SAUDARA Taqeyyabella bertanya kepada saya tentang pengalaman berhadapan dengan ibu bapa yang membela anak-anak mereka walaupun anak mereka jelas bersalah. Ibu bapa mana yang tidak sayangkan anak-anak. Saya guru, tetapi saya juga punya tiga anak yang masih bersekolah. Kebanyakan ibu bapa dapat menerima hakikat bahawa anak mereka dihukum kerana bersalah. Kumpulan ini memberi kepercayaan sepenuhnya kepada guru. Ini menggambarkan masih ramai ibu bapa yang percayakan pihak sekolah dan tindakan yang diambil untuk membentuk akhlak anak-anak mereka. Kalau ada ibu bapa yang tidak berpuas hati terhadap tindakan yang diambil ke atas anak mereka, bukanlah disebabkan mereka membela anak mereka, tetapi kerana maklumat sebenar tidak sampai ke pengetahuan mereka. Kalau sampai pun tidak sama dengan peristiwa sebenar. Mereka hanya mendapat maklumat itu daripada anak mereka per se. Atau mendengar cerita daripada kawan kepada anak mereka. Sebab itu jika ada ibu bapa yang sanggup datang ke sekolah walau apa pun gaya mereka datang, saya sudah cukup bersyukur. Sekurang-kurangnya itu menunjukkan mereka ada rasa tanggungjawab dan masih ingin berhubung dengan pihak sekolah. Banyak perkara boleh diselesaikan apabila ada hubungan sua muka begini. Biasanya jika ada ibu bapa yang datang marah-marah, saya biarkan dia bercakap dahulu. Biarkan dia marah dahulu. Dia marah kerana dia tidak tahu cerita yang sebenar. Selepas semua kemarahan habis dilampiaskan, barulah saya memulakan cerita.Biasanya saya akan ucapkan terima kasih kepada mereka kerana sudi datang ke sekolah dan menemui guru. “Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa”, jelas saya. Biasanya ibu bapa ini akan menerima hakikat selepas mereka mendengar cerita sebenar tentang anak mereka.