1. SAYA memang mengagumi Dr Ali Shariati, bukan sahaja dirinya, tetapi juga perjuangan, pemikiran dan penulisannya.
2. Dalam hayatnya beliau banyak menghasilkan penulisan yang mengajak orang berfikir. Antara buah fikirannya yang terkenal ialah Man and Islam, Fatima dan The Hajj (Haji).
3. Dalam bukunya The Hajj beliau menganalisis setiap perlakuan dalam ibadat Haji dengan begitu halus dan menarik. Beliau memperincikan rukun Haji seperti tawaf di baitullah, sa’ie, wukuf dan melontar ketiga-tiga jamrah dengan cara yang tersirat sejajar dengan pemahaman beliau bahawa ibadat Haji adalah ibadat yang penuh dengan perlambangan.
4. Bagi beliau jika tujuan di sebalik kefarduan ibadat Haji dapat difahami dan dihayati dalam kehidupan seharian, umat Islam akan semakin kuat dan maju dan tidak gentar dalam menempuh apa jua halangan dan cabaran.
5. Yang paling menarik adalah kupasan beliau tentang ibadat Qurban. Bagi beliau perintah Allah kepada Nabi Allah Ibrahim supaya menyembelih anaknya sendiri adalah perintah yang mencabar nafsu, emosi dan akal manusia.
6. Ujian ini amat berat bagi Ibrahim kerana Ismail adalah puteranya (dengan isterinya Hajar)yang paling disayangi setelah dia mendambakan seorang anak daripada perkahwinannya dengan Sara.
7. Ujian ini dihadapkan kepada Ibrahim, selaku simbol seorang ayah yang paling menyayangi anaknya. Ibrahim dalam bahasa Ibrani bermaksud “bapa yang penyayang”, iaitu gabungan dua kata iaitu ”abun” dan “rahim”.
8. Di sini seolah-olah umat manusia diajar untuk berkorban sesuatu yang paling disayangi dan paling diperlukan dalam kehidupan ini. Jika kamu ingin berkorban, korbankah yang yang paling berharga.
9. Di dalam buku tersebut asy-Syahid Dr Ali Shariati meninggalkan satu soalan kepada pembaca dengan ayat siapakah atau apakah Ismail kamu yang perlu dikorbankan ke arah kehidupan yang lebih baik.
10. Ya, jika Ismail Ibrahim ialah anak atau putera kesayangannya sendiri, siapakah atau apakah Ismail kita yang perlu kita korbankan?
11. Setiap orang ada Ismailnya. Jika Ismail Ibrahim adalah anaknya sendiri, Ismail kita mungkin terdiri daripada individu-individu yang paling kita sayangi dalam hidup ini. Ia mungkin terdiri daripada ibu, bapa, anak-anak kita, isteri atau suami yang tercinta. Mereka ini merupakan insan yang paling rapat dengan kita yang paling kita dambakan dalam kehdupan kita.
12. Kita terpaksa mengorbankan mereka ini jika kita ingin berjaya. Umpamanya kita terpaksa berpisah dengan mereka kerana menyahut seruan negara; menuntut ilmu; berjuang mempertahankan tanah air; melaksanakan misi dakwah; melakukan tugas-tugas amal; dan sebagainya.
13. Ismail itu mungkin juga sesuatu yang paling kita sayangi seperti binatang peliharaan kita, katil kita, kamar tidur, tilam, masa rehat, masa menonton dan perkara-perkara yang sudah sebati menjadi tabiat kepada kita.
14. Tentu amat sulit untuk kita mengorbankan (meninggalkan) sesuatu yang selama ini kita puja, kita sayangi dan telah sebati dalam diri kita.
15. Bukan mudah untuk kita membuang tabiat buruk yang telah menjadikan kita selesa dengannya. Kesanggupan kita meninggalkan semua itu memungkinkan kita keluar daripada kepompong, lalu menggunakan teropong yang lebih jelas dan berada di dunia yang lebih realisitik. Kita bukan lagi berada dalam dunia yang kita cipta sendiri yang kita rasa baik, tetapi telah mengorbankan masa depan kita.
16. Ismail kita juga mungkin berupa kebiasaan buruk kita yang selama ini menyebabkan hubungan kita dengan orang lain menjadi renggang; perpaduan semakin rapuh; meluaskan sumber fitnah; dengki mendengki sesama manusia; dan sebagainya.
17. Kebiasaan buruk itu tidak lagi dilihat buruk apabila hampir semua orang dalam parti atau kumpulan kita mengamalkannya. Kebiasaan buruk yang saya maksudkan ini antaranya seperti sikap batu api, membuat tuduhan atau fitnah, merekayasa cerita yang tidak tepat tentang seseorang, mengumpat, bercakap kasar, memaki hamun dan mengata mengikut sedap mulut. Saya berpendapat Ismail seperti itu perlu kita korbankan jika wujud dalam parti atau kumpulan kita.
Hakcipta Abd Bashid Harun












1 user commented in " Siapakah Ismail Kita? "
Follow-up comment rss or Leave a Trackback[…] Baca juga artikel saya SIAPAKAH ISMAIL KITA yang diposkan di blog ini pada 22 Disember 2007 […]
Leave A Reply