1 Sudah dua hari saya berada di Ipoh. Dalam situasi saya sekarang, berada agak jauh di luar kawasan sekolah untuk tempoh yang agak panjang atas suatu tugasan rasmi, bukanlah begitu mententeramkan hati saya.
2 Saya masih baru di sekolah saya sekarang. Segala-galanya baru di peringkat permulaan; banyak yang perlu diambil tahu dan diberi sentuhan sedangkan sebahagiannya masih belum jelas pada penglihatan saya.
3 Sebab itu sebaik-baik sahaja pihak penganjur menelefon saya untuk mengundang saya sebagai peserta, saya dengan penuh sopan memohon jasa baik mereka untuk maklumkan terlebih dahulu kepada Pengetua saya dan jika beliau membenarkannya baru saya akan hadir. Nampaknya pengetua tidak keberatan untuk melepaskan saya pergi apabila surat yang difaxkan kepada beliau diminitkan atas nama saya.
4 Saya tidak perlu tergesa-gesa untuk ke Ipoh. Oleh kerana pendaftaran bermula jam 2.00 petang, saya perlu berada di sekolah sekurang-kurangnya hingga jam 11.30 pagi. Saya sempat menyertai perhimpunan rasmi dan menyampaikan nasihat kepada pelajar-pelajar atas bidang kuasa saya sebagai PK HEM.
5 Saya turut melihat pengawas-pengawas yang bertugas mengendalikan perhimpunan rasmi sekolah menjalankan tugas mereka. Saya mahu lihat sejauh manakah mereka memahami arahan dan panduan yang saya taklimatkan pada hari Jumaat yang lalu.
6 Saya mahu melihat perhimpunan rasmi hari itu berjalan dengan lancar dari aspek perbarisan pelajar, menaikkan bendera, menyanyikan tiga buah lagu, berdoa sehinggalah kepada cara-cara pengawas memberi arahan, mengacarakan majlis dan menutup majlis.
7 Walaupun masih ada yang perlu diperbaiki, namun saya berpuas hati dengan perhimpunan hari itu. Saya yakin dengan bantuan guru-guru terutama Ketua Guru Pengawas yang proaktif, guru-guru yang prihatin dan barisan pengawas yang begitu ghairah mahukan yang terbaik, insya-Allah perhimpunan rasmi akan menjadi lebih bermakna dan diberi nilai tambah dari semasa ke semasa.
8 Saya tidak mahu perhimpunan rasmi hanya sekadar memenuhi jadual dan dilaksanakan ala kadar sahaja. Saya dambakan perhimpunan rasmi yang diberi sentuhan terbaik agar menjadi permulaan yang ceria untuk mendorong semua pelajar agar mereka sentiasa berada pada tahap semangat yang tinggi untuk mengikuti pembelajaran mereka sepanjang hari itu dan hari-hari seterusnya.
9 Saya tidak akan berkompromi dengan pelajar yang mengabaikan rasa hormat dan kepatuhan kepada arahan pengawas, penghormatan yang tinggi kepada simbol-simbol negara seperti Jalur Gemilang dan Lagu Negaraku, begitu juga dalam aspek kekemasan diri dan ketepatan masa semasa perhimpunan sepenting itu.
10 Dalam meningkatkan mutu disiplin dan memastikan peraturan sekolah dikuatkuasakan saya mesti dibantu oleh guru-guru dan pengawas-pengawas.Saya tidak akan mampu melakukannya seorang diri. Kendati pun saya ditakdirkan mampu melakukannya, itu sebenarnya bukanlah cara gaya kepemimpinan yang baik dan berkesan seperti yang pernah saya pelajari.
11 Organisasi berfokuskan manusiawi seperti sekolah tidak akan mempelajari apa-apa jika hanya ada seorang dua ahli di dalamnya yang berkejar ke sana ke mari dan melaksanakan tugas sampai terkulai. Tetapi lebih ramai individu yang diajak untuk bersama-sama melakukan sesuatu yang berfaedah buat organisasi, maka itulah bentuk sebuah organisasi pembelajaran yang sepatutnya dan yang akan menuju kemantapan.
12 Kita tidak mahu kejayaan sekolah dikaitkan dengan individu-individu tertentu sahaja, seolah-olah tanpa mereka sekolah akan ditimpa nasib malang. Begitu juga masalah yang sekolah hadapi tidak patut dirasai oleh individu tertentu sahaja.
13 Sebaliknya semua warga sekolah patut berperanan menurut kemampuan dan fungsi masing-masing serta bersama-sama merasai “getaran jiwa sekolah” dan setiap denyut nadinya sama ada dalam suka mahupun duka.
14 Saya percaya kepada anda, jadi anda perlu percaya kepada diri sendiri. Jika bukan kita yang melakukannya untuk organisasi kita, siapa lagi yang kita harapkan. Kita ada tenaga yang besar; 143 guru dan 1741 pelajar. Inilah aset besar yang ada pada kita yang perlu kita manfaatkan semaksimum yang mungkin pada tahap yang optimum.
GuruBashid
















No user commented in " Apa Makna Di Sebalik Perhimpunan Rasmi "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply