal Bangun Dan Penghormatan Kepada Guru Yang Masuk Ke Kelas
11 Apabila seseorang guru masuk ke kelas, Ketua Kelas hendaklah orang yang pertama bangun dan meminta murid-murid yang lain bangun. Setelah semua murid berdiri tegak barulah dia mengucapkan salam kepada cikgu.
12 Amat tidak sopan jika Ketua Kelas terus sahaja mengucapkan salam atau terima kasih sedangkan masih ada murid yang belum berdiri tegak sepenuhnya. Sebab itu Ketua Kelas hendaklah memandang ke semua arah bagi memastikan semua kawannya telah berdiri sepenuhnya dan berada dalam keadaan diam sebelum mengucapkan salam atau terima kasih.
13 Masalah berdiri tegak dan memberi penghormatan sewaktu mengucapkan salam dan pada waktu guru ingin keluar dari kelas selalu diambil mudah oleh para guru yang masuk ke kelas tanpa mempedulikan sama ada murid telah melakukan penghormatan sepenuhnya kepada guru seolah-olah aspek yang satu ini menjadi satu aspek yang terasing daripada pembelajaran dan dianggap tidak begitu penting.
14 Sebenarnya disiplin murid dan kesiapsiagaan mereka untuk menerima pelajaran pada hari itu bermula daripada penghormatan yang mereka tunjukkan sewaktu guru masuk ke kelas. Ini juga sebahagian daripada proses pembelajaran di mana kita menanamkan nilai-nilai yang baik sejak dari permulaan sesi pembembelajaran lagi.
15 Jika seseorang guru itu mahu mengekalkan disiplin dalam tempoh 40 minit pengajarannya,guru yang berkenaan tidak boleh memandang remeh aspek penghormatan dan salam ini.Hendaklah diingat kejayaan P & P bermula dari peringkat ini lagi.
Cara Ucapan Salam Yang Betul
16 Bagi memastikan penghormatan sepenuhnya diberi kepada guru dan bagi tujuan murid lebih mengenali guru-guru mereka adalah wajar jika ucapan salam itu diakhiri dengan menyebut nama guru tersebut. Contohnya seperti menyebutkan Selamat Pagi cikgu Shanti, Good Morning Mr Wong, Salam sejahtera cikgu Kamal dan seumpamanya. Walaupun ini cara yang terbaik yang pernah disyorkan bagi mengenali guru-guru, namun hakikatnya masih ada kelas yang tidak mempraktiskannya.
17 Saya selalu bertembung dengan situasi di mana Ketua Kelas yang tidak begitu jelas tentang jumlah pelajar di dalam kelas mereka. Ada Ketua Kelas yang tidak boleh memberikan jawapan secara spontan akan jumlah terkini murid di dalam kelas mereka.
18 Mereka hanya mengagak tentang jumlah murid di dalam kelas mereka atau mengandaikan yang jumlah murid di dalam kelas mereka adalah sama dengan hari pertama persekolahan.
19 Hal yang demikian terjadi disebabkan mereka tidak pernah mengambil sedikit waktu untuk mengira sendiri bilangan murid di dalam kelas mereka atau disebabkan mereka tidak pernah mengetahui jumlah sebenar murid di kelas daripada guru kelas mereka.
20 Bagi mengelakkan kejadian ini daripada terjadi adalah perlu bagi Guru Kelas membekalkan beberapa helai senarai nama ahli kelas yang terkini kepada Ketua Kelas dan salah satunya mesti ditampalkan di papan kenyataan.
Do’a
21 Sebenarnya do’a sebelum memulakan pelajaran boleh sahaja dibacakan, tetapi tidak perlulah setiap kali guru masuk ke kelas dan berlakunya pertukaran subjek, kita akan membacakan do’a. Memadai dengan do’a yang dibaca sekali sewaktu memulakan period yang pertama.
22 Ini bukan bermaksud yang saya memperkecil do’a, sebaliknya saya hanya ingin memastikan jangan disebabkan kita mengejar yang sunat kita menjejaskan yang wajib. Belajar itu wajib sedangkan membacakan do’a itu sunat. Lagipun 35 minit atau 40 minit bukanlah suatu tempoh yang panjang setelah mengambil kira masa kita bergerak ke kelas dan pelbagai gangguan yang lain.
Bagi Menimbulkan Mood Belajar
23 Saya juga mencadangkan di sini agar ketua kelas memaklumkan kepada guru yang mengajar yang mereka sudah sedia untuk memulakan pelajaran. Ungkapan seperti ” Cikgu, kami sudah sedia untuk memulakan pelajaran. Dipersilakan cikgu” hendaklah dilafazkan oleh Ketua Kelas di hadapan guru sebelum murid duduk semula. Kaedah ini membolehkan guru-guru lebih bersemangat atau lebih bersedia untuk mengajar dan murid-murid pula akan menunjukkan komitmen yang tinggi untuk belajar.
Menempatkan Peralatan Kelas
24 Peralatan kelas peperti penyapu, penyodok dan bulu ayam sewajarnya diletakkan di tempat yang betul dan dalam kedudukan yang betul. Tentulah tidak wajar peralatan seperti penyapu dan penyodok diletakkan di hadapan kelas seperti di pintu masuk kelas. Sepatutnya alat-alat itu diletakkan di bahagian belakang kelas berhampiran pintu belakang.
25 Saya melihat ada kelas yang menggunakan plastik dan menggantungkannya di hadapan kelas berhampiran pintu masuk bagi menggantikan tong sampah yang tidak disediakan kerana polisi sekolah yang mengamalkan dasar kelas tanpa tong sampah. Ini semua akan mencacatkan pemandangan di dalam kelas itu, sekaligus melanggar polisi sekolah.
26 Dalam kedudukan menyandar, penyapu pula hendaklah diletakkan dalam kedudukan kakinya di bawah dan jeraminya di bahagian atas bagi mengelakkan penyapu itu daripada haus. Atau menggantungkannya pada dinding dengan kedudukan jerami menghala ke arah bawah dan tidak menyentuh lantai.
Hakcipta Abd Bashid Harun
PK HEM SMK KAMUNTING











No user commented in " Majlis Ketua Tingkatan (Siri 12) "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply