1 Tulisan saya ini sebagai reaksi kepada mereka yang menuduh sebarangan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang berucap dalam Perhimpunan PERKASA baru-baru ini dan kepada mereka yang memandang sinis kepada ahli-ahli UMNO yang menganggotai PERKASA yang konon-kononnya berlawanan dengan konsep 1Malaysia.

2 Sesiapa pun boleh menentukan apa yang seseorang itu patut buat dan tidak patut buat jika orang itu berada di majlis anda dan dalam lingkungan anda, tetapi jika orang itu berada di tempatnya sendiri, dalam wadahnya dan dalam lingkungan bangsa dan budayanya, itu bukan lagi menjadi kuasa anda untuk menentukannya.

3 Orang Melayu sudah lama jelas tentang apa yang menjadi kepunyaan mereka; apa yang patut dikongsi bersama; apa yang patut dibuang terus daripada diri mereka dan apa pula yang perlu diserap masuk untuk menambahbaik masa depan mereka.

4 Orang Melayu tahu menyesuaikan percakapan mereka dengan suasana dan tempat di mana percakapan itu hendak diluahkan. Mereka selalunya mengambil langkah selamat dan tidak berisiko dengan cara menurut sahaja budaya dan resam di sesebuah tempat yang mereka berada di dalamnya.

5 Kesetiaan orang Melayu terhadap negara dan raja di tempat mereka tinggal tidak boleh dipertikaikan lagi. Sebab itulah orang Melayu amat berpegang dengan resam ”di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung”. Mereka sedar bahawa inilah tanah tumpahnya darah mereka, tidak mungkin mereka ada destinasi lain yang hendak dituju. Di sinilah 1 Malaysia dan tiada duanya.

6 Pada masa yang sama orang Melayu cukup menjaga perasaan orang lain, sangat memuliakan tetamu mereka dan kuat perasaan ingin tahu. Mereka tahu masa bila hendak mengembik dan masa bila pula hendak menguak.

7 Peribahasa ”Masuk kandang kambing mengembik dan masuk kandang kerbau menguak” membuktikan dengan jelas yang orang Melayu cukup sensitif terhadap keadaan persekitaran dan menghormati apa-apa yang sudah sedia wujud.

8 Apabila percakapan diluahkan oleh orang Melayu tentang diri mereka, nasib serta masa depan mereka sendiri yang mana pendengarnya terdiri daripada bangsa Melayu sendiri dan wadahnya juga adalah milik orang Melayu, itu jelas menunjukkan yang orang Melayu amat memahami batasan berkomunikasi dan dapat membezakan antara ruang peribadi dan ruang orang lain.

9 Mereka tidak gemar mencampuri urusan orang lain tetapi mereka suka berbisik-bisik tentang seseorang.

10 Sekaligus ini menunjukkan orang Melayu sebenarnya adalah bangsa yang berfikir, mempunyai kehalusan dalam menjangka, sangat sensitif terhadap perkembangan yang membabitkan diri dan agama mereka dan sedar akan hak-hak dan keperluan mereka sekarang dan akan datang.

11 Apabila mereka menyedari akan kelemahan bangsa mereka sendiri dan memperkatakan tentangnya di atas platform dan wadah mereka sendiri sebenarnya mereka sedang bercakap mengenai diri dan bangsa mereka sendiri per se bukan tentang bangsa atau kaum lain.

12 Sepatutnya tidak ada kaum-kaum lain yang berasa tersinggung dengan apa jua percakapan yang diluahkan oleh mana-mana orang Melayu dalam lingkungan mereka sendiri dengan menggunakan wadah milik mereka.

13 Ini adalah sama keadaannya apabila orang-orang Cina bercakap mengenai masa depan kaum Cina dalam MCA dan orang-orang India bercakap mengenai masa depan dan nasib masa dalam MIC dan dalam pertubuhan bukan kerajaan yang wujud di kalangan bangsa atau kaum masing-masing.

14 Apabila ada orang Melayu berasa bahawa kedudukan mereka sekarang lemah dan terancam dan gambaran itu diluahkan dalam UMNO dan PERKASA keadaan itu boleh sahaja diterima dan tidak boleh disalah tanggap sebagai suatu ancaman atau menjadi kemarahan kepada bangsa lain yang mempunyai kedudukan yang lebih kuat.

15 Apabila orang Melayu bercakap tentang persaudaraan dan perpaduan sesama mereka sebagai contoh, bukan bererti mereka mencurigai perpaduan yang telah lama wujud antara pelbagai bangsa di negara ini.

16 Apabila orang Melayu sendiri berkata tentang perlunya meningkatkan penguasaan bangsa mereka dalam bidang ekonomi, bukan bererti mereka mahu mengancam hak orang lain atau bangsa lain dengan merampas dan mengambil hak-hak mereka. Tidak sama sekali. Orang Melayu tidak akan berbuat begitu.

17 Dalam sejarah, orang Melayu dikenali sebagai bangsa yang terlalu baik sehingga kadang-kadang mencecah tahap pandir dan suka berkorban atau memberi. Mengalah pun boleh jadi jugak. Mereka tidak akan mengambil hak orang lain, tetapi yang jelas mereka bersedia berkongsi apa yang ada pada mereka dengan orang lain atas dasar kemanusiaan, persaudaraan dan makhluk Tuhan.

18 Apabila orang Melayu bercakap mengenai bangsa dan agama mereka sendiri, orang lain selalu melihat mereka rasis(perkauman), sedangkan sedikit demi sedikit yang ada pada mereka sanggup dilepas satu persatu atas perasaan tolak ansur yang begitu tinggi yang kadang-kadang mencecah tahap dewa yang ada pada orang Melayu.

19 Bukti yang paling jelas betapa orang Melayu sanggup berkorban dan memberikan apa yang mereka ada dan berkongsi dengan orang lain ialah kesanggupan mereka menerima dasar kewarganegaraan secara jus soli dengan menerima rakan-rakan baru mereka dari negara China dan India untuk berkongsi negara, dan kini berkongsi kuasa pilitik dengan mereka melalui wadah BN yang dahulunya PERIKATAN.

20 Dan perkongsian negara dan kuasa ini nampaknya telah dapat diterima dengan selesa tanpa ada sedikit pun perasaan ragu yang sebenarnya dilihat sebagai suatu lagi sikap keterbukaan yang ada pada orang Melayu iaitu cepat menyerap masuk ke dalam hidup mereka sesuatu yang sungguhpun pada awalnya diterima secara terpaksa.

21 Dan apabila mereka sudah menerimanya sebagai suatu kepercayaan atau dasar, orang-orang Melayulah yang nampaknya lebih kuat mempertahankannya. Ini terbukti melalui semangat setiakawan dalam Barisan Nasional yang ditunjukkan oleh parti UMNO.

22 Tegasnya, dalam lingkungannya sendiri dan untuk kepentingan bangsanya sendiri tidak sesiapa yang boleh menghalang bangsa Melayu daripada terus menyatakan keluhan, kekesalan, kebimbangan, ketakutan dan kecurigaan selagi ia diluahkan dalam wadah dan saluran miliknya sendiri.

23 Malahan cara ini jauh lebih terhormat dan beradab jika dibandingkan dengan satu kaum pendatang yang lain iaitu Israel yang mula-mulanya menumpang tetapi akhirnya menghalau bangsa Palestin dari buminya sendiri.

Hakcipta Abd Bashid Bin Harun