KETIKA nabi Adam a.s diajar akan nama-nama benda, tidak pula diajar hal yang serupa kepada para malaikat. Tentunya apabila malaikat dipanggil untuk menerangkan nama-nama benda tersebut tidak satu pun yang tahu akan jawapannya. Akan tetapi apabila ujian yang serupa dijalankan kepada Nabi Adam, dengan mudah Adam a.s. dapat menjawapnya. Sebabnya Adam belajar, malaikat tidak. Kelihatannya seolah-olah Allah tidak berlaku adil dan pilih kasih dalam perkara yang satu ini. Allah bertanya tentang sesuatu yang Dia sendiri tidak pernah mengajarkannya. Keadaan ini seperti seorang guru yang tak pernah mengajarkan tentang bab tertentu, tetapi dalam peperiksaan dia turut mengemukakan soalan dari bab tersebut. Tentunya tidak adil. Persoalannya benarkah Allah bersifat tidak adil dalam hal yang satu ini.?Jawapannya, mustahil! mustahil Allah bersifat tidak adil kerana keadilan itu adalah pakaian-Nya.Bahkan kita selalu diingatkan lewat ayat-ayat-Nya tentang keperluan berlaku adil sesama manusia. Bagi saya peristiwa tersebut benar-benar menunjukkan keadilan-Nya kerana Dia telah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Bukankah antara maksud adil ialah meletakkan sesuatu di tempatnya. Dia yang bersifat Maha Mengetahui tentu tahu apa yang patut dilakukan dan yang tidak patut dilakukan. Allah  ingin membuktikan kepada malaikat yang memprotesnya tentang kejadian Adam bahawa tindakan-Nya betul dan sangkaan malaikat tentang manusia pertama itu tidak tepat.  Bahawa  sehebat manapun sesuatu kejadian itu selagi ia bernama makhluk ia tidak akan  ke mana-mana jika Allah tidak mendidik dan membimbingnya. Bukankah malaikat pernah memperotes Allah sebaik-baik sahaja mereka diberitahu yang seorang khalifah akan dipilih daripada kalangan manusia. Malaikat terkejut dengan kehendak Allah itu kerana mereka tidak percaya spesis manusia yang terkenal dengan sikapnya yang saling menumpah darah boleh menjadi pemimpin di dunia ini. Bukankah ada kami? tanya mereka. Allah hanya menjawab dengan satu ayat yang ringkas tetapi padat bahawa Allah lebih mengetahui segala urusan-Nya. Sebab itu untuk memastikan kehendak dan pilihan-Nya itu tepat Allah  mempersiap nabi Adam dengan pelbagai ilmu pengetahuan yang dilambangkan melalui aktiviti mengajarkan kalimah. Allah menggambarkan kepada kita betapa seseorang khalifah  memerlukan pengetahuan. Dan pengetahuan itu pula diperolehi dengan cara berguru. Allah seolah-olah mengajak manusia berfikir bahawa sehebat mana pun kedudukan seseorang, dia tidak akan mampu berbuat apa-apa selagi dia tidak mempunyai pengetahuan tentang sesuatu. Dan Allahlah pemilik sebenar ilmu pengetahuan itu. Allah ingin memberitahu malaikat, bahawa “jangan jadi kurang ajar” kerana jika Allah tidak mengajar sesuatu kepada kamu, kamu memang tidak akan mengetahuinya sekalipun dari segi kejadian kamu dari cahaya sedang Adam(manusia) cuma dari tanah. Dan sebagai bukti bahawa pengetahuan yang dimiliki oleh Adam mencukupi untuk melayakkannya menjadi khalifah di atas muka bumi, Allah menyuruh semua malaikat sujud kepada nabi Adam. Sujud di sini bermaksud sujud penghormatan (atas ilmu yang dimilik Adam), bukan sujud ubudiyah (pengabdian). Ternyata sekali semua malaikat sujud, kecuali satu…iblis. Nampaknya Malaikat yang pernah memprotes Allah kini akur bahawa Allah itu Maha Berkuasa dan mereka itu hanyalah makhluk Allah.