1 Tidak salah jika Kementerian Pelajaran mahu mewajibkan subjek Bahasa Mandarin (Bahasa Cina) dan Bahasa Tamil kepada semua murid apabila kerajaan mewajibkan pengajaran kedua-kedua bahasa ibunda itu di semua sekolah kebangsaan. Wajib di sini boleh sahaja difahami yang setiap murid mesti mempelajari salah satu atau kedua-dua bahasa ibunda itu, tetapi bukan wajib menduduki peperiksaan mahupun untuk lulus.
2 Dikatakan kita belum ada ruang yang mencukupi dan masa yang sesuai untuk melaksanakan sekolah satu aliran atau sekolah satu sistem di bawah gagasan 1Malaysia, maka mewajibkan setiap murid mempelajari salah satu atau kedua-dua subjek itu adalah satu alternatif lain yang dilihat amat wajar.
3 Paling kurang setiap murid sudah tahu untuk bertutur dan memahami bahasa pertuturan paling asas untuk kedua-dua bahasa itu selepas mereka menamatkan pengajian mereka di sekolah rendah. Ini memudahkan rakyat Malaysia berinteraksi secara lebih mesra dan ramah.
4 Sejak negara kita bertukar corak daripada negara yang berpenduduk Melayu kepada negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang terhasil daripada dasar sosio-ekonomi British kita tidak pernah memanfaatkan kewujudan pelbagai bangsa di negara kita secara optimum seperti menambahkan penguasaan bahasa kita dengan mempelajari bahasa-bahasa ibunda kedua-dua kaum ini.
5 Kalau selama ini kita memperaku bahawa Bahasa Inggeris itu penting untuk mengetengahkan diri kita serta negara kita ke dunia antarabangsa, tetapi kita juga harus memperaku bahawa bahasa Cina atau Bahasa Tamil turut penting dalam memperkukuhkan semangat setiakawan dan perpaduan sesama rakyat Malaysia.
6 Saya percaya apabila rakyat Malaysia boleh bertutur dalam bahasa ibunda kaum-kaum lain suasana hubungan antara kaum akan jauh lebih baik daripada yang kita dapat saksikan pada hari ini. Malahan corak hubungan antara mereka akan menjadi lebih meriah, di samping menghilangkan syak wasangka dan prejudis yang bukan-bukan kepada sesuatu kaum, dan menambahkan keyakinan dalam perhubungan serta persahabatan.
7 Tentunya suatu kerugian jika bahasa yang ada di sekeliling kita yang wujud daripada kawan-kawan senegara kita sendiri tidak dimanfaatkan sebegitu rupa walhal kita telah merdeka lebih 50 tahun. Sepatutnya dalam umur negara yang begitu, setiap daripada kita tidak kekok lagi bertutur dalam pelbagai bahasa ibunda ini. Namun kehadiran bangsa-bangsa yang pelbagai di negara kita seolah-olah dianggap sepi dan tidak pernah dimanfaatkan secara serius sejak dahulu.
8 Sejak kita merdeka, kita terlampau memberi tumpuan kepada manfaat ekonomi daripada kaum-kaum Cina dan India, maka sudah sewajarnya kita meluaskan skop manfaat itu kepada bidang sosio-budaya termasuk aspek bahasa.
9 Apabila Tuhan berfirman yang bermaksud ” dan Kami jadikan kamu berpuak-puak dan berbangsa-bangsa untuk kamu saling kenal mengenali antara satu sama lain ” tentunya salah satu aspek yang boleh dilakukan ialah dengan mempelajari bahasa mereka. Dengan mengetahui dan memahami bahasa mereka barulah kita lebih mengenali setiap bangsa itu.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Tidak Salah Jika Kerajaan Mahu Mewajibkan Bahasa Cina Dan Bahasa Tamil "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply