Kebersihan tandas di sekolah-sekolah wajar diberi penekanan. Kebersihan tandas patut dimasukkan dalam agenda utama program 3K di sekolah. Jika anda ingin melihat sama ada sikap mengutamakan kebersihan berbudaya di sesebuah sekolah lihat tandasnya. Jika tempat yang dianggap paling kotor itu paling bersih luar dan dalam, itu selalunya menggambarkan yang warga sekolah memang prihatin terhadap aspek kebersihan ini. Baru-baru ini SMK Simpang yang terletak kira-kira 7 km dari bandar Taiping, Perak melancarkan Hari Tandas. Ini tahun kedua sekolah ini melancarkan program seumpama ini. Pelancaran ini dilakukan sempena Pelancaran Hari Tandas Sedunia yang disambut pada setiap 18 Januari. Tetapi kali ini SMK Simpang tidak lagi menggunakan perkataan tandas, sebaliknya menggantikannya dengan bilik BMW. BMW ini tiada kaitan dengan jenama kereta mewah atau Bas Mini Wilayah. Sebaliknya BMW membawa maksud Bersih, Menawan dan Wangi. Nama BMW dirasakan lebih sesuai agar usaha untuk memastikan tandas sekolah sentiasa bersih, menawan dan wangi tidak dipandang remeh dan dimomokkan. Jawatankuasa Tandas, iaitu nama yang digunakan sebelum ini kadang-kadang memang diakui boleh mengurangkan motivasi untuk menjaga kebersihan tandas. Tetapi dengan panggilan baru untuk jawatankuasa ini, iaitu Jawatankuasa Bilik BMW secara automatik telah merangsang bukan sahaja AJK yang terlibat malahan setiap warga sekolah untuk lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan bilik istirehat ini. Bersih bermaksud tiada contengan, tiada goresan, tiada sampah, tiada sawang, tidak berhabuk/berdebu, tidak berbau busuk, sentiasa dinyahkuman, dan mengekalkan warna asal. Menawan pula bermaksud ceria, dihias dengan bunga , dipenuhi mutiara kata, gambar, taman mini (tumbuhan menghijau), dinding hijau berkonsepkan Tandas Dalam Taman. Sementara Wangi pula pula bermaksud tiada bau busuk, berbau wangi, pengguna berasa selesa menggunakan tandas. Selain itu Jawatankuasa BMW juga telah mengatur jadual penggunaan tandas supaya pelajar tidak mengambil kesempatan untuk keluar masuk tandas bila-bila masa yang mereka suka. Sebaliknya melalui penggunaan masa tetentu akan melatih pelajar sekolah untuk merancang masa mereka untuk membuang air. Pihak sekolah sentiasa mengingatkan pelajar bahawa tiada sesuatu pun yang tidak boleh dirancang dan dilatih, ini termasuklah jadual membuang air (sama ada air besar atau kecil). Inilah jam biologi atau jam hayat namanya dan jam jenis ini dikurniakan kepada semua orang, tetapi jarang-jarang yang menggunakannya. Jam ini hanya benar-benar berfungsi dan berguna jika setiap individu itu melalui kebiasaan yang diwujudkan berasaskan latihan dan ulangan. Sebagai contoh jika seseorang itu biasa ke tandas sebaik-baik sahaja bangun pagi, maka itulah yang akan dilakukannya sebelum melakukan kerja-kerja lain pada waktu itu. Usaha pihak sekolah ini diharapkan akan dapat meningkatkan kesedaran dan sikap warga sekolah tentang pentingnya memelihara kebersihan tandas dalam kehidupan seharian di samping memberi kesedaran kepada mereka agar peka serta melibatkan diri dalam membanteras perbuatan vandalisme di bilik BMW sekolah khasnya.












No user commented in " Kebersihan Tandas Sekolah "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply