Apabila kerajaan membina sesuatu kemudahan kerajaan tidak sekadar melihat saiz dan sejumlah wang yang digunakan, tetapi kerajaan melihat lebih daripada itu. Bagi yang melihat saiz atau wang yang digunakan, mereka akan mudah terperangkap dengan taktik pihak tertentu yang menuduh bangunan dan kemudahan itu terlampau mewah atau terlampau besar. Mereka pun mendakwa bahawa kerajaan telah melakukan pembaziran.

Golongan yang setiasa memandang rendah usaha-usaha kerajaan ini selalunya melihat sesuatu berdasarkan keperluan sekarang, sedangkan kerajaan melihat bangunan/kemudahan yang dibina itu untuk keperluan akan datang. Kerajaan sanggup mendahului zaman dan mengorbankan kepentingan jangka pendek setelah menyedari keuntungan jangka panjang yang bakal diperoleh.

Kita tidak mahu hari ini kita bangunkan sesuatu bangunan tetapi beberapa tahun lagi kita terpaksa membina bangunan yang lebih besar kerana bangunan yang sedia ada menjadi semakin kecil dan sudah tidak mampu menampung kapasiti yang semakin bertambah. Jika ini yang berlaku, inilah pembaziran yang sebenar.

Sebagai contoh sewaktu lapangan terbang subang dirancang, kita menganggarkan penumpang seramai 400 ribu setahun. Tetapi selepas 33 tahun dibina, ia terpaksa menampung 16 juta penumpang setahun. Ini merupakan pertambahan sebanyak 4000% daripada jangkaan.

Pertumbuhan yang begini pesat bermakna kita tidak boleh membuat persediaan untuk 30 hingga 40 tahun sahaja. Sekurang-kurangnya kita terpaksa membangunkan kemudahan lapangan terbang untuk tempoh 100 tahun akan datang. Itulah sebabnya kita bangunkan lapangan terbang Sepang yang mampu menampung penumpang sehingga 10 kali ganda daripada yang ada sekarang.

KLIA adalah sebuah lapangan terbang bertaraf dunia, yang tercantik tetapi termurah berbanding dengan lapangan terbang setaraf dengannya. Ia merupakan satu-satunya lapangan terbang di dunia yang berkonsepkan lapangan terbang dalam hutan dan hutan di dalam lapangan terbang.

Tidak salah kita membina yang terkecil, tetapi biarlah setelah kita membina yang terbesar sebab biasanya yang terkecil hanya layak dikotak kacakan dan dijadikan bahan cenderamata untuk dibawa pulang. Atau disimpan sebagai bahan pameran yang bersejarah. Benda-benda terkecil yang dibawa pulang oleh para pelancong sebagai cendera mata akan menjadi lebih bermakna dan dikenang selalu, kerana benda itu memang wujud dalam erti kata yang sebenar. Hakcipta Abd Bashid Harun