DISIPLIN selalu disalah tafsir sebagai lawan kepada KAUNSELING. Begitulah sebaliknya. Sehubungan itu, guru disiplin selalu diberi stigma negatif sebagai seorang guru yang garang, tak pernah senyum, sentiasa memegang rotan dan tiada tolak ansur. Sebaliknya KAUNSELOR pula digambarkan sebagai seorang yang lebih positif: lemah lembut, mesra pelajar dan begitu bertolak ansur. Benarkah kaunseling berbeza dengan disiplin? Benarkah disiplin sentiasa versus kaunseling, begitu juga sebaliknya. Salah tafsir ini selalu menimbulkan hubungan yang kurang selesa antara guru disiplin dan kaunselor. Bagi guru disiplin, mereka menyangkakan kaunselor terlalu memanjakan pelajar sehingga pelajar naik lemak. Bagi guru disiplin, pelajar perlu dihukum supaya mereka serik dan berasa takut. Kaunseling seolah-olah satu pendekatan memberi muka yang terlampau banyak kepada seseorang pelajar. Mereka tak kan berubah, kata guru disiplin. Sebaliknya kaunselor pula selalu melihat cara yang dilakukan oleh guru disiplin itu tidak manusiawi, terlampau keras bagi remaja yang sedang membesar dan boleh menyebabkan pelajar yang selalunya menghadapi masalah di rumah akan bertambah parah. Pada saya kedua-dua disiplin dan kaunseling diperlukan di sesebuah sekolah. Kaunseling dan disiplin adalah umpama sekeping duit syiling yang mempunyai tiga permukaan. Permukaan disiplin, permukaan kaunseling dan permukaan yang ketiga yang sungguhpun kecil tetapi penting iaitu kesamaan dan darjah tolak ansur antara kedua-duanya. Guru kaunseling dan guru disiplin wajar memperkukuh hubungah antara mereka, lebih kerap berbincang semeja demi kebaikan anak-anak mereka. Kaunseling dan disiplin saling memerlukan dalam memastikan peraturan sekolah dipatuhi dan sekolah berada dalam keadaan tenang dan selamat untuk belajar. Tindakan yang diambil oleh guru disiplin bukanlah lebih betul daripada tindakan yang diambil oleh guru kaunseling. Begitu juga tindakan guru kaunseling bukanlah lebih lemah daripada tindakan guru disiplin. Bukanlah yang keras itu semua disiplin dan yang lembut itu semuanya kaunseling. Pada saya kaunseling atau disiplin kedua-duanya boleh mengambil kedua-dua jenis jalan ini sama ada keras atau lembut. Jika pelajar boleh berubah dengan hanya nasihat, guru disiplin mungkin boleh menasihatinya sahaja, bukannya menyerahkan tugas menasihat itu kepada guru kaunseling. Begitu juga kalau pelajar itu telah dikenal pasti hanya akan berubah dengan marah dan dendaan, maka guru kaunseling pun tidak salah untuk melakukannya. Tak perlulah serahkan kepada guru disiplin untuk memarahi atau mendenda mereka. Yang penting pelajar harus didorong untuk melaksanakan perubahan ke arah kebaikan diri mereka sendiri.












4 users commented in " Kaunseling versus Disiplin: Betulkah? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackSaya amat bersyukur kerana pernah dirotan oleh para guru…
Nice!
Nice
Interesting…
Leave A Reply