Ramai ibu bapa yang mengajukan soalan kepada saya tentang bayaran tambahan yang menggantikan bayaran yuran seperti sebelumnya.  Pertama saya beritahu mereka jangan beri apa-apa bayaran sebelum pihak sekolah menerima kelulusan pakej yang dipohon. Sekolah seperti yang diarahkan telah diberi pilihan sama ada memilih Pakej A, B atau C. Sekolah saya sendiri memilih bayaran Pakej B, iaitu dalam kumpulan sederhana yang berjumlah RM44.50. Ada ibu bapa yang hendak membuat pembayaran pada hari pertama persekolahan, tetapi saya dan pengetua memutuskan untuk tidak menerima sebarang bayaran   sebagai langkah selamat sebelum surat hitam putih kelulusan kami terima daripada Kementerian Pelajaran. Ada guru yang tidak sukakan cara ini kerana menurut mereka adalah lebih baik terima sahaja dahulu bayaran tersebut kerana nanti amat sukar untuk menerima bayaran jika ditangguhkan. Penjelasan guru saya itu pun ada kebenarannya kerana tindakan itu dilihat memudahkan tugas mereka. Tetapi pentadbir melihat dari sudut yang berbeza, iaitu dari aspek perundangan dan implikasinya selepas itu. Bayaran tambahan sebenarnya boleh dibayar pada bila-bila masa untuk sepanjang tahun persekolahan 2008.  Bayaran itu juga boleh diansurkan mengikut kemampuan ibu bapa  atau membayar untuk seorang anak  dahulu jika mereka mempunyai beberapa orang anak di sekolah yang sama.Dan jika masih ada pelajar yang tidak mampu membuat pembayaran, satu surat berkaitan ketidakmampuan mereka hendaklah diajukan kepada pengetua supaya pengetua boleh merayu kepada PIBG agar membantu menjelaskan semua pembayaran itu. Jadi dalam hal ini kaedah membuat pembayaran bagi bayaran tambahan dikatakan lebih longgar berbanding dengan yuran. Atas perkiraan itu, guru-guru kelas tidak perlulah risau tentang ada pelajar yang tidak akan membuat bayaran tersebut atau melengah-lengahkannya kerana semua perkara itu memang dijangkakan oleh kementerian pelajaran dan sekolah. Tetapi penerangan yang sejelas-jelasnya perlulah diberitahu kepada ibu bapa dan di sinilah hubungan baik dengan ibu bapa yang diwakili oleh PIBG sangat ditekankan.