RENCANA ini telah lama saya tulis yang dimuatkan dalam e-book saya. Saya sengaja menuliskannya semula di sini untuk renungan semua pihak setelah meningkatnya kebimbangan umat Melayu tentang nasib dan masa depan mereka yang semakin terhakis, bukan sahaja dalam bidang ekonomi malahan yang terbaru dalam bidang politik.
Cadangan Ketua Menteri P.Pinang untuk menghapuskan DEB di negeri itu, komposisi wakil rakyat yang tidak seimbang dalam kerajaan Negeri Perak, penghapusan sistem tender secara rundingan terus dengan kontraktor bumiputera di Selangor dan beberapa tindakan popular PAS untuk memenangi hati bukan Melayu dilihat menambah kecurigaan umat Melayu akan nasib yang bakal menimpa mereka di bawah Barisan Alternatif.
Semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan sehinggalah sekarang, Malaysia memberikan tumpuan dalam bidang ekonomi. Pemimpin Malaysia percaya bahawa kestabilan ekonomi akan menjamin kestabilan politik. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, para pemimpin negara melihat bumiputera, termasuk orang Melayu sebagai golongan yang mesti dibantu kerana mereka tidak mempunyai apa-apa bagi membolehkan mereka berdikari.
Keadaan ini terjadi adalah angkara British. Sepanjang British memerintah Tanah Melayu, tidak nampak tanda-tanda yang British ingin memajukan Bumiputera khususnya orang Melayu. Orang Melayu cuba dikekalkan dalam kepompongnya-tinggal di luar bandar, bekerja di sawah padi,dan mengusahakan pertanian secara sara diri.
Anak-anak Melayu diberikan pendidikan, tetapi mereka hanya diprogramkan menjadi petani yang lebih baik sedikit daripada bapa-bapa mereka.
Bagi British, kepentingan mereka lebih utama daripada segala-galanya. Penjajah British telah lama menyisihkankaum bumiputera, terutamanya dalam bidang ekonomi dan pelajaran.Orang-orang Melayu dianggap tidak pandai berniaga dan dikatakan tidak tahan menghadapi persaingan. Justeru orang Melayu tidak dibenarkan menanam tanaman komersil seperti getah di atas tanah milik mereka sendiri.
Konon-kononnya orang putih bimbang kalau-kalau orang Melayu mengalami kerugian jika berlaku kejatuhan harga komoditi tersebut. Orang-orang Melayu yang mengalami kerugian tadi kemungkinan akan melampiaskan kemarahan dan rasa tidak puas hati mereka kepada pemerintah.
Orang Melayu turut dituduh tidak pandai mengurus tanah, sebab itu digazetkan Akta Tanah Simpanan Melayu. Menurut Akta ini orang-orang Melayu diberikan tanah khas untuk mereka yang dikenali sebagai Tanah Simpanan Melayu. Ia cuba digambarkan sebagai satu keistimewaan yang hanya dikhususkan kepada orang Melayu.
Tetapi apa yang diangkat sebagai keistimewaan kepada orang Melayu ini merupakan satu penipuan halus British kerana ia menggambarkan bahawa hanya itulah tanah milik orang Melayu, sedangkan tanah-tanah lain yang ada di Tanah Melayu bukan milik orang Melayu. Bunyinya sungguh aneh, tetapi itulah yang yang telah dilakukan oleh British terhadap kita.
Orang-orang Melayu tidak ubah seperti orang-orang Red Indian di Amerika Syarikat, tidak berkuasa ke atas tanah mereka sendiri. Sudahlah begitu,sampai apa yang patut ditanam dan tidak patut ditanam pun ditentukan oleh orang putih. Mereka mengatur segala-galanya untuk kita.
Ketika orang Melayu dikekalkan dalam sektor ekonomi sara diri dengan mengamalkan cara pertanian tradisional, orang Cina pula tertumpu di kawasan bandar dengan penglibatan mereka dalam sektor perlombongan dan perniagaan. Dan orang India pula ditempatkan di estet-estet getah.Dengan teknik pecah dan perintah ( devide and rule ) seperti inilah penjajah berjaya mengukuhkan penguasaan mereka ke atas Tanah Melayu. Ladang-ladang mereka seperti Guthrie, Harrisons and Crossfield, Dunlop dan lain-lain terus berkembang dan mengaut keuntungan tanpa ada saingan.
Keadaan seperti ini terus kekal sehinggalah negara mencapai kemerdekaan dan teraju kepimpinan dipegang oleh orang-orang Melayu yang ditunjangi oleh UMNO. Mulai saat itu, sedikit demi sedikit usaha-usaha dibuat untuk membantu orang Melayu. Antara usaha yang terbesar ialah penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum, menyusun semula masyarakat dan merapatkan jurang antara kaum.
Di bawah DEB golongan Bumiputera yang kebetulan lebih ramai miskin dan ketinggalan diberikan keutamaan dalam setiap program yang diadakan agar ia dapat menyamai kalau pun tidak lebih tinggi daripada bangsa-bangsa lain di negara ini. Dari situlah wujudnya sistem kuota, subsidi, bantuan dan biasiswa yang diberikan kepada orang Melayu yang tidak pernah diterima sebagai adil oleh Barat.
Hak-hak keistimewaan Orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan digunakan sebaik-baiknya tanpa mengabaikan kepentingan kaum-kaum yang lain. Meskipun keistimewaan dan bantuan ini semacam sinis kepada orang Melayu, namun tidak dapat dinafikan bahawa sebab-sebabinilah orang-orang Melayu sekarang menikmati kehidupan sebenar di buminya sendiri.
Usaha-usaha untuk membantu kaum pribumi yang ketingggalan dalam serba serbi, di tengah-tengah dua kaum yang agak besar juga di negara ini bukanlah satu kerja yang mudah. Tindakan-tindakan kerajaanakan sentiasa dihakimi oleh setiap kaum yang menjadi warganegara di bumi Malaysia. Ia harus dilakukan dengan penuh bijaksana, beralaskan sandaran yang cukup kuat dan cukup berhati-hati umpama menarik rambut dari tepung, rambut tak putus dan tepung tak tumpah. Besar atau kecil usaha-usaha ini tetap besar risikonya kerana ia terdedah kepada pelbagai tafsiran seperti ketidakadilan, pilih kasih dan diskriminasi.
Tetapi belajar daripada peristiwa 13 MEI 1969, dan kewujudan pakatan agung Barisan Nasional, usaha-usaha kerajaan untuk membantu kaum pribumi difahami dan tidak cuba dihalang oleh kaum-kaum yang lain. Sementara kaum pribumi dibantu,kaum-kaum yang lain diberikan kebebasan untuk menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing dan menerima hak-hak yang sepatutnya sebagai rakyat Malaysia. Hakcipta Abd Bashid Harun

















No user commented in " Formula Malaysia Membangunkan Ekonomi "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply