1 Meskipun berlaku peningkatan sokongan sehingga 25% dalam kalangan pengundi kaum Cina di Batu Sapi kepada Barisan Nasional (BN) setakat jam 2.00 petang tadi, namun suatu hal yang perlu dibimbangi ialah taktik dan strategi kempen ala-DAP yang digunakan oleh Yock Tee Lee untuk meraih undi.

2 DAP seperti yang diketahui umum tidak meletakkan calonnya untuk bertanding dalam PRK di Batu Sapi. Namun slogan “Sabah untuk orang Sabah” yang cuba diketengahkan oleh Presiden Parti Maju Sabah dalam kempen-kempennya jelas memberi gambaran bahawa beliau lebih mirip kepada perjuangan DAP yang pernah mengemukakan slogan yang hampir sama, “Malaysian Malaysia”.

3 Mesej slogan yang cuba dibawa oleh Teck Lee tersebut mungkin dianggap melampau oleh para pengundi bumiputera dan orang Melayu, namun amat mudah difahami dan mesra di telinga pengundi Cina terutama di kawasan bandar yang mempunyai pertalian persahabatan dan keluarga dengan penduduk Cina bandar di Sarawak dan Semenanjung yang lebih cenderung untuk menyokong DAP.

4 Sekalipun perkara tersebut telah dijawab dengan begitu baik oleh Ketua Menteri Sabah,Datuk Seri Musa Aman namun jika bahan kempen seperti itu masih terus digunakan ia boleh sahaja bertukar menjadi api sentimen membenci kaum-kaum lain di luar Sabah yang sekaligus boleh dtafsirkan satu percubaan membenci kerajaan Persekutuan.

5 Kenyataan Sabah untuk orang Sabah tidak boleh dilihat sebagai cara kempen untuk meraih sokongan semata-mata tetapi lebih jauh daripada itu ialah kaitannya dengan peruntukan dalam perlembagaan persekutuan dan persetujuan rakyat Sabah ketika menerima kemasukannya dalam Persekutuan Malaysia.

6 Jika DAP di Semenanjung Malaysia menggunakan slogan Malaysia Malaysian yang dilihat oleh sesetengah orang masih dalam kerangka Malaysia, namun slogan Sabah For Sabahan jauh keterlaluan dan terkeluar daripada semangat persekutuan yang telah pun dipersetujui bersama.

7 Ia seolah-olah satu pengikaran kepada semangat persekutuan dalam Malaysia sebagaimana yang termuat dalam Tuntutan 20 Perkara (20 Points) yang diminta oleh orang Sabah sebagai syarat untuk menerima Malaysia yang akhirnya diserap masuk dalam perlembagaan persekutuan dan dipersetujui bersama.

8 Soalnya, adakah slogan yang ‘dikeluarkan dengan maksud’ oleh Yong Teck Lee itu mahu dianggap sebagai bahan kempen per se atau menjadi suatu pernyataan yang berunsur sentimen dan hasutan membenci Semenanjung, atau menolak kaum-kaum lain yang bukan orang Sabah atau ingin membawa Sabah keluar daripada Persekutuan Malaysia.

9 Jika itu tafsirannya apa yang diungkapkan oleh Yock Teck Lee sebagai bahan kempen itu amat berbahaya dan sekaligus memberi gambaran jelas yang beliau sedang bermain api. Maka pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pilihan Raya harus meneliti kenyataan Yock Teck Lee itu dari sudut perundangan.

10 Bagi pengundi yang sentiasa mendokong semangat integrasi antara wilayah; menjunjung keluhuran perlembagaan persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara; serta bersetia sehidup semati dalam Persekutuan Malaysia yang semuanya telah dipadatkan dalam 1Malaysia hendaklah menolak ajakan Yock Teck Lee dan partinya SAPP lalu memberikan undi kepada calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin dari PBS dalam PRK pada 4 November ini.

Hakcipta Abd Bashid Harun