Bagi Malaysia keadilan ialah meletakkan sesuatu di tempatnya.Bagi Barat pula keadilan ialah apabila semua orang mendapat hak yang sama. Tetapi jika kita memberikan hak sama rata kepada semua kaum, jurang akan semakin luas dan orang Melayu akan tetap miskin dan ketinggalan.Ini tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya prejudis perkauman akan terus berlaku dan Mei kedua kemungkinan tercetus.

Sama ada orang Melayu akan terus dibantu atau dibiarkan bersaing secara terbuka dengan kaum-kaum lain di negara ini adalah bergantung kepada kewujudan garisan permulaan yang sama. Jika tempat bermulanya persaingan terletak di garisan permulaan yang sama, persaingan bolehlah dimulakan kerana di situlah baru wujud keadilan. Tetapi garisan permulaan itu masih belum sama untuk kita menghapuskan semua perhatian kita kepada golongan bumiputera dan membiarkan mereka bersaing secara terbuka.

Setelah lebih tiga dekad berlangsungnya DEB, kini muncul syarikat gergasi milik Bumiputera. Telah muncul billionaire dan millionaire di kalangan bumiputera. Kalau dahulu Kuala Lumpur dimonopoli oleh syarikat-syarikat Cina, sekarang di Kuala lumpur juga sudah ramai usahawan Melayu yang memiliki gedung-gedung perniagaan dan bank-bank dan ada sebahagian daripada mereka memiliki pesawat peribadi.

Ini merupakan satu pencapaian yang tidak pernah kita fikirkan semasa kita baru merdeka. Sekarang terbuktilah bahawa orang Melayu bukanlah tidak pandai berniaga, cuma mereka tidak diberi peluang dan pendedahan yang secukupnya. Jika mereka diberi peluang dan bantuan, mereka pun boleh maju seperti orang lain juga.

Tetapi pada masa yang sama orang-orang Melayu tidak boleh dibiarkan terlalu manja sehingga semua perkara harus bergantung kepada kerajaan. Orang-orang Melayu tidak boleh menggunakan hak-hak istimewa yang ada pada mereka yang termaktub dalam perlembagaan sehingga memakan diri sendiri dan melemahkan kedudukan mereka sendiri dalam jangka masa yang panjang. Orang-orang Melayu tidak boleh dibiarkan berpura-pura berasa selamat sedangkan mereka sebenarnya masih belum selamat. Ini adalah rasa selamat yang palsu yang selama ini menghantui orang-orang Melayu.

Sebabnya mudah semasa orang Melayu berasa selamat akan ada orang lain yang tidak berasa selamat. Orang yang berasa selamat akan mewujudkan zon selesa dalam diri mereka, sedangkan orang yang berasa tidak selamat akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan mereka tidak disisihkan atau terhindar daripada sebarang bentuk kemajuan. Sebab itu dalam keadaan sekarang lebih baiklah orang-orang Melayu berasa tidak selamat daripada dibuai mimpi indah dan tenggelam dalam dunia subsidi, hak keistimewaan orang-orang Melayu, perlembagaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Hakcipta Abd Bashid Harun

Dipetik daripada Koleksi Artikel GuruBashid