Dalam teori konsumerisme, selalu disebutkan tentang pengguna adalah raja. Di tempat lain pula disebut yang pengguna sentiasa betul.Tetapi adakah tanggapan itu betul apabila kita menjadikan situasi sekarang sebagai sandaran.Siapakah sebenarnya yang menjadi raja dan yang pendapatnya tetap dilihat betul walaupun salah?

Pengguna adalah raja dari segi teorinya, tetapi dari segi praktisnya yang benar-benar raja adalah peniaga. Di Malaysia kita melihat tidak ada sesiapa yang boleh menghalang kedegilan peniaga. Mereka begitu berkuasa sekali sehingga pengguna terpaksa mengikut rentak mereka.

Jika kita merungut di hadapan peniaga dengan mengatakan barangan yang dijualnya mahal, apakah agaknya yang akan dikatakan oleh peniaga tersebut di depan kita. Mereka tidak akan berdiam diri atau mencadangkan kita membeli barangan lain atau di tempat lain. Mereka tidak membantu kita, sebaliknya mereka akan mengeluarkan ayat yang yang cukup pedas didengar. “Lu kalau boleh angkat 10, kasi jual sama guwa“.

Dalam situasi harga barangan pengguna yang semakin meningkat, orang tidak sempat lagi melihat teori itu apatah lagi hendak mempertahankannya. Orang selalu melihat siapa sebenarnya yang paling berkuasa sekarang-Pengguna? Kerajaan? atau Peniaga?

Saya cukup bimbang jika situasi di negara ini ditentukan oleh golongan minoriti yang bernama peniaga. Kebimbangan semakin bertambah apabila kerajaan pun seakan-akan dibuli oleh golongan peniaga ini. Kerajaan yang sepatutnya memberi banyak masanya untuk menjaga kepentingan rakyat terpaksa pula menggunakan banyak masa untuk berdepan dengan karenah “pembuli” yang rakus daripada kalangan sebahagian peniaga di negara ini.

Dalam konteks Malaysia, peniaga dilihat sebagai golongan yang boleh sahaja menjadi penyebab kemarahan rakyat kepada kerajaan. Mereka boleh digunakan sebagai kumpulan “penekan” oleh golongan yang memusuhi kerajaan untuk menjayakan agenda mereka.

Rakyat dalam keadaan serba tertekan,dan susah biasanya akan lebih mudah bersimpati lalu menyebelahi pihak yang memusuhi kerajaan yang cenderung memainkan emosi rakyat dengan menggunakan isu kenaikan harga barangan. Siapa yang hatinya tidak tersentuh apabila isu yang melibatkan keperluan perut mereka disenasikan secara bertalu-talu. Akhirnya rakyat (pengguna) melihat kerajaan yang bersalah dalam hal ini, bukannya peniaga dan mereka mendesak kerajaan mengambil sesuatu tindakan.

Apabila wujud tanggapan rakyat seperti itu, pihak yang memusuhi kerajaan berasa seronok kerana isu kenaikan harga barangan telah berjaya memberi sokongan kepada mereka. Apabila keadaan menjadi begini, persoalan pokok, siapa sebenarnya yang lebih bersalah dan patut diajar masih terlepas.Nampaknya golongan peniaga benar-benar raja dan betul.

Peniaga di Malaysia bolehlah dikatakan sebagai golongan yang sangat berkuasa walaupun tidak diberi kuasa itu.Malahan banyak keadaan walaupun agak sukar untuk dibuktikan seolah-olah menampakkan kerajaan dipaksa untuk tunduk kepada kehendak mereka. Jika kerajaan tidak mahu menurutinya mereka bertindak semacam “membuli” kerajaan dengan menyusahkan kerajaan.

Peniaga tahu semua orang termasuk rakyat dan kerajaan bergantung pada mereka. Semua orang baik namanya pemimpin, rakyat dan sesiapa sahaja bergantung kepada mereka untuk mendapatkan bekalan barangan keperluan, minyak dan makanan. Mereka mengawal itu semua. Maka atas sebab itu, peniaga yang berjalan tanpa etika dan obligasi sosial selalu sahaja melihat keuntungan mengatasi segala faktor. Dan peniaga seperti inilah yang sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan, melakukan penyorokan barang,dan bersorong tarik membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada pengguna.

Bekalan beras (makanan) didapati kurang di seluruh dunia. Malaysia turut menerima akibatnya. Semua orang tahu itu. Tetapi alasan yang digunakan untuk menaikkan harga beras dengan berganda-ganda, itu yang dipertikaikan.

Berbagai-bagailah alasan yang digunakan oleh peniaga mengapa mereka menaikkan harga beras tetapi akhirnya dua golongan inilah juga yang akhirnya menjadi sasaran kesalahan, iaitu kerajaan dan rakyat sebagai pengguna. Kesalahan itu seolah-olah hanya ada pada Kerajaan dan Rakyat(Pengguna), sedangkan peniaga seperti tidak bersalah sama sekali.

Begitulah hakikatnya peniaga melihat diri mereka, dan begitulah berkuasanya mereka ke atas kita. Walaupun terang-terangan mereka melakukan penipuan dan ambil kesempatan, mereka masih boleh melepaskan diri dengan meletakkan kesalahan itu kepada kerjaaan dan pengguna.

Memang benar kawasan penanaman padi di negara kita semakin berkurangan akibat tanah-tanah sawah dimajukan sebagai kawasan pembangunan, perumahan dan perindustrian seperti yang berlaku di Kedah yang suatu ketika dahulu mendapat jolokan Negeri Jelapang Padi.

Memang benar peruntukan beras mendapat permintaan yang tinggi di negeri-negeri yang kepadatan penduduknya semakin tinggi dan pada masa yang sama mempunyai tabiat makan yang hebat seperti di India,China dan Indonesia sehingga beras kurang dibekalkan ke negara ini. Namun itu adalah masalah global yang wajar ditangani melalui kesepakatan antarabangsa.

Namun di Malaysia semua pihak sepatutnya lebih bertanggungjawab untuk tidak menjadikan keadaan lebih sulit dengan menangguk di air yang keruh. Negara perlu dibantu bukan disulitkan dengan karenah peniaga yang sedemikian.

Lainlah kalau ada niat tersembunyi di kalangan segelintir peniaga melalui agenda kotor dengan tujuan menghakis keyakinan rakyat kepada kerajaan seperti tindakan menaikkan harga barangan keperluan dan sengaja membelakangkan kerajaan dalam banyak hal.Jika itu benar ia merupakan satu konspirasi yang terususn yang patut disedari dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak kerajaan.

Ingatan saya kepada para peniaga, walau apa pun yang berlaku di dunia, itu bukanlah alasan yang boleh digunakan dengan sesuka hati untuk menaikkan harga barangan-kenaikan yang disebut oleh ramai pengguna sebagai keterlaluan sampai tidak masuk akal.

Jika kenaikan itu berpatutan saya kira pengguna terpaksa akur sahaja sebab pengguna di Malaysia sangat terkenal memiliki tahap kesabaran dan darjah tolak ansur yang begitu tinggi. Namun jika kenaikan itu keterlaluan apa lagi yang kita boleh katakan selain berkata bahawa peniaga seperti itu memang ingin menunjukkan belang mereka dan mahu menunjukkan kepada kerajaan dan pengguna yang mereka boleh berbuat apa sahaja.

“Kerajaan , apatah lagi rakyat tak boleh berbuat apa-apa. Kami boleh menentukan harga ikut suka kami”. Itulah yang mungkin difikirkan oleh sebahagian peniaga di negara ini.

Hakcipta Abd Bashid Harun